Saturday, February 27, 2010

Dua jalan

"Di negara ini, terbuka dua jalan yang lebar: jalan ke Neraka dan jalan ke Syurga. Pilih mana suka"

Ungkapan itu keluar sejujurnya dari mulut ustazah yang mengajar kami sebagai ayat penutup tazkirah ringkas beliau.

Bilamana direnung kembali, sememangnya ada kebenarannya. Seandainya negara ini benar-benar berpaksikan Islam sebagai tunjang pemerintahannya, sudah tentu model yang patut dicontohi ialah model negara Islam yang dibentuk oleh Rasulullah SAW dahulu.

Ya! Orang akan kata mengapa kita tidak mampu mencontohi corak negara Islam pimpinan Rasulullah SAW itu sedangkan pada masa itu masyarakat mereka juga masyarakat majmuk dengan ada Yahudi serta Nasrani di dalamnya. Malahan ketika itu, umat Islam sedikit sahaja bilangannya berbanding bukan Islam, namun Islam berjaya juga memerintah dengan adil dan saksama.

Jawapannya agak mudah. Ini kerana pada zaman itu, walaupun umat Islam bilangannya sedikit, telah terpancar aura kekuatan. Bukan sahaja kerana ketokohan Rasulullah SAW, tetapi disebabkan bersatunya umat Islam dan betapa mereka tidak berkompromi dalam soal akidah.

Ini dapat dilihat daripada latar belakang turunnya Surah Al-Kafirun di mana ketika itu orang-orang bukan Islam berusaha mengajukan cadangan kompromi kepada Rasulullah SAW di mana mereka menawarkan: jika Rasulullah mahu memuja Tuhan mereka, maka mereka pun akan memuja Tuhan sebagaimana konsep Islam. Kemudian surah ini diturunkan untuk menjawab hal itu.

Begitu tegas pegangan umat Islam ketika itu dalam soal akidah. Lantas memancarkan kekuatan yang ampuh yang mendatangkan gerun kepada musuh sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Namun bilamana kita melihat situasi yang berlaku dalam negara ini. Agak menyedihkan. Umat Islam diasak dengan pelbagai jenis serangan, namun tindak balas kita cuma menyerap serangan.

Isu penubuhan suruhanjaya antara agama, isu penggunaan nama Allah, isu Lina Joy, dan isu penemuan kepala babi di kawasan masjid - semua itu datang untuk menguji kekuatan umat Islam. Bila mana mereka tahu umat Islam sudah lemah dan ambil sikap tak kisah, maka serangan-serangan yang lebih hebat akan dilancarkan untuk memusnahkan sama sekali umat Islam.

Umat Islam perlu bangkit menunjukkan kekuatan. Soal sebegini kita tidak boleh berkompromi sama sekali.

Sempena 12 Rabiulawal ini, mari kita pelajari kembali denai-denai perjuangan yang dilalui Nabi Junjungan kita, Rasulullah SAW yang sudah jelas terbukti berjaya menundukkan kuasa besar Romawi dan Parsi serta musuh-musuh Islam yang lainnya sambil membentuk pemerintahan yang adil di mana masyarakatnya tak mengira agama boleh hidup dalam harmoni.



"For you is your religion, and for me is my religion."

Friday, February 12, 2010

Membela toyol


Peperiksaan semester tinggal dua hari lagi. Paper yang akan menjengah ialah paper yang paling sukar kerana banyaknya istilah-istilah teknikal yang perlu diingat.

"Jangan hafal....tapi cuba fahami konsep keseluruhan!"

Itulah kata-kata azimat yang sering dicanangkan para pensyarah bilamana ada pelajar yang meminta 'hint' atau 'soalan bocor'.

Penulis pun mula terkena penyakit insomnia bermusim. Makan buku, tido buku, minum pun ingat berbuku-buku. Al-maklumlah, semester pertama di universiti. Tekad untuk score itu memang tebal sekali.

Sedang tekun menelaah, kawan sekuliah datang melawat di asrama penulis.

"Wei....jangan la kalut sangat. Bawak rilek" nasihat si teman

"Tak dapat nak rilek nie. Banyak kena cover nie. Kalau tak, nanti blur je masa exam"

"Kau tengok aku nie...tak goyang pun. Steady jer" sambil tersengih

"Wah...nie kau mesti dah study awal-awal nie. Boleh la study group dengan saya"

"Tak perlu tu semua...aku ada toyol yang boleh membantu masa exam nanti"

[Dalam hati] "Wah....orang sini pakai ilmu hitam dan benda khurafat gak yer utk lulus exam"

"Eh? Kau belajar dari tok guru mana sampai boleh dapat toyol nie?"

"Tok guru apanya. Aku bela sendiri toyol tu"



Ketika itu, penulis masih belum faham apa yang dimaksudkan dengan 'toyol'. Penulis terfikir ia merujuk kepada makhluk bersaiz kanak-kanak yang berkepala botak, bermata merah.

Kesalahfahaman penulis itu diperkuatkan lagi dengan rekod si teman yang sentiasa lulus dalam ujian bulanan.

Selesai sahaja exam tersebut, baharulah penulis faham apa itu toyol dalam bahasa pelajar universiti. Walaupun ia boleh menyebabkan pelajar yang membelanya dibuang universiti, tapi hakikatnya memang ramai yang mengamalkannya.

"Pandai makan, pandai-pandailah simpan"

"Konsep belajar itu bukannya kena lurus bendul, tetapi kepandaian untuk menggunakan segala cara untuk terus survive"

Itulah dua 'mutiara kata' yang pernah dilontarkan cikgu di sekolah menengah yang telah melalui zaman di universiti.

Sama-sama kita renungkan....