Tuesday, November 30, 2010

Barakallah, Maher!

Jika dahulu peminat nasyid disajikan dengan rentak muzik ala padang pasir yang dikenali dengan bunyian alat paluan seperti gendang atau kompang, kini ia sudah berubah dengan pendekatan moden yang lebih dekat dengan generasi muda di kala ini.

Kemunculan Maher Zain telah memberi nafas baharu kepada usaha dakwah menerusi halwa telinga yang didatangkan dalam konsep rentak R & B dan Soul yang sememangnya dekat di hati muda mudi.

Dengan album pertama berjudul "Thank You Allah", beliau merubah pandangan masyarakat dunia pada seni nasyid dengan berjaya menarik begitu ramai peminat di seluruh dunia, malah di Malaysia sendiri jualan album beliau mencapai tahap 'double platinum'.

Dengan alunan muzik moden yang sedap didengar sambil dibantu lirik-lirik lagu dalam bahasa Inggeris yang meruntun kalbu, dakwah beliau sedikit sebanyak mendekatkan para pendengar kepada ajaran Islam yang syumul.


Sekaligus fenomena baru ini membuktikan bahawa nasyid boleh menembusi pasaran antarabangsa seandainya ramuan pakejnya tepat. Bukan produk halal sahaja yang punya pasaran yang global, tetapi muzik juga punya potensi yang sama hebatnya.

Wallahu álam.