Wednesday, April 29, 2009

Rak Botol Jamban

Kisah ini adalah imbauan sewaktu di tingkatan dua dahulu..tahun 1993. Masa itu saya di kelas Tingkatan 2 Zamrud (kelas elit la gak).

Masa tu ada mata pelajaran Kemahiran Hidup. Cikgu yang mengajarnya bernama Cikgu Norazmi Noordin, berasal dari Negeri Sembilan. Orangnya tegas...berpadananlah dengan tugas guru disiplin yang disandangnya. Isterinya juga mengajar di sekolah yang sama, juga berasal dari Negori. Tapi saya dah lupa lak namanya. Takpelah. Dia mengajar subjek Sejarah di kelas saya.

Masa tu kelas mata pelajaran Kemahiran Hidup nie memang antara subjek yang menarik minat saya. Yelah....kami diajar buat kerja kayu (bertukang la, dalam bahasa kasarnya), memasak makanan, menjahit, projek elektronik dan sedikit kerja-kerja civil engineering.

Terutama bila buat projek-projek elektronik tu seperti projek litar siren. Fuhh..punyalah seronok bila projek berjaya dan siren tu berbunyi. Rasa macam dah cipta penemuan baru dalam bidang elektronik yang layak dianugerahkan anugerah Nobel. Hehehe...masa tu terbayang la nak jadi saintis la....teknokrat la...memang berangan habiss... ;)

Namun yang saya tidak boleh lupa ialah projek kerja kayu ketika itu. Masa tu, Cikgu Norazmi meminta kami menyiapkan projek Rak Botol. Kami sekelas dibahagikan kepada tag team, yakni satu projek dua orang satu team.

Saya dipasangkan dengan member kamcing saya masa tu bernama Rahiman. Memang kawan terbaik saya pernah ada. Tapi yang tak bestnya, kami tak mahir seni pertukangan kayu ini. Huhuhu

Untuk menjadikan projek itu lebih mencabar, Cikgu Norazmi telah mengumumkan di dalam perhimpunan mingguan bahawa projek Rak Botol itu menjadi pertandingan antara semua kelas tingkatan 2 masa tu. Kalau tak silap, ada enam kelas semuanya.

Huh...memang persaingan telah dimulakan. Masa tu yang paling terer kerja kayu nie ada dua orang sahaja, iaitu kawan sekelas saya bernama Dahlan, dan seorang lagi bernama Abdul Nakil dari kelas lain.

Masa tu, jika dapat team dengan salah seorang dari diorang nie, confirm markah penuh untuk kerja kayu. Huhuhu...tapi dah nasib saya digandingkan dengan member saya, Rahiman yang dua-dua tak reti keje kayu sangat.

Menjelang hari terakhir untuk submit projek Rak Botol tu, saya dah dapat melihat hasil kerja-kerja kayu pasukan-pasukan lain. Memang hebat-hebat dan halus buatannya. Projek Rak Botol pasukan Dahlan memang berseni...diukir dengan bentuk kepala kerbau balar. Fuuhhh...memang cair siapa yang tengok tu. Ramai yang kata projek dia akan jadi juara.

Apabila tinggal lagi 4 hari untuk submit projek tu, saya mula bimbang kerana saya dan Rahiman belum menyiapkan projek itu. Rak Botolnya dah siap, cuma kami belum mengukirnya. Rahiman yang terer sikit dari saya bab mengukir nie memberitahu bahawa dia juga tiada idea nak ukir apa kat Rak Botol itu untuk menyaingi projek kawan-kawan yang lain. Alasannya....perlu masa untuk 'mengintip' projek-projek pihak lawan agar nanti ukiran kami tak sama dengan mereka.

Alasan dia ada logiknya. Tapi kami dah kesuntukan masa. Huhuhu...bertekak juga saya dengan Rahiman ketika itu. Maklumlah, selain bertanding...lebih penting lagi projek itu ada markah bawaan untuk markah keseluruhan penilaian PMR. Mau tak seram sejuk masa tu...tinggal 4 hari deadline, tapi takde apa yang yang diukir pada Rak Botol itu.

Saya pun memberi kata dua kepada Rahiman.

"Aku nak kau ukir la apa-apa yang patut. Bab mengecat tu bagi kat aku. Aku bagi sampai lusa kena siap kau ukir"

Rahiman pun setuju.

Selepas dua hari tu, Rahiman pun datang ke sekolah dengan membawa Rak Botol dengan ukiran misterinya yang berbalut plastik hitam.

"Dah siap ke? Kau ukir apa kat projek kita???"
"Uisss...jangan buka depan orang ramai. Ini rahsia...nanti mereka boleh tiru lak"
"Ahh...banyak la rahsia kau. Semua mereka dah hantar projek, kita je yang paling lewat ni"

Saya pun buka plastik itu. Leerrr...Rak Botol itu telah diukir teruk dengan bentuk sebuah teratak orang kampung zaman sebelum Merdeka, beratap rumbia. Tak cukup dengan itu, Rak Botol itu juga telah dikerat mengikut bentuk bumbung teratak dalam ukiran itu.

"Wei!! Apa kau dah buat nie? Ini rumah ke jamban nie???"
"Rilek la brader. Ukiran ini pasukan lain takde yang buat lagi. Unik nie"
"Aduh...unik pun, tapi spesifikasi dah lari nie. Yang kau potong jadi macam nie apa hal??"
"Bawak bertenang...inilah kreatif namanya..."

Masa tu saya geram dengan sikap cool kawan saya tu. Cikgu Norazmi dah pesan, ukuran kayu jangan lari. Markah akan dipotong jika ukuran tak cukup. Saya dah terbayang markah saya adalah sedikit untuk projek kali ini. Nak buat lain, dah takde masa.

"Hmm...takpe la. Dah kau buat macam nie...aku ikut je la. Esok saya cat rak botol nie"
"Rilek la brader. Jangan sedih"
"Aku rasa kita takde can nak dapat markah elok kali nie"

Sesampai di rumah, saya amati ukiran itu lama-lama. Berfikir cat apa nak pakai agar sesuai dengan ukiran itu. Akhirnya saya mendapat idea untuk mengecat ia dengan kemasan syelek. Saya pun selongkar bilik stor rumah saya untuk mencari baki syelek yang pernah digunakan untuk mengecat lantai rumah saya.

Hari itu juga saya menggunakan segala kemahiran yang diterapkan oleh Cikgu Norazmi untuk membuat kemasan syelek. Mula-mula saya gosok rak botol itu dengan kertas pasir dalam dua peringkat. Peringkat pertama, guna kertas pasir yang kasar. Peringkat kedua dengan kertas pasir yang halus. Hasilnya, rak botol itu halus buatannya. Macam hasil tangan seorang pro :)

Kemudian sebelum dicat dengan syelek, rak botol itu saya cat dahulu dengan lapisan pertama cat kayu untuk menaikkan seri kayu (bukan pengantin je boleh naik seri muka tau). Selepas itu, saya jemur rak botol itu hingga kering.

Apabila sudah kering, saya cat pula dengan lapisan terakhir menggunakan syelek yang digunakan pada lantai rumah saya. Selesai dilapisi syelek itu, saya menjemur ia hingga betul2 kering. Dalam hati ketika itu bertawakkal sahaja agar dapat markah yang baik. Tak menang pertandingan itu pun tak mengapa. Yang penting markah utk PMR.

Esoknya, saya pun bawa hasil kerja itu ke sekolah. Apabila Rahiman melihatnya, ternyata dia terperanjat dengan hasil kerja kami.

"Wah...betul ke ini projek kita nie. Kemas gila....tukang kayu mana kau suruh buat nie?"
"Wei...aku yang cat sendiri nie. Takde pakai tukang mana-mana"

Kami pun hantar projek itu. Kami la pasukan paling last hantar.

Selang 3 hari selepas itu, dalam perhimpunan Cikgu Norazmi mengumumkan pemenang projek rak botol.

"Sesungguhnya pertandingan kali ini amat sengit. Kami sebagai juri pun pening kepala untuk menentukan siapa layak menjadi juara" Cikgu John, juga guru Kemahiran Hidup membuat mukadimah.

Masa tu, dalam hati saya mengagak Dahlan akan naik jadi juara. Wakil kelas saya jugak.

"Baiklah...pemenang tempat ketiga akan membawa pulang sebuah cenderamata dan baucer pembelian di koperasi sekolah bernilai RM 20. Pemenangnya ialah pasukan Abdul Nakil dari 2 Baiduri!!!"

Semua pelajar memberi tepukan gemuruh seriring dengan naiknya pasukan Abd Nakil ke astaka untuk menerima hadiah.

"Tempat kedua pula akan membawa pulang cenderamata dan baucer bernilai RM 30. Pemenangnya ialah pasukan Dahlan dari 2 Zamrud!!!"

Kami bertepuk tangan dan bersorak kerana wakil kelas menang. Tapi dalam hati tertanya-tanya...siapa pula yang berjaya menyaingi kehebatan kerja tangan Dahlan??

"Dan juara pertandingan rak botol antara tingkatan 2 pula akan membawa pulang cenderamata dan baucer bernilai RM 50. Dan pemenangnya ialah....pasukan Rahiman dari 2 Zamrud!!!"

Tepukan gemuruh bergema sambil semua pelajar tercari-cari siapa pasukan Rahiman. Sementara saya dan Rahiman terpaku dan terkedu. Hati berbisik "betulkah aku yang menang nie...macam mimpi jer".

Kawan-kawan sekelas menolak kami untuk naik ke astaka menerima hadiah. Maka saya dan Rahiman berjalan naik ke atas astaka untuk menerima ucapan tahniah dari semua cikgu dan hadiah sebagai juara.

"Berakhirlah sudah majlis penyampaian hadiah ini. Semua projek rak botol terbaik ini akan dipamerkan di ruang legar perpustakaan mulai esok. Datanglah dan saksikan yea" Cikgu John menutup majlis.

Itulah kisah manis saya dengan Rahiman di Tingkatan Dua. Sehingga kini saya telah lost contact dengan dia. Saya berdoa dia melalui jalan hidup yang membahagiakan walau di mana sekalipun dia berada sekarang.

Foto di bawah menunjukkan kehalusan kemasan syelek yang menyerupai kemasan yang ada pada rak botol itu.










Thursday, April 23, 2009

Hari yang istimewa...

Sudah lama saya berhajat utk mengunjungi Pesta Buku, tapi sering tidak berkesempatan. Namun hari ini niat itu sudah terlangsai.

Pada awalnya hendak menunggang motor sahaja terus ke PWTC tempat pesta diadakan. Namun entah mengapa, terasa nak naik komuter lak ke sana. Lantas, motor dipacu ke KL Sentral dan diparkir di bahu siarkaki tingkat satu.

Kaki bergegas ke kaunter tiket komuter krn jam sudah menunjukkan 3:30 ptg.

"Yea..encik...nak ke mana?"
"Err...apa nama stesen dekat PWTC tu??"
"Putra, encik"
"Haaa..yang itu la dia. Berapa ringgit?"
"Seringgit je encik..."

Sesampai di dalam dewan pameran buku di PWTC....ternyata memang ada macam2 genre buku. Dan pelbagai jenis ragam pengunjung. Saya berjalan melihat2 semua booth yang ada. Satu per satu. Sayang pulak, terlupa nak bawak kamera digital.

Ada booth yg jual setem, jual komik, jual majalah wanita, jual t-shirt. Kaki saya menuju ke sebuah gerai yang dipenuhi manusia. Rupa-rupanya booth Majalah Ujang. Hmm...patut la ramai remaja dan budak sekolah kerumun di situ. Golongan muda nyata begitu suka dgn majalah bacaan ringan sedemikian krn ia lebih kpd escapism drp buku2 yg mengajak mereka berfikir secara kritis. Saya juga pernah lalui zaman itu :)

Kemudian saya beralih ke gerai sebelahnya. Tertera nama dakwahbookstore di situ. Lambakan buku2 berunsur agama Islam dan juga DVD serta CD ceramah dsb. Saya byk menghabiskan masa di situ utk meneliti tajuk2 buku yg ada yg minda sy ingin tahu apa isi kandungannya. Terdapat lambakan judul2 buku karangan Harun Yahya. Juga terdapat biografi para cendikiawan Islam yg agung seperti Ibnu Majah, Imam Ahmad Hambal, dan Ibnu Qayyim. Menarik utk dibaca, tetapi minda sy ingin mencari yg lain.

Belek punya belek, akhirnya minda saya berkenan pada buku karangan Dr. Zakir Naik berjudul "Most Common Questions Asked by Non Muslims". Harga cuma RM 10 dan juga buku hasil tangan Dr MAZA berjudul "Bid'ah Hasanah: The Misunderstood Term" juga RM 10. Apabila dibayar di kaunter, dapat lak diskaun 10%. Maka total semua RM 18.00 tunai sahaja.

Kemudian saya meneruskan pemburuan ke dewan sebelah lagi. Jalan punya jalan...tiba2 seorang wanita berpakaian kot menegur....

"Encik, boleh tanya sikit encik...kejap je.."
"Maaf la saya ada hal lain nie"
"Ala...takkan tanya sikit pun tak boleh? Tak boleh tanya ke?"
"Hmm..ok la kejap. Nak tanya apa?"
"Nie kami ada program pembelajaran bahasa inggeris dgn Linguaphone. Anak encik boleh bahasa Inggeris? Encik boleh bahasa Inggeris??"

"Err....takpe la yer saudari. Saya dah boleh bahasa Inggeris...saya kena pergi cepat ni"
"Alaaa...tanya sikit pun nak lari. Takpe la...Assalamualaikum..."

Kaki terus melangkah sambil mata melihat suasana dalam dewan yg dipenuhi pengunjung. Ada juga booth dari negara jiran seperti Indonesia dan Brunei yg mempamerkan karya2 tempatan masing2. Saya berhenti sejenak di booth dari Negara Brunei. Booth itu menjual buku2 berkaitan fatwa2 yang diwartakan di Brunei, selain sejarah negara itu. Menarik...tp duit sy segan nk keluar dari dompet :)

Saya berjalan lagi lalu singgah di booth Anbakri Publika yang menjual buku2 karangan Dato Nik Aziz Nik Mat. Saya teliti buku2 yg ada di situ. Mmg menarik...setiap satu buku ada aura tersendiri tatkala dibaca ringkasannya di kulit sebelah belakang. Belek punya belek...akhirnya buku berjudul "Taqwa" disahkan pembeliannya.

Kaki segera bergegas keluar dari PWTC krn waktu sudah menunjukkan jam 5 ptg, dan takut terlepas waktu Asar. Sekali lagi komuter digunakan utk kembali ke KL Sentral.

Sesampai di KL Sentral, kaki segera menuju ke tempat motor diparkirkan. Elok sahaja nak buka solek motor, baru terpandang satu rantai yang mengikat rim tayar hadapan motor saya dgn motor sebelah. Di dalam bakul pulak terdapat sehelai kertas putih yang meminta pemilik motor ini utk ke pondok polis bantuan di aras 2 KL Sentral. Aduh...

Kaki cergas mencari pondok polis yg anggotanya begitu rajin mencari dan merantai motor nie. Akhirnya pejabat itu ditemui. Rupa-rupanya, ramai jugak yg terkena kes macam saya.

"Apa ni Encik? Saya baru kali nie datang KL Sentral..mana saya tahu di situ tak boleh paking", seorang mangsa berbangsa India mengadu kpd Koperal yg menerima wang denda

"Saya nie pulak koperal, baru je paking 5 minit...dah kena rantai gak", seorang lelaki Melayu mengadu. Tapi koperal tu membisu sambil tgnnya menulis resit pembayaran denda

"Encik, berapa ringgit kena nie? Takde diskaun ke?" saya pula bertanya

"Minima RM 20, Encik" Koperal itu menjawab

"Saya mmg tak tahu di situ tak boleh paking. Dulu boleh jer. Lain kali, bubuh signboard besar2 kat area tu minta orang jgn paking" saya bersuara lagi

"Nah...ini 20 ringgit....tolong buka cepat motor saya...saya nak balik nie" saya bersuara sambil menghulur RM 20.

"OK encik. Minta I.C encik..." koperal itu menulis resit utk saya

Selesai urusan di situ, saya bergegas ke tempat parkir motor td. Sebelum itu, saya singgah sekejap utk membeli minuman 100 Plus utk hilangkan dahaga. Sesampai di tempat parkir motor saya, ternyata rantai itu belum dibuka.

Saya pun buka solek motor saya, pakai helmet dan kemudian duduk atas motor. Sambil menanti pihak polis bantuan datang, saya teguk 100 Plus saya. Sampai kering minuman saya, polis belum sampai2 gak.

"Aih...duit dah bagi pantas, tapi motor masih tak lepas2 nie...inikah motto Mesra, Cepat dan Betul??" hati saya berbisik sendiri.

Akhirnya datang sebuah kereta. Keluar dari kereta itu seorang lelaki berpakaian preman. Dengan muka masam dia buka rantai pada tayar hadapan motor saya. Bila dah selesai, dia belah begitu sahaja dgn muka masamnya. Saya perhatikan setiap gerak gerinya.

"Hmm...dah tahu leceh nk buka rantai...kenapa pegi rantai motor aku....kan penat sendiri" hati berbisik lagi...

Saya pun terus start enjin dan bergerak pulang...............

Begitulah pengalaman saya pada hari yg istimewa ini. Semalam adalah Hari Bumi sedunia, tetapi hari ini lebih istimewa kerana:

  1. Hari gaji bulan April masuk
  2. Hari penduduk dunia mengingati hari kelahiran Sasterawan Agung Eropah, William Shakespeare
  3. Hari Khamis, digalakkan puasa sunat
  4. ..................

Terima kasih kpd teman2 yg mampu mengingatinya. Doa kalian amat saya hargai. :)

Jazakallah....

Tuesday, April 21, 2009

Setiap permulaan penggal baru...

Sejak dari darjah satu lagi, setiap kali menjelang penggal baru persekolahan ayah atau mak akan bawa saya ke pekan utk membeli kelengkapan sekolah.

Saya masuk sekolah darjah satu pada tahun 1986. Saya tidak melalui tadika atau tabika terlebih dahulu. So, mmg tak tahu sepatah haram huruf atau nombor2 nie. Nak membaca lagi la sepatah haram tak reti. Huhuhu

Saya masih ingat lagi. Beg saya yg pertama sekali masa masuk darjah satu berwarna merah, jenis beg sandang. Kat luar beg itu terlukis gambar kartun seorang budak berwatak Red Indian lengkap dgn set busur dan sejambak anak panah. Tertera di situ tulisan "Little Red Indian". Mak yang belikan beg itu.

Saya juga tidak lupa. Kotak pensel saya pun ada. Kotak itu besar dan panjang berwarna hijau. Di hadapannya bermotifkan gambar kucing yg comel. Di dalam kotak itu pula, ada ruang utk pembaris, pensel dan pemadam. Jgn terkejut, ada juga cermin di bhgian itu. Maybe bertujuan utk murid melihat wajah sendiri kalau2 comot sebab banyak bermain tanah. Huhuhu...

Tak cukup dgn itu, buku-buku latihan saya juga dibelikan. Setiap satunya complete dibalut dgn kertas minyak dan dituliskan nama saya padanya. Al-maklumlah...tak reti nak menulis dan membaca waktu itu :).

Huhuhu...itu cerita masa mula masuk darjah satu. Saya nk tumpu cerita pasal membeli kelengkapan pakaian sekolah setiap kali menjelang pembukaan penggal baru persekolahan. Agak-agak seminggu nak start sekolah tu, ayah saya akan bawa saya ke pekan utk membeli baju dan kasut sekolah baru.

Untuk baju tu, normal la. Masa tu tiada lagi jenama baju sekolah Canggih spt yg ada sekarang. Mmg dah ada program pemberian baju, seluar dan kasut sekolah baru kepada murid2 masa tu sumbangan Yayasan Sabah. Namun, sebab saya saiz gergasi....memang takde yg muat. Saya ambik juga pemberian tu...tapi utk adik2 la bila mereka sekolah kelak.

Justeru, cara utk dapatkan baju sekolah dan seluar sekolah saiz yg muat ialah dgn mengunjungi gerai2 jualan bundle (istilah di sana dipanggil rombengan). Gerai2 ini banyak pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Masa tu la ayah saya akan meneliti setiap baju dan seluar utk dipadankan dgn saya. Dah nama jualan bundle...mmg harga murah tahap runtuh punya. Bak kata peniaga di situ..."biar roboh kota Paris, asalkan jualanku larisss..."

Ada antara baju sekolah saya masa tu yang berharga 50 sen je. Tapi mmg jenama entah apa. Jenama Haiti pun ada. Jenama China tu tak payah cerita. Mmg berlambak. Huhuhu...Walaupun murah, tapi ada antara baju sekolah saya itu saya pakai bertahun2 lamanya kerana selesa dan tahan lama :). Ada yang sampai ke sekolah menengah masih saya pakai.

OK. Itu cerita pasal baju sekolah. Sekarang kita beralih ke cerita kasut sekolah pulak. Masa tu, kasut sekolah takde sgt dijual di gerai2 rombengan itu. So, kena beli kat kedai cina la. Jenama mmg dah confirm. Jenama yg famous masa tu ialah Pallas, Bata, Warrior dll. Tapi disebabkan kaki saya masa tu cepat membesar, ayah saya sentiasa akan membeli kasut yg lebih besar daripada membeli kasut yg muat tepat.

Ayah saya sentiasa berkata "Biar longgar skrg...nnti boleh pakai lama sikit." Justeru, setiap kali pembukaan penggal baru, saya akan menambah gumpalan kertas di hujung sebelah dalam kasut saya utk mengelakkan kasut saya longgar tatkala dipakai.

Huhuhu....kini bila dah punya wang utk beli kasut sendiri, saiz kaki saya juga masih besar dan sukar saya memilih design yg saya suka. Apakah ini disebabkan sejak kecil lg kaki saya dah biasa pakai kasut yg besar dan longgar...lantas menyebabkan kaki saya menjadi saiz gergasi pada hari ini?

Wallahu 'alam ;)



Thursday, April 09, 2009

Bola Sepak Sekolah Rendah

Sewaktu Darjah 2 hingga 6, saya bersekolah di sebuah sekolah kampung yang jauh dari bandar. Terletak di atas pulau batu, suasananya amat nyaman tatkala bayu laut bertiup Maka atas sebab itu, setiap bilik darjah di sekolah itu tidak dipasang kipas syiling. Memang jimat duit kerajaan :)

Tapi cerita kali ini menjurus kepada sukan bola sepak yang saya begitu gemar ketika itu. Yang menariknya, padang sekolah saya itu tidak berumput seperti padang bola sepak sekolah2 yang lain. Al maklumlah...atas pulau batu.

Boleh dikatakan, setiap kali sessi pendidikan jasmani....bagi je sebijik bola sepak, maka bertempiaran la kami berlari mengejar dan menyepak bola itu menuju pintu gol. Nak dijadikan cerita, sebenarnya sudah wujud satu tabiat berjudi di kalangan pelajar yang bermain bola sepak ini. Sebelum perlawanan bermula, kami akan mempertaruhkan wang saku. Siapa yang menang, ambik semua duit itu.

Tak cukup dgn itu, bila masuk je waktu rehat...pertaruhan disambung lagi dgn acara penalti. Penyepak bola dan penjaga gol akan bertaruh wang. Jika penyepak bola dpt menyumbat gol, semua duit dia sapu. Tapi jika rembatan itu, dapat diselamatkan...penjaga gol itu akan sapu wang pertaruhan itu.

Justeru banyak la bakat2 penjaga gol dan pengambil sepakan penalti tertonjol ketika itu. Saya cuma seronok je memerhati kesungguhan mereka bertaruh sedemikian rupa dan mempamerkan aksi cemerlang di atas padang.

Disebabkan minat kami pada bola sepak, ada seorang rakan saya nekad mengumpul wang utk membeli sebiji bola utk kami boleh bermain pada bila-bila masa terluang dan tidak tertakluk kpd sessi pendidikan jasmani sahaja.

Setelah wang yg dikumpul cukup, dia pun membeli sebiji bola. Pada hari pertama dia membawa bola itu ke padang, kami terkejut kerana bola yg dibeli bukannya bola sepak, tetapi bola keranjang. Mungkin kawan saya itu tidak tahu tentang jenis2 bola, al maklum la....baru darjah 3 masa tu.

Disebabkan bola sudah ada, kami terus bermain bola sepak dgn bola itu. Namun kali ini, terasa perbezaan ketara. Disebabkan bola itu diperbuat dari getah sepenuhnya, lantunannya lebih hebat dari bola sepak sebenar. Akibatnya, setiap kali pemain membuat hantaran kepada penyerang, penyerang terpaksa berlari lebih kuat lagi mengejar bola itu krn ia lebih laju dari bola biasa.

Tak cukup dgn itu, penjaga gol juga seram nak tepis bola itu tatkala dirembat kencang. Penjaga gol terpaksa menepis bola dgn cara menumbuk bola itu keluar sahaja demi mengelakkan tapak tangan daripada pedih.

Oh ya...saya sudah katakan yg padang sekolah saya itu tidak berumput. Lebih mencabar lagi, padang tersebut mempunyai batu di lokasi2 tertentu. Maka sebab itu, jika pasukan lawan dari sekolah lain datang melawan kami, mereka kurang lancar permainannya kerana jika silap buat hantaran, arah bola akan terubah bilamana terlanggar batu2 tersebut.

Begitulah hebatnya padang bola sepak sekolah saya masa tu. Kalau tak biasa, memang tak reti nak main kat situ.