Sunday, May 31, 2009

Selamat Pengantin Baru

(buat teman yang menamatkan zaman bujangnya)

Bernama perkahwinan itu

Adalah ikatan setia murni
bertapak pada nawaitu suci
berdiri atas kasih tulus
berpaut di puncak munajat
bernaung di persada kerukunan

-demi keharmonian hakiki
-demi kebahagiaan abadi

Di bahu kalian sebenarnya
Terbeban amanah
-pikullah dengan tabah & gagah
Di tangan kalian sebenarnya
Tergenggam kewajipan
-corakkan dengan cermat & nikmat

Di jiwa kalian sebenarnya
Terkandung harapan
-hiasi dengan kecerdikan & kecantikan

Kelak akan kalian rasai
-senang & tenang rohani
-iman & aman nurani

"Semoga jodoh berkekalan
bahagia berpanjangan
dirahmati & diberkati Tuhan!"


- KanvasKarya, Zulkaedah 1429

Thursday, May 28, 2009

SPM: Student Pening Memikir

Akhirnya 'kegilaan' yang saya pernah tegur dalam post saya pada 30 Mac 2008 mendapat reaksi positif daripada kepemimpinan baru kabinet Malaysia hari ini.

Laporan Utusan Malaysia benar-benar menggembirakan saya.

Berikut adalah petikan daripada post saya yang terdahulu itu:

Sama ada sedar atau tidak, wabak ini sebenarnya kurang sihat. Apa tidaknya, ia akan mewujudkan generasi muda yang cuba sedaya mungkin untuk 'memecahkan rekod' kecemerlangan akademik lepas. Jika dahulu pencapaian 17A1 dalam SPM adalah yang terbaik. Kini sudah ada pula 20A1!!!

Apa gunanya kita menggalakkan pelajar kita mengambil begitu banyak subjek?? Sama ada sedar atau tidak, kita telah memberi contoh yang tidak baik kepada calon-calon SPM yang akan datang kerana barang sudah pasti mereka akan cuba pula mencipta rekod lebih tinggi lagi.

Sepatutnya Kementerian Pelajaran menghentikan 'wabak' ini. Para pelajar sepatutnya diberi panduan dalam mencari halatuju masa depan mereka dengan menggalakkan mereka hanya mengambil subjek yang berkaitan dengan sasaran kerjaya masa hadapan mereka. Penumpuan segala sumber kepada halatuju yang jelas adalah lebih baik daripada mengambil begitu banyak subjek tetapi selepas itu tidak mempunyai halatuju dalam hidup.

Syukurlah kerana kerajaan kita sudah dapat melihat kesan buruk 'kegilaan' itu.

Alhamdulillah...

Monday, May 25, 2009

Antara Rempit dan Ringgit

Sejak kebelakangan ini, kekalutan semakin menjadi-jadi berhubung kes Mat-mat motor. Hinggakan ianya kelak akan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat dalam menafsirkan definisi mat motor.

Memang benar ada jenayah yg dilaksanakan oleh manusia yang menunggang motor, namun perlukah retorik penjenamaan pula yg dimainkan di sini? Jika dahulu digelar "Mat rempit" kerana suka berlumba motor haram, kini digelar pula "samseng jalanan" kerana menjadi-jadinya kes ragut bermotor.

Esok-esok jika ada kes rompakan bank bersenjata yg dilaksanakan mat motor, apakah akan diberi gelaran "Pengganas Bermotor" pula?

Hakikatnya retorik penjenamaan ini tidak akan menyelesaikan permasalahan jenayah tersebut. Malah ia lebih mengelirukan masyarakat.

"Eh..eh...ayah pun mat rempit ye" boboy berusia 4 tahun bertanya
"Kenapa boboy kata ayah mat rempit pula?" si ayah bertanya
"Ye la, sebab ayah bawak moto kan pergi keje....mat rempit la tu"
Menggeleng kepala si ayah hendak menjawab

Persoalannya apakah tiada jalan keluar daripada kemelut jenayah yang dilakukan segelintir penunggang motorsikal ini?

Kita simpati dengan mangsa-mangsa ragut yang ada sehingga menemui maut kerana mempertahankan harta daripada diragut.

Kini pihak berkuasa aktif membuat sekatan jalan raya dengan tumpuan kepada penunggang motorsikal, namun kelihatannya ini cumalah tindakan bermusim yang pastinya akan berhenti apabila isu ragut kembali senyap nanti.

Namun itu tidak akan menyelesaikan masalah secara tuntas.

Begitu ironis, tatkala di satu pihak dilakukan langkah pencegahan jenayah, di satu pihak lagi jenayah dicanangkan dan diraikan. Filem Bohsia:Jangan Ikut Jalan Gelap misalnya adalah contoh paling dominan yang menggalakkan muda-mudi merempit tatkala ini.

Muda-mudi kita yang dah memang 'mabuk' dengan dunia keterpesongan disuapkan pula dengan filem-filem sebegini seolah-olah mengiktiraf cara hidup salah yang diamalkan mereka. Apa lagi, naik tocang la mereka....

Nauzubillah...

Sebagai jalan penyelesaian, saya bersetuju dengan pendapat Dr. MAZA:

Satu perkara yang penting untuk kita sedar bahawa peningkatan jenayah adalah disebabkan para penjenayah tidak merasa gerun dengan pemerintah atau undang-undang yang ada. Hal ini kemungkinan disebabkan dua perkara; pertama, kerajaan atau penguasa undang-undang dilihat tidak kukuh sehingga mereka merasakan peluang untuk terlepas daripada hukuman itu luas. Kedua, undang-undang yang ada belum cukup menggerunkan.

Islam apabila menetapkan ‘hudud’ ia bersifat amat sukar untuk dijatuhkan, tetapi amat menggerunkan apabila dilaksanakan. Dalam ertikata lain, hanya yang benar-benar bersalah tanpa alasan sahaja yang akan dihukum dan hukuman itu pula benar-benar memberikan pengajaran kepada penjenayah dan yang berniat melakukannya.

Ya, kaedah hukuman dan cara perlaksanaan mungkin boleh diubah berdasarkan perubahan zaman dan manusia. Namun, kerajaan mestilah kembali kepada ajaran Islam dalam menghadapi jenayah. Seminar dan perbincangan berdasarkan ajaran Islam dalam menghadapi jenayah mesti dilaksanakan secara serius. Ini adalah tanggungjawab ‘menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar’ yang berada atas bahu kerajaan. Jika tidak, jenayah akan menguasai makruf dalam negara kita.



Thursday, May 21, 2009

Penyakit Paling Bahaya

Rasulullah bersabda, “Nyaris orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kalian, seperti halnya orang-orang yang menyerbu makanan di atas piring.” Seseorang berkata, “Apakah kerana sedikitnya kami waktu itu?” Beliau bersabda, “Bahkan kalian waktu itu banyak sekali, tetapi kamu seperti buih di atas air. Dan ALLAH mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kalian serta menjangkitkan di dalam hatimu penyakit wahn.” Seseorang bertanya, “Apakah wahn itu?” Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.” (HR. Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Dawud No. 3745)

Kesimpulan yang aku boleh buat daripada tulisan Ibnul Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya yg berjudul ‘Uddatu ash-Shabirin wa Dzakhiratu asy-Syakirin (halaman 350 - 358) berkaitan wahn ini adalah:

1. Cintakan dunia memerlukan seseorang mengagungkan dunia, padahal ALLAH menghina dunia. Mengagungkan perkara yang dihinakan ALLAH merupakan dosa besar.

2. ALLAH melaknat dan membenci dunia kecuali dunia dijadikan sebagai tempat mencari keredhaan ALLAH.

3. Apabila dunia dicintai, maka dunialah yang menjadi tujuan hidup.

4. Kesilapan yang dilakukan adalah menggunakan amalan di dunia yang ALLAH cipta untuk mengecapi nikmat di dunia.

5. Sepatutnya amalan ini digunakan untuk mencapai tujuan yang kekal iaitu kebahagiaan di akhirat kelak.

6. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.” (Huud: 15 - 16).

7. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.” (al-Israa’: 18).

8. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (asy-Syuura: 20).

9. Tidakkah kita takut dengan ancaman daripada ALLAH dalam ketiga-tiga ayat di atas?

10. Orang yang mencintai dunia mendapat 3 peringkat kesusahan.

11. Pertama, kesusahan mendapatkan nikmat di dunia, iaitu dengan bersaing dengan pencinta dunia yang lain.

12. Kedua, kesusahan di alam barzakh. Menyesal kerana hilangnya dunia dan tidak dapat kembali untuk menebus amalan sebagai bekal ke alam yang seterusnya. Di sini jugalah dia mendapat siksa kubur.

13. Ketiga, seperti yang telah sedia maklum, kesusahan di hari akhirat yang kekal - rujuk kembali ancaman ALLAH yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran di atas.

14. Kepada sesiapa yang beriman kepada hari akhirat, telah nyata bahawa dunia ini hanya sementara dan akhirat adalah tempat yang kekal.

15. Maka mencintai sesuatu yang tidak kekal samalah seperti mencintai sesuatu di dalam mimpi yang pada suatu ketika kita akan terbangun dan apa yang kita cintai akan lenyap.

16. Bukanlah disuruh terus meninggalkan dunia. Di sini lah fungsi akal dapat digunakan untuk menyeimbangkan dan menyaring amalan di dunia sama ada bertepatan dengan syariat atau pun tidak.

17. Berlebihan dalam menggunakan akal juga boleh menjerumus ke neraka, seperti menggunakan akal untuk mengubah sifat-sifat ALLAH berbeza daripada sifat-sifat yang telah ditetapkanNYA yang hanya layak untuk diriNYA.

18. Di sinilah diperlukan ilmu yang hak sebagai pembatasan kepada akal.

19. Kembali kepada cinta kepada dunia, berapa ramai daripada kita menangguhkan tuntutan akhirat demi mengutamakan tuntutan dunia?

20. Sebagai contoh yang popular di Malaysia sekarang ialah ungkapan “suatu hari nanti aku akan pakai tudung juga”.

21. Padahal ilmu tentang kewajipan menutup aurat telah jelas sejak sekolah rendah lagi.

22. Apakah tuntutan dunia yang dikejar dengan tidak memakai tudung (tidak menutup aurat)?

23. Mungkin untuk kelihatan cantik.

24. Banyak yang telah terjadi kepada orang-orang yang berniat sebegini apabila ilmu telah maklum kepadanya (tetapi ingkar) maka ALLAH menyibukkan dia dengan kenikmatan dunia sehingga niat hanya tinggal niat.

25. Cuba renung maksud firman ALLAH ni: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).” (al-An’aam: 44).

26. Cuba kita fikirkan kembali di mana letaknya diri kita hari ini?

27. Amalan kita setiap hari adakah lebih condong ke duniawi atau akhirat?

28. Bilakah kali terakhir kita berusaha mencari ilmu akhirat?

29. Belum cukup bahagiakah kita di dunia?

30. Di tahap manakah keyakinan kita akan bahagianya kita di akhirat kelak?


waALLAHu’alam.


wassalam.


(Dipetik dari: Bincang.net (BMM) oleh Trew)

Sunday, May 17, 2009

The Terminal

Setelah puas bercuti sempena raya puasa tahun 2002, tibalah masa utk berpisah dgn famili utk kembali ke Tanah Semenanjung utk meneruskan pengajian yang belum langsai.

Ketika itu, hanya airport Kota Kinabalu (KK) yang ada flight terus ke KLIA atau airport Subang. Justeru, saya menaiki bas dari Tawau ke KK, dengan modal RM 300 utk tiket flight KK-KL.

Masa itu, Airasia masih anak syarikat MAS. Kadar tambang biasa tiket Airasia utk flight KK-KL lebih kurang RM 400 ke RM 480. Tiket MAS pula sekitar RM 500 ke RM 700.

Sesampai di bandar KK, waktu itu masih Subuh sekitar jam 6 pagi. Teksi ditumpang utk ke airport KK. Sampai sahaja kaki terus ke kaunter Airasia utk bertanya tentang flight ke KL atau Subang.

"Flight ke Subang ada kosong tak encik?"
"Hmm...flight hari nie semua penuh la encik. Tapi flight subuh esok ada lagi kosong"

Hati gembira krn ada seat kosong utk flight subuh esok.

"OK...saya nak beli standby ticket utk flight subuh esok tu"
"Baik. Minta I.C encik. Semua sekali RM 250 sahaja"

Dengan pantas saya membayar nilai itu.

Istilah 'standby ticket' di sini ialah saya mendaftarkan diri sebagai penumpang yang bersedia utk memenuhi mana-mana seat kosong sekiranya ada penumpang asal yang gagal datang atau membatalkan tempahan di saat-saat akhir.

Itulah lumrah saya untuk menjimatkan wang peruntukan flight. Al-maklumlah...saya kurang berduit orangnya, datang dari keluarga yang kurang berada.

"Wah...tiket dah beli, tapi kena tunggu subuh esok lak" hati berkata
"Takpe...boleh pusing2 airport nie"

Saya pun ambil satu troli, beg diletak di atasnya..lalu perjalanan 'pusing2 airport' dimulakan. Airport KK masa tu ada 2 tingkat. Tingkat atas utk pelepasan (departure) dan tingkat bawah utk ketibaan (arrival).

Setelah puas pusing tingkat atas dan mengetahui setiap incinya, saya dgn troli turun ke tingkat bawah pula utk meneruskan penjelajahan. Setiap inci diterokai, sambil memerhatikan gelagat manusia sekeliling.

Hasil dari pemerhatian teliti, saya mendapat tahu lokasi warung makan yang sering dikunjungi kakitangan airport...bila orang ramai ke tempat makan begitu, sudah tentu la harga makanannya juga murah dan tidak cekik darah seperti KFC dan McD di tingkat atas sana.

Pusing punya pusing kat tingkat bawah, sampai la masa makan tengah hari. Dengan cergas saya menuju ke warung makan yang saya katakan tadi. Memang ramai manusia di situ, ground crew, pramugari, dan pemandu teksi pun ada.

Saya pun makan nasi ayam dan milo ais. Harga semua cuma RM 4 sahaja. Selamat la duit sikit. Malangnya warung itu cuma buka setakat jam 5 petang. Jadi utk makan malam saya kena cari port lain.

Selesai makan, saya pun solat Zohor di surau berdekatan. Kemudian duduk berehat di bangku di hadapan surau. Ternyata penat juga kaki kesan daripada aktiviti pusing2 tadi.

"Tunggu flight ke?"

Seorang mak cik yang berpakaian seragam bertanya sambil mengemop lantai.

"Yea...flight saya subuh besok" saya menjawab, tersenyum yakin
"Lama lagi tu. Kenapa tidak jalan2 di bandar dulu?"
"Takpe la makcik..lagipun beg saya nie berat2"

Makcik tu tersenyum dan terus berlalu.

Saya berehat lama di situ kerana mudah utk bersolat. Apabila selesai Isyak, saya kembali boring dan mula berjalan2 lagi dengan troli saya. Apabila lapar, saya ke tingkat atas utk membeli burger daging paling murah dari Burger King. Harganya Rm 2.70.

Setelah itu, saya berjalan2 lagi di sepanjang tingkat atas itu. Saya beli juga majalah utk saya isi masa lapang. Saya berjalan2 sampai saya naik penat dan mengantuk.

Saya pun turun ke tingkat bawah, menuju ke surau utk tidor. Memang ada papan tanda yang melarang tidur di situ. Tapi, saya lihat ada juga manusia yg terlentang dalam tu. So, saya pun join sekali. Utk keselamatan, beg dijadikan alas kepala, manakala sapu tangan diguna utk menutup mata...al-maklum la lampu dalam airport on 24 jam non-stop.

Lena saya terhenti apabila terdengar azan Subuh yang dikumandangkan seorang muazzin. Dengan pantas, saya bangkit utk solat bersama jemaah yang ada ketika itu. Selepas itu, cergas saya ke tingkat atas utk flight saya.

"Minta maaf encik. Tiada seat kosong utk flight ini. Semua penuh"

Saya tergamam tatkala diberitahu demikian oleh lelaki di kaunter Airasia itu.

"Tapi encik boleh tunggu flight kul 2 ptg nanti..mana tau ada kosong"

Saya pun mengangguk sambil melemparkan senyum tawar kepadanya.

"Malang betul...takde lak kosong. Harap flight petang nie ada la" hatiku merengus

Saya pun meneruskan rutin seperti semalam..iaitu berjalan pusing2 ke seluruh terminal dengan teman setia saya, sang troli.

Selepas makan tengah hari di warung tingkat bawah dan solat Zohor, saya kembali duduk di port biasa seperti semalam.

"Eh? Semalam kata flight Subuh tadi...kenapa ada di sini lagi" makcik cleaner tu bertanya lagi
"Saya tak dapat seat kosong la mak cik. Saya pakai tiket standby"
"Ooo...sabar la nak...." ujar makcik itu sambil berlalu

Saya bergegas ke kaunter Airasia utk melihat kalau-kalau ada seat kosong kerana jam sudah menunjukkan 1:35 ptg.

Lelaki di kaunter itu menggelengkan kepala, tanda tiada seat kosong.

"Tapi encik boleh tunggu flight subuh esok..mana tau ada nasib...."

Hati saya hampa.

"TTenenenet....tenenenet!!"
"TTenenenet....tenenenet!!!"

Nokia botol air saya berdering. Terpampang nombor emak di skrin.

"Hello!! Nak...dah sampai KL??"
"Yea...mak. Nie dah sampai airport KL nie" saya berbohong
"Bagusla nak...jalan elok2 yea"

Saya berbohong semata-mata utk mengelakkan emak saya risau yg bukan2. Saya anak lelaki...saya boleh hadapi situasi sebegini. Begitulah kata hati saya ketika itu.

Saya meneruskan rutin seperti semalam utk hari kedua. Cuma utk makan malam, saya cuba hiburkan hati dengan berkunjung ke Airport Cafe di tingkat atas, bersebelahan ofis polis airport.

Berselera saya tengok makanan yang disajikan di dalam kafe itu. Saya pun order satu air kotak oren jus dan mee goreng. Saya pun duduk keseorangan di suatu sudut dalam kafe itu utk menikmati makan malam saya.

Selesai makan, saya ke kaunter utk membayar harganya.

"Semua sekali RM 6.50 bang." Lelaki remaja di kaunter itu berkata

Saya pun bayar harganya.

"Lagi satu bang, tadi ada polis perempuan kirim salam kat abang."
"Eh? Siapa dia polis tu? Mana dia?" saya bertanya, pelik
"Tadi dia ada duduk makan di belakang abang...dia kirim salam"
"Waalaikumussalam...." saya menjawab sambil senyum tawar
"Hmm...abang nie kerja wartawan kan?" dia bertanya lagi
"Eh? Kenapa pula kata saya wartawan?" saya tanya balas
"Polis yang kirim salam tadi minat kat abang...dia kata abang nie wartawan"
"Kenapa dia boleh sangka begitu pulak?" saya tanya balik
"Yea la, abang dah lama saya tengok jalan-jalan di airport ni. Banyak menulis pulak tu"

Aduhai....rupa-rupanya ada mata yang memerhati kegiatan saya. Kegemaran saya menulis telah disalahertikan.

Saya pun berlalu dari kafe itu menuju ke surau tingkat bawah utk melelapkan mata. Dalam perjalanan itu, sekilas lalu saya terpandang seorang polis wanita yang memandang saya sambil tersenyum semacam. Mungkin dialah polis yang mengirim salam itu.

Saya pun tidur seperti semalam sambil berharap esok nasib saya berbeza.

Azan Subuh sekali lagi membangkitkan saya dari lena utk hari ketiga. Segera saya bersuci dan berwuduk utk menghadap Yang Maha Kuasa. Doa dipanjatkan memohon dikeluarkan dari kesulitan ini.

Saya terus bergegas ke kaunter Airasia utk seat flight yang tidak kunjung tiba.

"Saya minta maaf encik. Flight ini sudah dicarter last minute oleh Angkatan Tentera Malaysia"

Hati saya tersangat hampa ketika itu.

"Takkan la saya kena duduk airport nie lagi" hati saya merintih

"Nanti sebentar yea encik, saya rujuk kes encik nie ke pihak atasan saya" lelaki itu memberi harapan sambil menelefon seseorang

Tidak berapa lama kemudian, muncul seorang lelaki dari ofis Airasia yang lengkap berpakaian sut hitam.

"Saya minta maaf encik kerana encik tersangkut sebegini. Menjadi polisi kami utk menukar status tiket encik sekarang daripada standby tiket kepada confirm tiket kerana encik sudah tiga hari menunggu flight ini" lelaki sut hitam berkata

Hati saya gembira semula. Ada sinar cahaya di hujung terowong yang gelap.

"So, sekarang nie macam mana?" saya bertanya

"OK, encik berikan saya tiket standby encik, saya tukar ke tiket confirm tapi encik naik dgn pesawat MAS la sebab pesawat Airasia dah fully-cartered"

Saya pun memberikan tiket standby saya yang dah kusam. Lelaki itu menukarnya dengan tiket flight MAS KK-KLIA, jam 2 petang ini.

"Kami minta maaf ye encik. Sekarang encik tidak perlu menunggu lagi. Jam 2 ini fly"

Saat itu adalah saat paling beremosi. Gembira bercampur sedih bercampur terharu. Saya akhirnya terbang ke KLIA setelah melalui tiga hari yang menginsafkan.












Tuesday, May 12, 2009

Berita Dari Seberang

"Treet!"
"Treet..treett!"
"Treet...treet!!"

Nokiaku bergetar tatkala SMS misteri menjengah masuk. Mata pantas melirik paparan skrin handphone itu.

Ternyata ia adalah perkhabaran dari kawan lama dari seberang Laut China Selatan.

"Awak apa khabar?"

"Sihat, alhamdulillah" ku mulakan sembang jemari

"Bila nak langsungkan nikah nie? Lelaki idaman dah jumpa. Jgn tunggu lama" aku bertanya

"Hmm...kami dah putus. Mungkin mmg jodoh saya belum lagi sampai" dia membalas

"Haaa?? Apa yg berlaku?" aku terkejut

"Biarla jadi ingatan saya. Tapi ia berpunca dari dia" dia bernada sayu

"Takpe la...nanti ada la lain tu" ku cuba memotivasi

*******************************************************************************

Kisah di atas membuatku terfikir sejenak...

Betapa hidup ini penuh perkara yang tidak kita duga. Ada kalanya menggembirakan, namun tidak kurang yang memurungkan.

Lalu, ia kembali kepada penerimaan diri kita sendiri. Jika kita cuba mencari sinar di sebalik peristiwa gelap yang kita alami, maka sudah tentu peristiwa setragis mana pun tidak menjejaskan kekuatan mental kita dalam menghadapinya.

Namun jika sebaliknya...maka segala perkara yang positif yang datang selepas suatu peristiwa gelap, kita tentu akan melihatnya sebagai menyedihkan...mengecewakan.

Walhal, ada di antara perkara-perkara itu bakal membuka pintu ke arah kebahagiaan. Cumanya, kita perlu memberi peluang kepada diri sendiri untuk bangkit dari kegagalan, kemurungan dan belajar untuk redha dengan apa yang telah berlaku...dan sebaliknya bersedia utk apa yang akan datang.


Kisah kawan saya di atas sememangnya meruntun kalbu. Tatkala dia bertemu dengan lelaki yang mempunyai hampir semua yang dia cari, dia dengan riangnya menyampaikan perkhabaran itu kepada saya. Lantas saya doakan agar dipercepatkan ikatan rasminya.

Namun setelah 4 bulan berlalu, saya menerima perkhabaran lagi daripada dia. Yang saya sangkakan berita gembira...rupanya berita duka.

Bersabarlah temanku....jodoh itu bukan hati kita yang memuktamadkannya. Ada kuasa yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana yang menentukan itu demi kebaikan kita juga....insan yang lemah dan memerlukan bimbingan.

Tuesday, May 05, 2009

Ummi....ya ummi...

Orang kata aku lahir dari perut mak..

(bukan org kata...memang betul)

Bila dahaga, yang susukan aku.... mak
Bila lapar, yang suapkan aku....
mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ..
mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut....
Mak
Bila bangun tidur, aku cari....
mak
Bila nangis, orang pertama yang datang ....
mak
Bila nak bermanja, aku dekati....
mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah....
mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya....
mak
Bila nakal, yang memarahi aku....
mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma....
mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah....
mak
Bila takut, yang tenangkan aku....
mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk....
mak
Aku selalu teringatkan ....
mak
Bila sedih, aku mesti talipon....
mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu.... .
mak
Bila bengang.. aku suka luah pada..
mak
Bila takut, aku selalu panggil...
"mmaaakkkk! "
Bila sakit, orang paling risau adalah....
mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga....
mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu....
mak
Bila ada masalah, yang paling risau....
mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni..
mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku. ...
mak
kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk.....
mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku....
mak
Yang selalu berleter kat aku...
mak
Yang selalu puji aku....
mak
Yang selalu nasihat aku....
mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk.....
mak


Aku ada pasangan hidup sendiri....


Bila seronok, aku cari.......pasangan ku
Bila sedih, aku cari......
mak


Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada....
mak


Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat....
emakku


Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah.....
mak


Bila sambut valentine... Aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan "Selamat Hari Ibu"


Selalu.. aku ingat pasanganku

Selalu.. mak ingat kat aku


Bila-bila... aku akan talipon pasanganku
Entah bila... aku nak talipon
mak


Selalu....aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk
emak


Renungkan:

"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja... bolehkah kau kirim wang untuk mak?
mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah"...

Berderai air mata jika kita mendengarnya. .......


Tapi kalau mak sudah tiada.....
.....

MAKKKKK...RINDU MAK..... RINDU SANGAT....


Berapa ramai yang sanggup
menyuapkan ibunya....
berapa ramai yang sanggup
mencuci muntah ibunya.....
berapa ramai yang sanggup
mengantikan lampin ibunya......
berapa ramai yang sanggup
membersihkan najis ibunya...... .
berapa ramai yang sanggup
membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
berapa ramai yang sanggup
berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....

dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya......

Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.Kos upah membantu ibu:

1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Monday, May 04, 2009

100 yang tragis...

Tahun 1988...masa tu saya di Darjah 3. Kelas 3 Merah namanya. Guru kelas saya bernama Cikgu Hamidah. Dia mengajar matapelajaran Bahasa Malaysia dan juga matapelajaran Ilmu Hisab (matematik la).

Masa tu kelas 3 Merah nie memang famous dikenali sebagai kelas yang paling bising dan huru-hara. Apa tidaknya....murid-muridnya terdiri dari kalangan manusia-manusia yang hyper-active, termasuk saya sendiri.

Pantang takde cikgu masuk kelas, suasana dalam bilik darjah secara automatis bertukar menjadi pasar. Yang lelaki ada yang main bola sepak dalam kelas la, main daun terup la, main duit syiling la. Macam-macam peel. Yang perempuan lak bermain batu seremban la, salin lirik lagu la, menyanyi la. Ada juga yang main spirit-spirit (syiling diletak di atas kertas, lalu diseru nama jin tertentu utk menjawab soalan para pemain). Macam-macam perangai ada.

Saya lak juga tidak kurang nakalnya. Permainan saya dalam kelas lebih advanced. Saya dengan kawan rapat saya masa tu, Salleh Imdani, Fadli dan Jay suka bermain 'snooker duit syiling'. Kami pakai pensel atau kayu panjang sikit sebagai kayu snooker. Cue ball (ibu bola) pula adalah duit 50 sen. Bola dalam rack lak adalah himpunan duit 10 sen.

Pada setiap penjuru meja kelas yang dijadikan meja snooker itu, kami lukis garisan sebagai tanda lubang (pocket) seperti pada meja snooker sebenar. Peraturannya sama macam main snooker betul. Mana-mana duii syiling yang masuk ke lubang di penjuru menjadi milik si pemain yang memasukkannya.

Fuhh...memang berhantu betul main game tu. Memang asyik sekali. Masa tu la gelak sakan berdekah-dekah utk mensaiko pemain lawan ketika dia hendak memulakan pukulan pada cue ball.

Namun yang saya tak pernah lupa ialah insiden pada suatu hari. Masa tu, cikgu lewat masuk kelas....apa lagi...kami pun transform kelas menjadi pasar malam dgn aktiviti2 tidak berfaedah seperti disebutkan di atas.

Sedang kami sekelas asyik membuat onar, Cikgu Hamidah datang masuk kelas.

Praapp...serta merta kami susun balik meja ke tempat asal, dan duduk balik ke lokasi masing-masing. Masa tu waktu matapelajaran Matematik.

Cikgu Hamidah masuk kelas lalu duduk di kerusi guru di hadapan kelas yang ada meja besar, khas utk guru yang mengajar.

"Haa....Soset, Nurin mari sini...urut bahu cikgu nie"
"Yang lain tu buka muka surat 47...buat soalan tu semua sampai habis"

Sambil diurut oleh dua murid perempuan tu, Cikgu Hamidah pun buka kotak makeup miliknya. Sambil bercermin dgn itu, dia men'touch up' bedak ke pipi dia.

Ketika ini, kawan baik saya Jay tidak membawa buku teks berkenaan. Justeru dia pun menikus dengan tunduk sambil menekup mukanya di atas meja.

Cikgu Hamidah nampak Jay tidak buat apa yang disuruh.

"Haa...Jay!! Kenapa tak buka buku? Nie mesti tak bawa buku nie. Pemalas.!! Buku simpan di rumah....siapa nak baca tu? Mak ayah kamu ke?"

"Keluar ke depan Jay!!" Cikgu Hamidah dah marah.

Jay pun dengan longlai berjalan ke hadapan papan hijau.

"Sekarang buat pumping 100 kali! Murid-murid lain kira...selagi tak cukup jangan kamu duduk Jay!!"

Pumping yang dimaksudkan di sini ialah tok ketampi seperti dalam filem Labu Labi, karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tu.

Jay pun mula pumping.

"Satu! Dua! Tiga! Empat!" Jay buat pumping dengan laju kerana dia juga berang kpd cikgu tu.

Namun apabila masuk kiraan 50, saya dapat lihat Jay keletihan dan beberapa kali berhenti sejenak ketika mencangkung.

Saya dapat melihat matanya naik merah, sebab amarah dan menahan penat. Kami sekelas yang mengira kiraan pumping dia juga amat simpati.

"Kenapa berhenti tu Jay? Belum sampai 100 tu" Cikgu Hamidah menyindir.

Serta merta Jay bersemangat kembali dan meneruskan pumping itu. Namun apabila mencecah angka 89, Jay dah mula berdiri tidak stabil ketika membuat pumping itu. Amat ketara dia terlalu penat ketika itu. Kami sedih dan simpati melihat dia.

Jay gagahkan juga sehingga ke angka 95. Masa tu saya perhatikan Jay sudah kehabisan tenaga. Sehingga nak berdiri dari mencangkung kelihatan begitu berat sekali. Peluhnya sudah membasahi kuyup baju dan seluar sekolahnya.

Apabila dia mencapai angka seratus, dia cuba melangkah kembali ke kerusi dia....namun langkahnya longlai dan terhoyong hayang. Akhirnya dia rebah ke lantai kerana pening kepala dan terlalu letih.

"Ala...baru 100 dah pengsan. Lain kali malas lagi.." Cikgu tu bersuara lagi.

Saya dan kawan lelaki lain bingkas bangun untuk membantu Jay yg rebah. Kasihan dia. Masa tu, dia meminta air kerana dahaga sangat. Mujur ada murid perempuan yang sudi memberi botol air untuk dia.

Ternyata hari itu adalah hari malang buat Jay, sehingga diperlakukan sedemikian oleh cikgu yang tiada perasaan kemanusiaan.

Sejak peristiwa itu, kami sekelas memang anti dengan cikgu itu.

Jay dan Saleh adalah antara rakan saya yg berjaya meneruskan pelajaran seiring dengan saya sehingga ke Tingkatan 5. Namun sejak SPM tamat, kami sudah lost contact.

Doa saya agar Saleh, Jay, Fadhli dan juga rakan seangkatan saya semasa darjah 3 Merah dikurniakan kehidupan yang bahagia.