Wednesday, January 26, 2011

Sejarah Yang Berulang

Manusia sering tidak belajar daripada sejarah sehingga mengulang kesilapan yang sama seperti yang terakam dalam lipatan sejarah itu.

Dunia kini menyaksikan bagaimana revolusi rakyat menumbangkan kerajaan Tunisia pimpinan Presiden Zine el Abidine Ben Ali yang telah memerintah selama 23 tahun secara kuku besi. Revolusi berdarah ini adalah kemuncak kemarahan rakyat yang sudah muak dengan corak pemerintahan yang menindas serta korup.


Di sebalik penderitaan rakyat Tunisia selama berada di bawah cengkaman Ben Ali, kaum kerabat bekas jeneral tentera itu mengamalkan gaya hidup bermewah-mewahan, khususnya isteri Ben Ali sendiri Laila Trabelsi yang begitu ketara keborosannya serta pemilikan hartanya yang melampau-lampau.

Gaya hidup keluarga Ben Ali yang sedemikian jelas menaikkan darah rakyat bawahan, lantas mencetuskan penggulingan berdarah yang begitu dahsyat sekali.

Kisah yang berlaku di Tunisia sebenarnya adalah ulangan apa yang berlaku kepada keluarga Marcos di Filipina, di mana kehidupan bermewah-mewahan isterinya, Imelda Marcos sambil corak pemerintahan kuku besi Marcos telah mencetuskan gerakan People Power Revolution pimpinan Corazon Aquino pada tahun 1986 yang menggulingkan kuasa Marcos dengan hinanya

Di Malaysia, akibat tidak mempelajari sejarah yang sama, kepimpinan Pak Lah terpaksa diundurkan lebih awal berbanding bekas-bekas perdana menteri sebelumnya. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan ialah disebabkan penglibatan kaum kerabat Pak Lah dalam pentadbiran negara, khususnya penampilan ketara menantu beliau, Khairy Jamaluddin.

Penulis masih ingat lagi sewaktu PRU 12 bagaimana begitu merebaknya kebencian di kalangan rakyat bawahan ketika itu pada corak kepimpinan Pak Lah yang didakwa lemah dan banyak bagi muka kepada menantunya.

Malah di kalangan penyokong-penyokong UMNO pun ketika itu sudah terdengar jelas bisik-bisik betapa mereka menyampah dengan Khairy yang memanjat tangga-tangga kuasa politik dengan pantas (sambil memijak kepala orang-orang yang telah lebih lama dalam politik) hanya bermodalkan bapa mertuanya yang menjadi perdana menteri ketika itu.

Penampilan Khairy menerusi media massa begitu kerap sekali sehingga perasaan menyampah para pengundi ketika itu begitu membuak-buak. Malah penyebaran gelagat kurang ajar Khairy semasa kempen pilihan raya di Youtube menambah bagi sakit hati para pengundi.

Penulis tidak tahu apakah kebencian itu adalah taktik pembangkang ketika itu. Namun jelas sekali rakyat pada masa itu tidak gemar melihat kelibat Khairy di kaca televisyen mahupun suratkhabar.

Dan menjelang hari pilihanraya pula, kempen terang-terangan di televisyen yang meminta rakyat mengundi Barisan Nasional dicanangkan dalam slot waktu perdana. Hal ini tidak pernah berlaku sewaktu zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Rupa-rupanya kempen itu menambah lagi sakit hati para pengundi kepada BN. Natijahnya rakyat beralih mengundi pembangkang dan menyaksikan BN kehilangan kuasa 2 per 3 dalam Parlimen.

Ketika ini, sejarah yang sama seolah-olah akan berulang. Kali ini penulis dapat merasakan adanya bisikan rasa menyampah rakyat bawahan pada kemunculan-kemunculan isteri Perdana Menteri sekarang ini di media massa samada elektronik mahupun bercetak.

Belum pernah dalam sejarah negara ini isteri kepada Perdana Menteri muncul begitu kerap di televisyen dan sering mendapat publisiti media hanya kerana gerakan-gerakan beliau yang seakan-akan seorang menteri berportfolio penuh.

Program Senam Tari, program PERMATA, program Persidangan Isteri-isteri Pemimpin Asia, program lawatan ke luar negara - semua ini mendapat liputan luas media tempatan. Penonjolan yang luar biasa kepada seorang isteri PM ini adalah satu perkara yang tidak pernah berlaku.

Mungkin benar isteri kepada PM ini mempunyai pentas untuk menyumbang kepada negara. Dan mungkin benar segala program dan aktiviti yang melibatkan beliau tidak menggunakan dana rakyat. Namun, dikhuatiri penonjolan luar biasa beliau menerusi media arus perdana akan membawa kepada berulangnya sejarah PRU 12.

Penulis mengiktiraf daya kepimpinan Datuk Seri Najib. Begitu jelas sekali kredibiliti beliau. Namun PM perlu lebih mengawal tindak tanduk isteri beliau agar tidak menjadi sokong yang membawa rebah.

Ingatlah, sejarah itu sering berulang sehingga manusia belajar dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Wallahu 'alam.

No comments: