Saturday, September 02, 2006

Ada apa dengan tudung??

Peristiwanya:





Pernah tak kita terbaca atau terdengar ayat berikut:

  • "Ala...orang bertudung pun kadang-kadang lebih teruk perangai dari yang tidak bertudung"
  • "Hey, bertudung itu tidak wajiblah..."
  • "Pakai tudung nie ketinggalan zaman la.."
  • "Bila solat je baru kita disuruh pakai telekung, time lain takpe.."
  • "I rimas la bertudung...panas dan rasa tak bebas.."
  • "I tak pakai tudung sebab rambut I boleh rosak atau gugur.."
  • "Tengok tu...orang bertudung pun kena rogol..apa bezanya dengan tidak pakai tudung??"

Persoalannya:

Mengapa boleh terjadi suasana sebegini di dalam masyarakat Islam kita hari ini? Sudah begitu terpesong pemikiran segelintir wanita Islam kita sehingga boleh menuturkan ujaran-ujaran sedemikian. Soalnya apakah unsur yang telah membawa keterpesongan ini??

Dr. Mohd. Asri dalam artikelnya, mendedahkan serangan terancang Barat ke atas soal aurat wanita Islam sebagai punca utama. Hebatnya dakyah Barat sehingga ada segelintir umat Islam yang terpengaruh lalu mempertikaikan batas-batas aurat wanita dalam Islam sehingga mendakwa rambut wanita bukanlah aurat dan menutup kepala itu sebenarnya menutup akal. Pandangan ini dipelopori oleh Al-'Ashmawi dan Abdul 'Azim Ramadhan - dua tokoh Mesir yang mendewakan Barat.

Di Malaysia, pandangan dua tokoh ini turut didukung oleh beberapa NGO, terutamanya Sisters In Islam - pertubuhan sama yang menentang poligami daripada diamalkan dalam keluarga Islam. Gerakan Islam Liberal banyak bertopengkan NGO-NGO seperti ini dalam menyebarkan dakyah mereka yang banyak bercanggah dengan fatwa Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara tokoh di belakang tabir Sisters in Islam ini ialah Dr. Amina Wadud (pernah menggemparkan dunia dgn tindakan beliau mengimamkan solat Jumaat suatu ketika dulu) dan pelopor Islam Liberal Indonesia, Kiyai Hussein Muhammad.

Penyebaran dakyah songsang Islam Liberal semakin meluas dengan keupayaan menggunakan saluran media massa di Malaysia. Antaranya rancangan 3R, terbitan Marina Mahathir, yang juga ahli aktif dalam Sisters In Islam, sama seperti anak perempuan Perdana Menteri kita sekarang.

Merbahayanya doktrin Islam Liberal ini ialah kerana mereka menafsirkan ajaran agama Islam seiras dengan pandangan umum masyarakat Barat. Mereka memperalatkan al-Quran dan segala dalil ditafsirkan mengikut kehendak mereka (al-Khalidi, Mafatih li at-Ta`amul ma`a al-Quran).

Berbalik kepada persoalan asal, semua mazhab berpendapat rambut wanita adalah WAJIB ditutup. Justeru, memakai tudung itu adalah WAJIB hukumnya. Dalil utamanya ialah Surah An-Nur ayat 31:

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya..."

Para ulama muktabar sepakat berpendapat bahawa wanita yang memandang remeh kewajipan menutup aurat adalah berdosa dan di akhirat nanti akan disiksa dengan begitu azab sekali. Wanita yang sengaja menafikan kewajipan menutup aurat boleh rosak dan terpesong aqidahnya daripada Islam. Wanita yang sengaja melengah-lengahkan melaksanakan kewajipan ini sekiranya meninggal dunia sebelum sempat bertaubat akan menyesal dengan penyesalan yang amat besar di akhirat kelak. (sumber: Laman Mufti)

Pemakaian tudung kelihatan remeh bagi sesetengah pihak, namun hikmah di sebalik syariat itu membawa maksud yang besar - menjaga aurat dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja menjaga maruah diri, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya.

Harga diri wanita terlalu mahal. Atas dasar itu syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki, kecuali muka dan tapak tangan. (sumber: Laman Mufti dan Darulnuman).

3 comments:

Anonymous said...

bleh x utk penulisan akan datang saudara ceritakan pasal cara pemakaian perempuan yang betul dalam islam.

Darth Windu said...

Insya Allah, akan saya usahakan

Puteri Melur said...

Maybe u can quote from a book entitled : "Kenapa saya bertudung?"