Monday, November 30, 2009

Resolusi meditasi

Jam tepat menunjukkan 12:31 tengahari.

"Cikgu...saya minta diri nak ke surau"

Perlahan-lahan saya dan seorang lagi teman meninggalkan cikgu yang tengah mengajar di kelas.

Kelihatan berduyun pelajar lelaki dari kelas seangkatan juga keluar menuju tempat yang sama. Segerombolan demi segerombolan berjalan keluar tatkala azan Zohor sayup-sayup kedengaran dari masjid kampung berdekatan.


Sebenarnya kami baharu sahaja selesai melalui seminggu kursus intensif yang dipanggil Kem Bina Semangat, kursus yang diberi khas kepada pelajar tingkatan 3 demi menyediakan kami dari segi mental dan rohaniah untuk menghadapi peperiksaan besar PMR yang akan datang dalam tempoh empat bulan lagi.

Dalam kem tersebut kami telah ditarbiyah untuk benar-benar menghargai dan menepati masa. Perkara yang paling dititikberatkan ialah penunaian solat fardhu berjemaah, termasuk solat sunat dan qiamullail.

Kami diasuh untuk melaksanakan ibadah solat tanpa alasan kerana ia adalah tiang agama. Mendirikannya bererti meneguhkan agama. Meninggalkannya bermakna meruntuhkan agama. Kami dididik bahawa solat itu paling terbaik dan optimum ganjarannya apabila dilaksanakan secara berjemaah dan di awal waktu masuknya.

Kami juga ditarbiyah untuk mengutamakan ibadah kepada Allah melebihi persediaan menghadapi PMR itu kerana PMR cumalah cebisan kecil daripada perjalanan hidup di alam fana ini. Persediaan untuk alam Akhirat itulah perjuangan yang paling utama.

Pendeknya, kem itu bertujuan membentuk kami untuk bersedia menghadapi kehidupan ini secara keseluruhannya. Para guru mahu kami ada pegangan kuat kepada agama sebelum kami berdepan cabaran sebenar kehidupan di luar sana selepas PMR.

Seusai kem itu, kami terus mempraktikkan apa yang telah diterapkan, khususnya solat berjemaah pada awal waktu itu.

Namun, kecenderungan bersolat berjemaah itu mengundang rasa khuatir di kalangan guru. Apa tidaknya, PMR dah makin hampir...tetapi pelajar pula mudah meninggalkan kelas walaupun ada guru sedang mengajar, sekaligus menjejaskan persediaan yang para guru rancang untuk kami.

Kerisauan yang memuncak itu membawa kepada suatu resolusi drastik - kami ditegah sama sekali untuk keluar kelas untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah besar-besaran. Ya! Ia suatu resolusi yang bercanggah dengan apa yang diterapkan oleh para guru sendiri semasa kem itu. Namun, begitulah hakikatnya.

Penulis menukilkan peristiwa ini di sini kerana terfikir apakah keruntuhan moral yang berlaku di zaman ini adalah disebabkan kita sentiasa membelakangkan apa yang Allah suruh demi meraih kejayaan sementara di dunia?

Tidak dinafikan peperiksaan PMR, SPM, STPM itu besar impaknya dalam kehidupan kita. Namun apakah impaknya itu jauh lebih buruk daripada meninggalkan perlaksanaan ibadah secara kaffah dan seoptimum mungkin?

Jiwa muda yang kosong tetapi diisi dengan nafsu untuk keduniaan telah menghasilkan generasi muda mengejar keduniaan semata-mata. Tatkala tersadung lalu tercicir ketika dalam perlumbaan, mereka hilang arah tuju, hilang pedoman. Lantas mereka membina dunia khayalan mereka sendiri lalu hanyut di dalamnya.

Maka wujudlah generasi yang tidak kenal pintu masjid, tetapi kenal Sheila Majid. Tidak kenal ibu kepada Nabi, tetapi kenal kepada ibu pengasas jenama Tommy. Tidak tahu bila hari-hari Tasyrik, tetapi ingat bila Hari Krismas.

Soalnya sekarang, apakah ikhtiar kita sebagai bakal mak dan ayah di masa hadapan untuk mencorak anak-anak kita agar tidak tergolong dalam generasi yang hanyut ini?

Sama-sama kita usahakan....

Insya Allah....

Tuesday, November 17, 2009

Generasi termutasi

Tergerak hati untuk merasa menggunakan perkhidmatan monorail tatkala hujan menyapa manja petang Sabtu yang redup di tengah ibukota.

Kaki melangkah naik menuju lokasi menunggu. Ternyata berkerumun manusia berceratuk menanti sang gerabak besi datang. Melihatkan begitu ramainya manusia, terdetik juga di hati betapa menyesalnya memilih kaedah perjalanan ini. Namun, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai tangan bau masam!



Akhirnya si gerabak pun sampai. Barisan yang tersusun tadi serta-merta menjadi caca-marba tatkala pintu gerabak dibuka. Semua orang ingin masuk segera, walau caranya tidak bersivik. Hinggakan menyukarkan orang dari dalam gerabak untuk melangkah keluar.

Bagaimana pun, kaki dapat juga menerjah masuk ke dalam sambil berdiri di tepi pintu. Tangan berpaut kepada tiang besi. Gerabak pun mula bergerak melalui stesen demi stesen di sepanjang metropolitan.

Kedengaran bingit suara ahli keluarga yang rasanya datang dari Tanah Besar China, berkomentar tentang bangunan-bangunan yang wujud di sepanjang laluan monorail. Namun mata ini terpanggil untuk memerhati satu senario yang memikat.

Kelihatan duduk di kerusi seorang wanita Eropah sambil di tepinya berdiri seorang lelaki Eropah yang juga pasangannya sambil menggalas beg pakaian yang bagak dan berat. Dua lagi manusia yang duduk di situ ialah dua lelaki Melayu muda belia.

Di tepi kerusi itu ada seorang makcik tua yang berdiri sambil memerhati tajam kepada kedua anak Melayu itu. Sang makcik berdiri berpaut sambil pada palang besi di tepi kerusi itu sarat dengan barang shopping dalam kantung beg plastik yang besar. Di belakang makcik itu pula berdiri seorang lelaki Eropah dalam lingkungan usia 50-an mungkin.

Tatkala tiba di stesen destinasi, si wanita Eropah dengan pasangannya berganjak keluar daripada gerabak meninggalkan satu ruang duduk kosong di tepi dua remaja Melayu itu.

Seorang daripada remaja itu pun menjemput si lelaki Eropah tua itu duduk. Lelaki tua itu pun duduk. Kemudian kedua-dua remaja Melayu itu pun berborak ringan dengan si lelaki Eropah dalam bahasa Inggeris. Sambil sang makcik berpaut kat palang besi seperti mana awal tadi.

Melihatkan senario itu, penulis terfikir di mana silapnya sehingga insiden sebegini boleh terjadi. Apakah ungkapan "I look stupid when I speak in Malay" yang pernah diucapkan seorang artis remaja Melayu sebenarnya membawa suatu konotasi yang lebih mendalam daripada maksud tersuratnya yang superfisial sebagai mewakili fikrah generasinya ?!!

Atau, apakah disebabkan kempen Tahun Melawat Malaysia, Zoom Malaysia atau Malaysia: Truly Asia telah merubah budaya kita kepada lebih ramah kepada pelancong asing berbanding penduduk tempatan?

Berpinar minda penulis berfikir sambil sang gerabak berengsot perlahan menuju destinasi demi destinasi.

Ya! Pendek katanya generasi muda di ibukota lebih menghormati warga Eropah kerana pengaruh media massa yang menggambarkan mereka sebagai bangsa yang lebih bertamadun, moden dan hebat, lantas mencuit rasa hormat yang berlebihan kepada mereka, melebihi hormat kepada bangsa sendiri dan agama sendiri.

Wallahu 'alam....