Monday, January 12, 2009

Kelantan: Cebisan Terakhir

Sabtu dan Ahad lepas mencipta sejarah tersendiri dalam perjalanan hidup penulis sebagai perantau di bumi Semenanjung ini.

Apa yang sudah lama dihajatkan akhirnya tertunai di awal tahun baru Masihi ini. Alhamdulillah...Sudah begitu lama penulis menanti peluang memijakkan kaki di bumi Kelantan yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah suatu ketika dahulu. Inilah satu-satunya negeri dalam semenanjung Tanah Melayu yang belum pernah penulis jelajahi lagi.

Perjalanan menaiki bas sewa khas yang bertolak dari Batu Caves pada jam 11:34 pagi akhirnya selamat sampai di Kota Bahru pada jam 8:45 mlm. Fuuhh...berbirat juga punggung duduk berjam-jam lamanya. Sepanjang perjalanan memasuki Kota Bahru, mata penulis disapa oleh pemandangan papan iklan gergasi yang 'sungguh sopan'. Model wanita kelihatan bertudung menutup aurat sambil diiringan tulisan jawi sebagai paparan umum.

Destinasi penginapan dipilih ialan Sutera Inn yang betul-betul berada di tengah Kota Bahru. Di hadapan hotel ini tersergam gagah bangunan Persekutuan dan sebuah hospital besar. Tidak jauh dari sini juga gah berdiri Stadium Sultan Muhammad ke IV.

Disebabkan letih, penulis tidak sempat melayan siaran ASTRO di bilik penginapan. Oh ya...satu yang menarik sewaktu check in di kaunter sabtu tu. Receptionist awal-awal lagi memberitahu setiap pelanggan yang membawa pasangan bahawa bilik lelaki dan wanita mesti diasingkan. Itu peraturan di Kelantan katanya. Ternyata itu kaedah pencegahan khalwat dan maksiat terbaik! Syabas kepimpinan kerajaan negeri ;)

Keesokan paginya seawal jam 7 pagi penulis sudah berada di cafeteria untuk menjamu sarapan pagi. Bihun goreng dihiasi telur mata kerbau menjadi menu, diikuti bijirin Koko Crunch dan Corn Flakes bermandikan susu. Selanjutnya diakhiri dengan potongan-potongan kecil tembikai dan betik. Minumannya pula segelas jus oren :)

Selesai bersarapan, penulis menaiki teksi menuju Pasar Siti Khadijah yang sama gahnya dengan Pasar Payang di Kuala Terengganu. Tambang dari hotel ini ke sana ialah RM 10. Namun apabila sampai di pasar itu, barulah penulis sedar yang lokasinya tidaklah jauh mana...cuma pemandu teksi itu buat corner lebih-lebih sampai kelihatan seolah-olah jauh. Hmm...biasalah orang cari makan kan :). Halalkan sahaja.

Sesampai di sana, ternyata Pasar Siti Khadijah ini bertingkat-tingkat. Tingkat bawah meniaga barang-barang basah seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan tak lupa keropok lekor. Tingkat satu pula menjual produk herba manakala tingkat kedua menawarkan kain dan kraftangan.

Penulis banyak menghabiskan masa berlegar-legar di tingkat dua itu. Jelasnya majoriti peniaga kecil di sini adalah wanita dari pelbagai peringkat umur. Mata penulis terpana melihat prasarana yang disediakan kerajaan negeri untuk membantu golongan bumiputera mencari rezeki yang halal.

Dari tingkat ini, penulis jelas dapat melihat deretan kedai di sekeliling pasar ini. Kagum melihat papan-papan tanda pada setiap kedai itu terpampang nama-nama perniagaan Melayu sambil diselit dua tiga nama perniagaan milik kaum Tiong Hwa. Ada yang bertulisan Rumi ada juga bertulisan Jawi dan ada juga bertulisan kedua-duanya. Dapat dirasai penulis benar-benar berada di dunia Melayu Islam.

Daripada pemerhatian di sekitar ruang niaga tingkat dua ini, didapati baju batik untuk lelaki dijual sekitar harga RM 165 hingga RM 220. Ok la juga...memang berkualiti dan halus buatannya. Berbaloi jika dibeli pun. Namun disebabkan budget yang ketat, lupakan sahaja :). Lagipun penulis masih ada baju batik yang dibeli di Mydin dahulu. Elok lagi baju tu, walaupun tak semahal dan secantik yang ada di sini.

Akhirnya penulis membeli toto bercorak harimau kumbang dengan harga RM 25 selepas tawar-menawar. Penulis tak tahu sama ada itu harga 'sembelih' atau tidak. Yang pasti penulis memang perlukan toto sebagai pengganti toto lama yang telah dibuang.

Setelah puas meredah segenap penjuru pasar, penulis kembali ke hotel menaiki teksi untuk berehat. Jam di tangan menunjukkan 11:27 pagi. Sesampai di pintu bilik penginapan, terdapat suratkhabar Berita Harian tersangkut di tombol. Hmm...lewat juga kakitangan hotel ni membekalkan akhbar.

Penulis berehat sambil membaca berita-berita terbaru di dada akhbar tersebut sehingga terlelap. Penulis terjaga ketika jam menunjukkan waktu Zohor. Harus diingat, Kelantan lebih ke Timur berbanding KL, justeru waktu solatnya juga lebih awal. Penulis bangkit menunaikan solat Zohor dan Asar secara jamak dan qasar kerana jam 3 petang nanti ada lawatan ke Stadium kemudiannya pada jam 6 petang pula kena bertolak pulang ke KL.

Penulis berjalan kaki ke Stadium yang hanya memakan masa 13 minit daripada hotel Sutera Inn. Khabarnya hotel penginapan penulis itu juga adalah milik orang Melayu. Hebat Melayu di sini. Alhamdulillah....

Sepanjang perjalanan ke stadium, jelas kelihatan wanita-wanita Islam di kota ini menutup aurat dengan bertudung sempurna. Sukar untuk menemukan wanita Melayu yang tidak menutup aurat walaupun sebenarnya ada. Apapun senario seperti ini adalah jauh lebih baik berbanding di KL di mana wanita Melayu tak sedar diri sendiri bangsa apa dan agama apa. Sehinggakan kadang-kadang gadis-gadis Melayu ini lebih 'jahilnya' berbanding orang kafir yang jelas jahil tentang norma pemakaian orang Islam.

Sesampai di stadium, mata tertarik kepada papan tanda besar yang mewakili scoreboard stadium. Tertera 2 - 1 di situ, tanda Kelantan menang perlawanan bola sepak menentang pasukan KM Naza semalam. Walaupun binaan stadium ini agak usang, namun kefanatikan peminat sentiasa memenuhkan dan memeriahkan stadium ini setiap kali ada perlawanan.

Setelah puas bersiar di sekita stadium, jam pun menunjukkan 5:30 ptg. Penulis lantas bergegas ke hotel untuk mengambil beg dan check out kerana bas sudah pun siap sedia untuk bertolak ke KL. Namun disebabkan sedikit masalah pada tayar bas, pemandu bas memerlukan 30 minit untuk membaiki kerosakan pada tayar belakang.

Tepat jam 6:30 ptg, bas yang dinaiki penulis mula berarak meninggalkan Kota Bahru. Dalam bas, penulis cuba mendapatkan tidur yang cukup kerana esoknya kena pergi kerja seperti biasa. Sekitar jam 10 malam, bas berhenti rehat di Gua Musang. Penulis bangkit menuju gerai yang ada. Selera tidak berapa ada kerana suhu yang sejuk dalam bas. Justeru sup daging yang menjadi pilihan untuk memanaskan badan.

Selesai makan dan solat, perjalanan disambung semula. Kali ini penulis tidur lena dan terbangun apabila dikejutkan pemandu bas. Ketika itu jam menunjukkan 3:00 pagi. Penulis terlupa meminta pemandu bas untuk menurunkan penulis di mana-mana stesen LRT yang terdekat. Sedar-sedar dah sampai di perkarangan masjid di Batu Caves.

Syukurlah ada seorang hamba Allah sudi menawarkan diri menghantar penulis terus ke rumah. Alhamdulillah....setelah 30 minit perjalanan, akhirnya penulis tiba di rumah. Terima kasih saudara Amri atas pertolongan anda :). Semoga Allah membalas dengan lebih baik lagi, insya Allah.


Wednesday, January 07, 2009

Israel Durjana

Untuk kesekian kalinya Israel terkutuk menunjukkan kebiadapan mereka kepada dunia Islam dan nilai kemanusiaan.

Atas alasan ancaman Hamas, mereka melancarkan serangan besar-besaran (atau lebih tepat lagi pembersihan etnik) ke atas Gaza, bumi Anbia'. Sehingga ke hari ini beratus-ratus jiwa saudara seagama kita terbunuh di sana, tak kira kanak-kanak, wanita mahupun orang tua.

Dan untuk kesekian kalinya juga masyarakat dunia mengutuk sekeras-kerasnya kedurjanaan Israel manakala Amerika pula menyokong mereka sebagaimana lazimnya. Lebih memalukan lagi apabila negara-negara Arab sendiri terus berpeluk tubuh melihat darah saudara mereka ditumpahkan.

Sungguh bacul pemerintah Mesir dan Jordan kerana tidak membuka pintu sempadan mereka untuk membenarkan pelarian Palestine berteduh di negara mereka, malahan bekalan ubat-ubatan juga tidak dapat disampaikan kerana sekatan ini.

Lihatlah foto ini. Kanak-kanak ini mati dalam keadaan dunia hanya mampu berpeluk tubuh.

Mana dia semangat jihad fi sabilillah ketika Palestine hanya mampu membalas dengan roket ciput dan lontaran batu?

Pak Lah sebagai pengerusi OIC sepatutnya lebih aktif berperanan dalam isu ini. Negara-negara Islam perlu bertindak mengajar Israel Laknatullah ini meskipun dengan kuasa ketenteraan sekalipun.

Sekiranya Rasulullah saw masih hidup ketika ini, apa agaknya baginda akan kata apabila melihat semangat persaudaraan Islam yang baginda pupuk sudah tinggal nama sahaja.

Nauzubillah...


Tuesday, January 06, 2009

Hari Asyura

Tanggal 10 Muharram dinamakan juga hari Asyura kerana pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi pejuang yang gigih menegakkan syiar islam.

Peristiwa yang berlaku pada hari Asyura:

  • Allah jadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi.
  • Allah jadikan bulan,bintang,matahari dan cakrawala.
  • Allah jadikan Arasy,Loh Mahfuz,Kalam dan Malaikat.
  • Allah mencipta Nabi Adam Alaihissallam.
  • Allah menjadikan Siti Hawa.
  • Allah menjadikan Syurga.
  • Dimasukkan Nabi Adam ke dalam Syurga.
  • Taubat Nabi Adam diterima Allah.
  • Nabi Noh diselamatkan oleh Allah keluar dari bahtera setelah bumi tenggelam selama enam bulan.
  • Nabi Ibrahim dilahirkan dan 10 Muharram juga Baginda diselamatkan Allah daripada pembakaran Raja Zamrud.
  • Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  • Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  • Pengelihatan Nabi Yaakob yang buta dipulihkan oleh Allah.
  • Nabi Ayub dipulihkan oleh Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  • Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan setelah berada didalamnya selama empat puluh hari dan empat puluh malam.
  • Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa bersama pengikutnya daripada tentera Firaun.
  • Firaun dan pengikutnya tenggelam kedalam lautan tersebut.
  • Nabi Sulaiman dikurniakan Allah Kerajaan yang besar.
  • Hari pertama Allah mencipta alam dan menurunkan hujan.

Amalan-amalan sunat pada Hari Asyura:

  • Berpuasa-Pahalanya seperti mengerjakan haji dan umrah dan mati syahid.
  • Mandi dan membersihkan diri-Nescaya hatinya tidak akan mati dan tidak akan jatuh sakit pada tahun itu kecuali mati.
  • Melebihkan perbelanjaan dalam keluarga-Diluaskan Allah rezekinya serta beroleh keamanan dan kesihatan.
  • Mengusap kepala anak yatim dan menaruh belas kasihan terhadap mereka- Diangkat oleh Allah darjatnya kesyurga.
  • Sesiapa yang berbuat baik terhadap anak yatim pada hari Asyura, seolah-olah ia telah berbuat baik kepada semua anak yatim.
  • Menziarahi orang alim (banyak ilmu) dan belajar sesuatu ilmu daripadanya-Pahalanya seperti orang Muhajirin dan Ansar.
  • Menziarahi orang sakit - Pahalanya seolah-olah ia telah menziarahi semua orang yang sedang sakit.
  • Bersedekah - Pahalanya sepertiu bersedekah satu tahun kepada zuriat Nabi Adam dan seolah-olah ia tidak pernah menolak permintaan orang yang meminta kepadanya seumur hidup.
  • Membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 1000 kali--Doanya dimakbulkan Allah.
  • Sunat bercelak mata - InsyaAllah tidak terkena sakit mata atau matanya dilindungi Allah daripada perkara maksiat.
  • Sunat menginai dan mengerat kuku.
  • Menjamu dan memberi minum kepada orang-Allah akan memberi seteguk air pada hari akhirat dimana dengan seteguk air itu tidak akan haus buat selama-lamanya.
  • Solat sunat 4 rakaat 1 salam pada waktu Asar - Diampunkan Allah dosanya selama 50 tahun terdahulu dan terkemudian.
  • Memperkukuhkan silaturrahim - Insya Allah dipanjangkan usianya.
  • Memperbanyakkan Zikir dan Selawat.( Khasbunnallah wa nikmal wakil, nikmal maula wa nikman nassir )

Sunday, January 04, 2009

Jarak dan Waktu

"Andai kupunya sayap, nescaya sekarang juga kuterbang pulang ke kampung halaman..."

Begitulah ungkapan yang membutir dari lidah guru kelas saya semasa tingkatan satu ketika itu. Cikgu Munir namanya. Dia mengajar kelas saya subjek Matematik. Dia berasal dari Pokok Sena, Kedah Darul Aman.

Ungkapan itu sering dia tuturkan ketika mengajar dalam kelas...melambangkan betapa rindunya dia ingin pulang ke desa selepas di'posting'kan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tagasan, Semporna.

Sesungguhnya dia cikgu yang baik. Pada hari dia kembali ke semenanjung, dia telah menghadiahkan kami satu kelas dengan Kamus Dewan Dwi-Bahasa setiap seorang. Berkat adanya kamus itulah, saya mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik sampai ke hari ini. Terima kasih cikgu Munir.

Apa pun, sehingga ke hari ini saya begitu mengkagumi karektor cikgu sejarah saya semasa di tingkatan 3. Nama beliau ialah Cikgu Nazri. Semasa mengajar kami, dia masih bujang ketika itu. Umur beliau dalam 30-an juga.

Beliau adalah guru disiplin dan juga ahli Silat Gayung Se-Malaysia. Kaedah pengajaran beliau ringkas dan mudah. Namun, banyak beliau berkongsi pengalaman dengan kami semasa beliau mengajar. Beliau berasal dari Negeri Sembilan.

Saya masih ingat dia bercerita kenapa dia menjadi cikgu sekolah. Beliau memberitahu bahawa beliau ada diploma kejuruteraan elektrik, namun selepas bertahun-tahun mencari kerja berazimatkan diploma itu, beliau gagal mendapat pekerjaan. Justeru, beliau nekad membakar diploma itu dan memohon menjadi guru sekolah dengan memasuki maktab perguruan. Selepas tamat kursus, beliau ditempatkan di sekolah ini.

Saya masih ingat lagi. Beliau pernah berkongsi secara peribadi dengan saya soal percintaan beliau yang pada penghujung kisahnya disimpulkan dengan ungkapan "sesungguhnya jarak dan masa boleh merubah seseorang".

Cikgu Nazri hanya memberitahu bahawa saya akan mengalaminya juga suatu waktu apabila dewasa kelak. Ketika itu, saya tidak mengerti apa maksud cikgu.

Dipendekkan cerita, cikgu Nazri dipertemukan jodoh dengan Ustazah Qamariah yang turut mengajar di sekolah yang sama. Kebetulan ustazah ini yang mengajar subjek Pengajian Agama Islam di kelas saya. Orangnya memang tenang, lembut bicaranya dan terjaga akhlak dan auratnya.

Cikgu Nazri mengakhiri zaman bujangnya dengan ustazah ini yang berasal dari Pahang (kalau saya tak silap). Alhamdulillah...mereka memang sepadan. Tahun itu adalah tahun 1992.

Kini setelah 16 tahun berlalu, baru saya faham makna ungkapan Cikgu Nazri itu. Sekarang saya dapat rasakan apa yang cikgu lalui sewaktu cikgu berbicara dengan saya ketika itu. Saya perlu akui ungkapan itu memang benar sekali....

Terima Kasih Cikgu Nazri...jasamu tetap kukenang...

Teman Sehidup Semati

Hari ini adalah hari kesedaran buat penulis. Ia bermula begini:

Bangkit di awal pagi dan kemudian turun ke kedai membeli sarapan pagi berupa roti ban kaya dan sekotak minuman Milo. Tak semena-mena tergerak hati nak beli suratkhabar. Harian Metro menjadi pilihan.

Sambil bersarapan, mata melirik helaian demi helaian akhbar. Mata terpana pada suatu artikel khas dan sekaligus menikam kalbu.

"Jantung berupaya menghasilkan tekanan yang boleh memancutkan darah sejauh 10 meter setiap kali ia mengecut. Walaupun ketika seseorang itu berehat, otot jantung bekerja dua kali ganda lebih keras daripada otot kaki seorang yang berlari pecut.

Dalam tempoh satu jam, tenaga kerja yang dihasilkan oleh jantung boleh mengangkat barang seberat hampir 1,400 kilogram setinggi 30 sentimeter. Ini seumpama berat dua kereta Perodua Kancil. Tenaga yang dijanakan jantung sepanjang hayat seseorang pula boleh mengangkat satu kapal perang besar keluar dari air.

Begitulah kuatnya jantung kita. Bagaimanapun, seseorang akan mengalami penyakit lemah jantung apabila jantung gagal berfungsi secukupnya sebagai satu jentera untuk mengepam darah ke seluruh badan. Antara sebab utama bagi kelemahan jantung adalah kerosakan teruk pada otot akibat serangan jantung.

Setiap kali berdenyut, jantung mengepam darah sebanyak 70 mililiter, di mana lebih kurang lima liter darah dipam dalam tempoh satu minit. Ini bermakna untuk tempoh satu jam pula, 300 liter darah, dan di dalam satu hari lebih kurang 7,200 liter darah dipam jantung kita.

Sepanjang hayat seorang manusia, jantung mengepam lebih daripada satu milion tong darah. Ini cukup untuk mengisi dan memenuhi kapasiti tiga kapal tangki minyak yang besar!

Jantung tidak tahu erti penat. Jantung terus berdenyut sama ada anda bekerja atau tidur. Ketika anda berehat, jantung tidak berehat. Ia tetap berdenyut antara 60 dan 80 kali dalam tempoh satu minit.

Kadar ini menurun apabila usia kita meningkat. Secara purata, jantung berdenyut hampir 100,000 kali sehari, dan lebih kurang 2.5 bilion kali sepanjang hayat, tanpa rehat, walaupun untuk seketika.

Tidak mungkin ada alat atau mesin yang diperbuat oleh manusia boleh menandingi kehebatan jantung kita. Alangkah bertuahnya kita mempunyai ‘alat’ kurniaan Tuhan yang sungguh menakjubkan ini."

Subhanallah!! Tersentak saya tersedar bahawa jantunglah sebenarnya teman sehidup semati yang sebenar (bukannya kekasih yang sering dianggap sedemikian jua). Ia wujud dan berdegup sejak kita lahir dan akan terhenti apabila ajal sampai.

Jantunglah teman sepanjang hayat...oleh yang demikian marilah sama-sama kita hindari rokok dan segala macam makanan yang boleh 'membunuh' teman sejati ini.

Wallahu alam

Thursday, January 01, 2009

Pasca Detik 12 Malam

Peristiwanya

Setiap penghujung tahun, detik 12 malam 31 Disember adalah amat menguja buat majoriti warga kota. Bagaimanapun, penulis tidak dapat membuat liputan detik tersebut. Justeru, kali ini dinukilkan pasca detik tersebut.

Penulis bertolak ke Jalan Pudu pada jam 9 pagi ini. Sesuatu yang di luar jangkaan - jalan-jalan bersih!! Wah...tabik spring kepada kakitangan Alam Flora kerana berjaya membersihkan kota ini selepas detik 12 malam semalam.

Foto di atas menunjukkan siarkaki yang siap dibasuh dengan air lagi. Siarkaki di Pudu dan area Mydin juga bersih, dan dibasahi air selepas dicuci.

Foto sebelah kanan pula menunjukkan betapa sesaknya metropolitan ini pada 1 Januari 2009. Setelah penat bersengkang mata semalaman, inilah masanya keluar daripada kota.

Kesesakan ini ditambah pula dengan kehadiran berbondong-bondong warga Thai, Vietnam, Myanmar, Bangla, Nepal, Indon dan pelbagai lagi warga asing. Mereka mengerumuni kawasan Pudu, Mydin, Bangkok Bank, Masjid India, Kotaraya tanpa rasa takut pun.

Penulis merasakan seolah-olah bukan berada di Malaysia ketika berjalan di kawasan Mydin dan dataran Menara Maybank. Rasa seperti melancong di Myanmar pulak. Apapun, kisah tentang warga asing ini akan diperincikan lebih lanjut dalam liputan yang akan datang.

Setelah puas bersiar-siar, penulis kembali ke jalan Pudu untuk menaiki 'kenderaan rasmi'. Sekali lagi penulis terpana dek sehelai kertas putih yang terselit tenang di dalam bakul 'kenderaan rasmi'.

Ternyata penulis telah mendapat hadiah sempena meraikan hari pertama tahun baru ini. Huhuhu...dah nasib. Memang setiap perjuangan perlu ada pengorbanan :).

Foto sebelah kiri ini adalah hadiah tahun baru penulis :P





Persoalannya


Sesuatu yang ironis sebenarnya. Mengapa manusia begitu ghairah dan teruja meraikan peralihan tahun? Apa yang menyorokkan sangat tentang itu? Bukankah ia cuma penambahan nilai satu pada digit paling kanan pada gugusan empat digit angka yang mewakili kurun terkini??

Disebabkan itulah, Allah swt menerusi surah di atas (Al-'Asr) berfirman:

[1] Demi Masa!
[2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
[3]Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Apakah kita lupa bahawa pertambahan tahun itu sebenarnya suatu peringatan yang berat dan serius? Apakah kita lupa bahawa pertambahan tahun itu sepatutnya mengundang gerun, bukannya gelak gembira?

Mengapa pula?? Kerana pertambahan itu sebenarnya mendekatkan kita kepada ajal kita...yang kita sendiri belum tahu bila. Kerana penokokan itu sebenarnya menyusutkan masa yang kita ada untuk bertaubat sebelum terlambat.

Maha Benar sekali firman Allah swt dalam surah di atas. Jelaslah manusia dalam kerugian...hasil kerana kealpaan dan kelalaian sendiri.

Wallahu 'alam

Tuesday, December 30, 2008

PMR, SPM: Masa untuk berdebar

Setelah puas bercuti, kini masa adik2 kita menerima result dgn jantung berdebar. Mana taknya...berjuang bermati-matian...bersengkang mata dan macam2 lagi. Kini dah sampai waktu untuk tengok apa hasilnya.

Tahniah kepada yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Tapi komentar saya kali ini lebih menjurus kepada adik-adik yang kurang cemerlangnya...agak malap gemilangnya....dan agak terpencil keterbilangannya.

Jangan bersedih dan menangis. It is not the end of the world. Kehebatan pada slip keputusan itu bukanlah kehebatan yang sebenar. Dunia realiti di luar sana lebih mencabar. Anda tidak memenanginya dgn hanya deretan huruf 'A' pada slip keputusan itu. Perjalanan masih jauh lagi, wahai adik-adik sekalian.

Mungkin bukan rezeki anda untuk meraih deretan 'A'. Tapi yakinlah, esok lusa boleh menjadi milik anda...dengan syarat anda menanam tekad yang kuat, apatah lagi menjelang tahun baru ini. Peperiksaan PMR tidak memberi makna sangat. Sebaliknya bersedialah lebih rapi utk SPM. Kerana SPM adalah pintu anda utk menentukan karier masa depan kelak.

Bagi lepasan SPM pula, bersabarlah jika keputusan itu bukan seperti yang anda harapkan. Dunia ini masih luas. Anda belum gagal lagi. Peluang untuk meneruskan pengajian begitu luas. Tentukan langkah anda seterusnya. Buat pilihan yang terbaik dalam meneruskan pembelajaran anda. Jika dah tepu sangat nak belajar, masuk je tentera. Jangan tak percaya, gaji tentera juga lebat.

Gagal mendapat tempat di universiti bukanlah bermakna gelap masa depan anda. Masih ada sinar untuk anda. Politeknik, Kolej Komuniti sesuai untuk anda yang minat bidang teknikal. Maktab perguruan pula untuk anda yang minat menjadi pengajar.

Bak kata Maria Tunku Sabri "Bercutilah di Malaysia...semuanya ada di sini"...cuma kita perlu ubah sikit tagline itu kepada "Belajarlah di Malaysia...semuanya ada di sini"

Wallahu alam.. ;)

Sunday, December 14, 2008

Aidil Adha yang berbeza

Alhamdulillah...

Saya selamat kembali ke Kuala Lumpur setelah bercuti selama seminggu di kampung. Kalau mengikut planning tahunan, saya tidak balik raya nie, tapi disebabkan saya belum mengguna tiket pulang balik tahunan yang saya entitled, saya decided utk beraya di kampung.

Saya berangkat ke Sabah pada pagi Sabtu, 6hb Disember. Penerbangan KL ke Kota Kinabalu, kemudian KK ke Tawau. Pergh...dua kali tukar pesawat. Takpe...tiket free ;). Buat julung kalinya saya dapat merasa kembali makan sarapan sambil diserve oleh pramugari2 MAS. Fuhh...nikmat gak makan macam tu. Dahulu naik AirAsia jer...makan semua kena beli. Dgn MAS, makan dan minum free woo ;).

Apabila menjejak kaki di Tawau, sudah menjadi rutin saya ke Pasar Besar Tawau utk membeli 2 kilo ikan Baulu utk mak saya. Lantas meneruskan perjalanan ke rumah menerusi van sapu. Perjalanan mengambil masa 47 minit. Kemunculan saya nyata mengejutkan mak ayah saya krn sudah lazimnya saya tidak pulang raya haji.

Ternyata kesunyian mak ayah saya agak terubat selama ini dgn kehadiran dua ekor kucing bersaudara bernama Si Bubu dan Si Putih. Keletah haiwan2 ini jelas menghiburkan mak. Kasih sayang kpd anak2 ditumpahkan kpd kucing2 ini. Mak gemarkan mereka kerana mereka tidak berak merata, sebaliknya membuang najis di mangkuk tandas. Subhanallah!!

Entah mengapa laungan takbir raya haji kali nie tidak menusuk ke kalbu saya sepertimana lazimnya. Mungkin kerana saya sudah berada di kampung, atau mungkin sebab kesunyian yang berkurung. Entah la...

Hari Raya pertama dan kedua tiada tetamu dari keluarga terdekat yang bertandang. Elok juga agar mak ayah saya boleh berehat daripada karenah mereka yang tiada penghujung. Sepanjang minggu kami berehat di rumah. Damainya!

Akhirnya esoknya saya kena kembali ke Kuala Lumpur, mak saya mula memasak pulut panggang dan burasak utk bekal saya ke KL. Sudah menjadi rutin mak berbuat begitu. Bukti sayangnya mak kpd anak tiada sempadan usia.

Esoknya saya berangkat ke Airport Tawau. Entah kenapa tiada perasaan sebak utk meninggalkan mak ayah utk kesekian kalinya. Apakah Allah s.w.t sudah mencabut naluri anak daripada hati saya? Wallahu alam...minta dijauhkan. Lantas saya meninggalkan mereka tanpa menitiskan setitik airmata pun sebagaimana lazimnya.

Sekali lagi saya akan menaiki dua kali penerbangan - Tawau - KK, kemudian KK - KL. Penerbangan Tawau - KK hanya 45 minit. Maka sebab itu pramugari MAS segera hidangkan kacang masin dan segelas jus oren.

Sesampai di KK, saya ingat nak makan kejap kat McD. Tapi sebab connecting flight itu dah sedia berlepas, saya tidak sempat. Harap makanan atas flight best la.

Pada pas masuk flght saya tertera seat no: 42K. Hmm...saya pelik kenapa seat no nie pelik je. Lazimnya nombor diikuti abjad A,B,C,D,E atau F. Ini sampai K. Pelik!!!

Akhirnya persoalan saya terjawab, rupanya flight KK - KL saya ini adalah pesawat AirBus A3300. Perghh...pesawat yg datang drp Seoul, Korea singgah di KK sebelum ke KL. Inilah pengalaman pertama saya naik pesawat sebesar ini.

"Good evening sir, may I help you?" pramugari India berwajah manis menegur saya di muka pintu pesawat.

"Yes, where is 42k?" saya bertanya

"Go straight, then turn right sir"

"Thank you very much" saya jawab.

Ternyata pesawat ini sgt luas. Ada dua aisle (laluan). Dua seat sebelah kira dan kanan, sementara di tengah2 pula ada 3 seat. Hebat sekali.

"What is your seat number, sir?" pramugari manis berbangsa Korea menegur saya

Saya tergamam seketika kerana tidak menyangka ada juga orang Korea yang kerja sbg pramugari MAS.

"Err...49K" saya terjawab sambil melihat name tag dia...tertera nama Kim Yong Ee. Entah kenapa saya terkenang cerita Winter Sonata pula ketika itu.

"Ok Sir, 49k is over herr....wait a minute...there's no seat with number 49, sir" wajah dia berkerut, terkejut

"Sorry, sorry...my mistake. My seat is 42K" saya baru sedar saya dah tersebut 49k

"Ohh....your seat is there, at the back, beside the window, sir" sambil tangannya menuding ke arah belakang.

"Ooo thank you very much..you are most helpful" kata saya sambil tersenyum.

Penerbangan dengan pesawat sebesar ini memang selesa. Melanggar awan besar pun tak gegar mana. Tak sama seperti pesawat AirAsia Boeing 737 tu. Selesa pun tapi saya tidak dpt tidor. Entah kenapa saya asyik melihat kpd pramugari Korea itu melayan penumpang lain.

Manis sungguh senyumannya. Kelihatan dia ikhlas dengan kerjanya...seronok melaksanakan tugasnya walau dia jauh dari tanahairnya. Berbeza sekali dgn saya yg sentiasa sugul dgn kerja saya di pejabat walhal saya masih di tanahair, walaupun dipisahkan Laut China Selatan.

"Sir, would you like to have rice with sea food or some bread?" lamunan saya terhenti. Gadis Korea itu menyapa dengan senyuman manis.

"Err...rice would be fine, please" saya menjawab terketar.

"Here you are, sir" sambil menghulur sekotak panjang makanan.

"Would you like coffee, Pepsi or orange juice, sir?" Dia bertanya lagi.

"Orange juice, please"

"Here you are, Sir"

Saya pun makan apa yang dihidangkan. Fuh..nikmat gak makan free nie :). Lepas makan nasi berlauk udang tu, makan lak slices of tembikai dan tembikai susu. Pastu makan, biskut sayuran, kemudian coklat black bitter sweet, buatan Swiss. Diakhiri dgn jus oren dan air mineral.



Tuesday, November 25, 2008

Surah Al-A'la


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

[1]
Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan), -
[2]
Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya;
[3]
Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya);
[4]
Dan Yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak,
[5]
Kemudian Ia menjadikan (tumbuh-tumbuhan yang menghijau) itu kering - (berubah warnanya) kehitam-hitaman.
[6]
Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu - dengan perantaraan jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa,
[7]
Kecuali apa yang dikehendaki Allah engkau lupakan; sesungguhnya Ia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), dan yang tersembunyi.
[8]
Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) Ugama yang mudah diterima oleh akal yang sihat.
[9]
Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna);
[10]
Kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu;
[11]
Dan (sebaliknya) orang yang sangat celaka akan menjauhinya,
[12]
Dia lah orang yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar (azab seksanya),
[13]
Selain dari itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang.
[14]
Sesungguhnya berjayalah orang yang - setelah menerima peringatan itu - berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh),
[15]
Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk).
[16]
(Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia;
[17]
Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.
[18]
Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam Kitab-kitab yang terdahulu, -
[19]
Iaitu Kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.



Monday, November 24, 2008

Cinta Tanpa Syarat

Membaca buku tulisan Ustaz Hazrizal benar-benar meruntun jiwa. Perspektif beliau tentang cinta memang nyata dari dimensi berbeza.

Menurut beliau, Allah s.w.t melimpahkan sedikit sifat Maha Penyayang-NYA kepada insan bergelar mak ayah. Maka atas asbab berkenaan maka orang tua kita menyayangi kita TANPA SYARAT.

Sekiranya Allah s.w.t menyayangi umat-NYA dengan syarat, maka sesungguhnya kita takkan mampu memenuhi syarat-NYA. Sebagai contoh, jika Allah s.w.t mensyaratkan kita melaksanakan solat dengan khusyuk sebelum dibenarkan bernafas oksigen segar...maka berapa orangkah yg mampu memenuhi syarat itu?

Atas sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim DIA lah ahli Syurga mendapat tempat di Syurga. Bukan kerana amalan kita yang tidak seberapa itu.

Jika mak ayah kita meletakkan syarat agar kita membayar balik harga susu, kos persekolahan dan titik peluh mereka membesarkan kita apabila kita dewasa kelak...mampukah kita memenuhi syarat itu? Sudah pasti tidak sama sekali.

Begitulah berbezanya cinta mereka kpd kita berbanding cinta sepasang kekasih yg berjanji sehidup semati, namun hakikatnya tidak begitu. Bagaimana sepasang kekasih yg berjanji menyinta dan menerima seada apa pun dia, tetapi meminta itu dan ini sebagai hantaran pinangan.

Benarlah kata Tan Sri P. Ramlee dalam lagunya...kasih ibu membawa ke Syurga, kasih ayah mencipta dewasa.



Sunday, November 16, 2008

Kota & Waktu

Di tengah konkritnya bata
di khalayak bingitnya warga kota
dalam gemilangnya neon bercahaya
ada jiwa yg kosong terasa

meriahnya kota ini
langsung tidak memberi erti
kerna dia masih mencari dan menanti
janji Illahi yang belum terpateri

Letih, jemu dan pilu
menjadi teman sekufu
sabar, yakin dan tenang
cuba dijadikan ubat penenang

waktu tidak akan pernah cemburu
yang ada cuma insan yg gagal memburu
juga yang memilih untuk menunggu...

Mata Ayah

Kujabat mesra tangan ayah
Urat-urat daging-daging tua keras terasa
Mataku tersenyum, matanya menyapa
Anak yang pulang disambut mesra.

Tapi matanya, mata yang menatapku
Kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
Garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
Suatu kelesauan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih jua ramah
Akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
Bagai dalam suratnya dengan kata-kata siang
Memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah
merasakan kepedihan yang tercermin di mata
Meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
Dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

~Usman Awang

Monday, November 03, 2008

Balada Seorang Perantau

Desir angin berpuput lesu
daun nyiur melambai pilu
seorang anak memakai sepatu
sambil sang ibu memandang sayu

Kokokan ayam talu-bertalu
langit mulai cerah membiru
seorang anak berlidah kelu
sang ibu pula diam membisu

Hati si anak berat sekali
meninggalkan si ibu tinggal sendiri
namun si anak mesti pergi
mencari rezeki membela famili

Sambil termangu, matanya berkaca
hati di dalam teramat hiba
tiada kata termampu bicara
si ibu berlinang airmata

Tangan dihulur sepuluh jemari
disambut sang ibu pilu sekali
"Selamat hari raya Aidil Fitri"
"Mohon ampun segala kesalahan selama ini"

"Pergilah anak, janganlah bimbang"
"Ibu boleh hidup seorang"
"Hati-hati di tempat orang"
"Kita bertemu lagi jika umur panjang"

Thursday, October 30, 2008

Petua oh petua

Sekali lagi saya terpanggil utk menulis lipatan sejarah lampau kehidupan saya. Kali ini saya ingin kembali ke zaman sekolah rendah dan menengah juga. Bunyinya nanti agak janggal. So kenalah terus membaca.

Petua pertama ini saya belajar semasa Darjah 4. Waktu itu al-maklumlah masih kanak-kanak. Apa lagi aktiviti utama kalau bukan bermain sebelum masuk kelas dan sewaktu recess time. Aktiviti utama masa itu adalah bermain guli dan perang olok-olok (kat area semak belakang padang sekolah). Tapi bukan itu fokus penceritaan kali nie.

Nak dijadikan cerita, ketika itu saya dan rakan-rakan tengah dalam 'peperangan' olok-olok. 'Musuh' telah dikesan bergerak utk meng'ambush' posisi pasukan saya. Senjata yang digunakan ialah senapang berpelurukan batu kecil manakala 'bom tangan'nya pula ialah buah mengkudu (yang byk terdapat di area hutan kecil belakang sekolah).

Dalam keadaan 'kritikal' itu, saya mengalami sakit perut memulas. Nak pegi ke tandas sekolah...memang tak terfikir krn tandas itu terlalu kotor dan jijik utk sesiapa pun fokus ketika membuang hajat (krn sudah tersumbat dan dipenuhi elemen-elemen meloyakan sambil dkerumuni lalat-lalat hijau yang leka berpesta).

Ketika itulah, 'Leftenan kanan' saya (bernama Salleh) mengajar petua ini. Kumpulkan 6 biji batu yg besarnya sedang-sedang. Harus diingat batu-batu itu mestilah setara saiznya. Kemudian simpan 3 biji batu kat poket seluar sebelah kanan dan 3 biji lagi kat poket seluar sebelah kiri. Tiada sebarang mentera perlu disebutkan.

Mula-mula saya memang was-was ia akan berkesan. Tapi sebab tiada pilihan, saya buat juga. Sebaik sahaja batu-batu itu terisi dalam kedua belah poket seluar saya, perlahan-lahan rasa memulas kat perut hilang, dan tiada lagi rasa ingin membuang hajat. Pelik tapi benar!

Petua kedua pula saya belajar semasa tingkatan satu. Kawan yang mengajar saya bernama Ibrahim. Orangnya rendah, maka sebab itu kawan-kawan sekelas menggelarnya 'Ibrahim Pendek'. Dia mengajar teknik menghilangkan tulang ikan yang tertusuk kat tekak atau belakang lidah ketika kita sedang makan. Caranya juga tidak melibatkan apa-apa menderem. Sebaik sahaja rasa ada tulang tersekat kat tekak atau belakang lidah, jangan bercakap apa-apa. Paling ditegah memberitahu orang lain yang ada tulang tersekat kat tekak atau belakang lidah anda. Sambil diam, undur tiga kali ke belakang. Jika masa tu anda makan sambil bersila, engsotkan punggung anda tiga kali ke belakang. Jika makan atas kerusi, engsotkan kerusi yg diduduki itu ke belakang juga tiga kali.

Saya mulanya tidak percaya. Tetapi pada suatu hari, tekak saya tertusuk tulang ikan sewaktu makan di rumah. Lantas saya teringat petua 'mengarut' kawan saya, lalu saya praktikkan. Saya engsotkan kerusi ke belakang 3 kali. Tak semena-mena, saya dapat rasa tulang yg tertusuk itu hilang dari tekak saya. Unexplainable, but it really worked!!

Wednesday, October 29, 2008

Solek menyolek

Sekali lagi saya terimbau kisah silam sewaktu kat UiTM dalam tahun 2000. Masa tu saya dalam tempoh peralihan, yakni tempoh menyesuaikan diri dgn suasana di Semenanjung Tanah Melayu nie.

Masa tu saya kurang faham byk istilah 'bahasa pasar' versi Semenanjung Tanah Melayu. So, kalau saya mendengar suatu perkataan yang dituturkan oleh rakan-rakan yang berasal dari Semenanjung nie, saya cuma agak je apa maknanya (tanpa merujuk kepada Kamus Dewan).

Pada suatu hari, saya meminjam motor EX5 kawan rapat saya bernama Jamaluddin utk keluar beli barang makanan.

Sekembali dari kedai, saya terus naik ke hostel. Jamal ada dalam bilik saya sambil bermain gitar Kapok layan lagu AlleyCats. Oh ya...Jamal nie asal Perlis (orang utara noh).

"Hang dah solek ke moto aku?" Jamal menyapa sebaik saya memasuki pintu

"Laa..buat apa aku nak solek lak moto hang? Dah lawa la moto hang...baru basuh lagi apa"

"Hang jangan dok buat lawak...hang dah solek ke belum?" Dia tanya lagi

"Isshh hang nie....itu moto hang...takkan la aku yang nak solek...citarasa berbeza" aku jawab

"Baik hang pi tengok balik...hang dah solek ke belum...kalau moto aku hilang, siap hang"

"Hang yang buat lawak...awat aku lak kena solek moto hang...mengarut!" aku jawab

Masa nie seorang lagi rakan sebilik saya yang turut mendengar perbualan tadi datang berbisik kat saya.

"Woi...ko fikir solek tu apa? Solek tu mangga moto tu. Ko dah mangga belum kat spoket tu?"

Ketika ini baru aku faham apa yang Jamal maksudkan dengan istilah 'solek'. Lantas saya segera ke moto tadi. Saya unlock mangga berwarna silver tu...tertera jelas kat situ jenamanya 'SOLEX'.
Sambil tersenyum saya mangga kat spoket moto tu.

Dalam hati berkata "Cakap la mangga ke, kunci moto ke...nie solek...ingat perempuan ke nak solek-solek nie..."

Heheheh :P

Tuesday, October 28, 2008

Bravo ! Bravo!

Terimbau kembali saya ke zaman tingkatan 5, tahun 1996. Waktu itu kelas saya berada di tingkat paling atas (tingkat 4) bangunan blok C sekolah saya.

Setiap hari nak masuk kelas kena menapak berpuluh-puluh anak tangga. Memang senaman yg baik, tapi memenatkan juga.

Guru kelas saya adalah wanita. Tapi bukan sembarangan wanita...ini wanita besi. Why? Kerana garangnya mengalahkan lelaki. Dia juga adalah penolong kanan guru besar dan ada black belt dalam tekwan-do.

Dia mengajar subjek Bahasa Malaysia SPM. Track record dia memang gemilang. Ramai yang dapat A di bawah bimbingan dia. Tapi teman-teman sekelas saya rasa amat malang kerana dia menjadi guru kelas kami, merangkap guru Bahasa Malaysia.

Pada suatu hari, kami diberi tugas mengarang karangan dgn tajuk "Kaedah mengatasi masalah disiplin di sekolah". Macam biasa la, ada 6 perenggan; 1 pendahuluan, 4 isi dan 1 penutup. Pergh...sampai ke hari ini saya masih ingat tajuk karangan tu. Hebatnya penangan cikgu nie.

Nak dijadikan cerita, saya nie jenis 'dare to be different'. Kelas saya secara rasminya bernama '5 Bijaksana'. Tapi saya tulis kat kulit buku karangan saya tu '5 Bravo'. Ye la, asalkan pangkalnya bermula dgn 'B' utk merujuk kepada kelas saya nie.

So, karangan dihantar. Keesokannya dia datang ke dalam kelas utk menyerahkan balik buku-buku yang telah disemak karangannya. Hari tu memang aura cikgu tu lain macam...ada aura 'pembunuh'.

Angin tak baik dia hari. Seorang demi seorang nama kami dipanggil utk diberikan kembali buku karangan masing2. Kalau karangan baik dan cantek, cikgu tu puji dan bagi balik dgn baik. Tapi jika karangan tak baik, cikgu tu lempar buku tu menerusi tingkap.

Berderet rakan-rakan saya berlari ke ground floor utk kutip balik buku masing2. Ada buku yang terhempas ke rumput, ke longkang dsb.

Akhirnya nama saya disahut..berdebar saya menanti..
"Heh...mamat nie lagi best...saya dah banyak kali tegur jangan pandai-pandai letak nama kelas sesuka hati...tapi dia degil..."

"Nah...ambik buku engkau kat bawah tu" sambil buku saya dilempar menerusi tingkap

"Bravo konon...rasakan..hahahha" gelak menyindir yg paling pedih saya dapat

Saya pun berlari ke bawah utk mendapatkan buku saya. Nasib baik dia landing kat tepi longkang jer.

Saya terus geram dgn cikgu itu. Untuk lepaskan geram saya...masa exam SPM...saya hanya dapatkan C4 je...padan muka dia.

Hahahhaha....

p/s Bravo tu saya kutip dari drama bersiri tentera berjudul "NAM:Tour of Duty". Platun terbaik dalam cerita tu adalah platun Bravo. Memang popular siri tu masa tu.

:P

Friday, October 24, 2008

Buku Rekod Pencapaian Sekolah Rendah

Saya terkenang kembali suatu ketika semasa saya di Darjah 2, kalau tak silap tahun 1987. Waktu tu sekolah saya sudah selesai peperiksaan akhir tahun.

Dipendekkan cerita, kami sekelas diarahkan oleh guru kelas untuk mengisi butir-butir diri pada buku rekod pencapaian kami dan perlu dikembalikan semula keesokan harinya.

Keesokan harinya, kami datang ke sekolah seperti biasa sambil membawa buku rekod yang telah kami isi di rumah. Seperti biasalah, saya dan kawan-kawan saling membandingkan apa yang telah kami tulis di bahagian butir-butir diri itu.

"Mari saya tengok macam mana kau isi buku rekod kau.." kata seorang kawan yang saya dah lupa namanya.

"Oh..macam tu ke kau jawab" katanya lagi.

"Kenapa? Apa bezanya dengan jawapan kau pulak??" kata saya kehairanan.

Saya pun ambil buku rekodnya dan lihat butir-butir yang dia tulis. Hmm...kelihatan semua ok. Takde beza apa pun.

"Jawapan kau lain la daripada saya" katanya lagi.

"Apa yang lainnya??" tanya saya kehairanan lagi.

"Cuba kau tengok ni..." katanya sambil menuding pada ruang bertulis:

"HUBUNGAN DENGAN PENJAGA:_____________________"

"Kau jawab lain, aku lak jawab lain. Mana yang betul nie?" tanya dia lagi.

Untuk ruangan itu mmg benar berbeza jawapan kami. Dia tulis "BAIK" pada ruang jawapan itu, manakala saya pulak menjawab "BAPA".

"Eh?? Kenapa kau jawab "BAIK" lak di sini??"aku bertanya penuh pelik.

"Betul la saya jawab tu...kau yang salah."katanya pulak.

"Sebabnya..hubungan saya dengan penjaga saya baik...takde gaduh-gaduh" jawab dia yakin.

Saya berkerut dahi...dalam hati saya gelak sakan :D

Saturday, June 07, 2008

Apabila orang Melayu tak tahu halal haram...


Dalam tempoh seratus hari ini, tentu ramai orang Melayu (pelanggan Celcom) yg berusaha untuk memenangi Camry dlm peraduan 100days100cars.

Dalam peraduan ini, setiap SMS dicaj RM5 dan peserta perlu menjawab sekurang-kurangnya 50 soalan menjelang detik 12 tgh malam. Mahal?? Melampau?? Lantaklah...orang kita tak kira itu semua...janji menjadi juara.

Apa yg menariknya, 'kepala' penganjur peraduan ini adalah orang Melayu yg beragama Islam bernama Datuk Seri Shazalli Ramly. Beliau dgn yakin mengatakan bahawa tiada unsur haram dalam peraduan itu kerana beliau telah merujuk terlebih dahulu kpd pihak yg tahu hukum hakam. Sila baca ini.

Kenyataan 'defensive' beliau itu bergema setelah Mufti Perlis, Dr MAZA menghukum peraduan itu sbg HARAM krn wujud unsur perjudian.

Yang peliknya, tak sedarkah CEO itu dgn siapa dia bertekak menerusi media itu? Sudah tentulah Mufti Perlis mempunyai dalil yg kukuh sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian berbanding jawapan CEO itu yg jelas lemah lagi mengelirukan.

Yg jelas, peraduan itu memang perjudian kerana melibatkan wang utk bertaruh. Penyiasatan mendalam saya dgn membaca terms and conditions peraduan itu mendapati penentuan juara adalah berdasarkan paling byk SMS dihantar dgn jawapan yg tepat. Justeru, jika peserta cuma menjawab 50 soalan, dia pasti dikalahkan oleh peserta yg menjawab soalan yg lebih daripada itu.

Berdasarkan perkiraan saya, modal RM250 tidak cukup utk menjamin seorang peserta menang, justeru dia akan menggandakan pertaruhan ke tahap yg dia agak peserta lain tidak mampu capai. Natijahnya, ramai peserta bertaruh ribuan RM utk menjadi juara harian sedangkan kereta Camry itu cuma berharga RM 114 ribu sahaja. Akhirnya yg jelas mengaut untung adalah Celcom sendiri serta kuncu-kuncunya.

Sudah terang lagi bersuluh, peraduan itu berunsur perjudian. CEO itu jelas keliru atau sengaja buat bodoh tentang hukum peraduan seperti itu. Entah siapalah pakar yg dia rujuk itu.

Monday, March 31, 2008

Cemerlang tidak semestinya akan gemilang

Terpanggil saya untuk berkomentar berkenaan berita sedih yang terbaru berkenaan gadis bernama Sufiah, yang suatu ketika dahulu gah dek kerana kepintaran luar biasanya dalam bidang ilmu hisab. Sila baca di sini.

Jika diimbau kembali, sekitar tahun 2000 dahulu, dek kerana kemahsyuran Sufiah, maka Kerajaan Malaysia beriya-iya untuk menawarkan dia biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Oxford ketika itu. Semua kerana bangga ada anak Melayu yang pintarnya begitu istimewa (walau hakikatnya dia bukan warganegara Malaysia pun!).

Namun bukan itu yang saya fokuskan di sini. Dengan berita terbaru dari England itu, terbetik di minda saya untuk membidas sikap ibu bapa dan juga tempiasnya kepada Kementerian Pelajaran serta sekutunya sekali, termasuk institusi pendidikan negara itu sendiri.

Sudah menjadi seperti suatu wabak di dalam masyarakat kita di Malaysia hari ini, kita berlumba-lumba untuk memastikan anak-anak kita meraih kecemerlangan dalam akademik waima dari tabika hinggalah ke menara gading. Setiap kali keputusan peperiksaan utama diumumkan, media kita pula seolah memperbandingkan pencapaian peringkat individu, peringkat sekolah malahan peringkat negeri sekalipun.

Pendek kata, mana-mana pelajar atau sekolah yang berjaya memecahkan rekod tahun lepas, akan diketengahkan sehabis mungkin di dalam paparan akhbar dan juga liputan berita televisyen, seolah-olah kejayaan akademik itulah segalanya dalam hidup ini.

Sama ada sedar atau tidak, wabak ini sebenarnya kurang sihat. Apa tidaknya, ia akan mewujudkan generasi muda yang cuba sedaya mungkin untuk 'memecahkan rekod' kecemerlangan akademik lepas. Jika dahulu pencapaian 17A1 dalam SPM adalah yang terbaik. Kini sudah ada pula 20A1!!!

Apa gunanya kita menggalakkan pelajar kita mengambil begitu banyak subjek?? Sama ada sedar atau tidak, kita telah memberi contoh yang tidak baik kepada calon-calon SPM yang akan datang kerana barang sudah pasti mereka akan cuba pula mencipta rekod lebih tinggi lagi.

Sepatutnya Kementerian Pelajaran menghentikan 'wabak' ini. Para pelajar sepatutnya diberi panduan dalam mencari halatuju masa depan mereka dengan menggalakkan mereka hanya mengambil subjek yang berkaitan dengan sasaran kerjaya masa hadapan mereka. Penumpuan segala sumber kepada halatuju yang jelas adalah lebih baik daripada mengambil begitu banyak subjek tetapi selepas itu tidak mempunyai halatuju dalam hidup.

Sewajibnya Kementerian lebih memberatkan penekanan dalam penerapan ilmu kerohanian kepada para pelajar agar mereka kelak mempunyai asas yang teguh dalam meniti dunia dewasa selepas dunia persekolahan.

Ibu bapa pula sepatutnya sedar bahawa memberi tekanan kepada anak-anak untuk mencapai kemegahan akademik hanya akan merosakkan mereka. Sebaik-baiknya anak-anak diberi ruang untuk menikmati zaman remajanya selagi tidak terpesong. Terimalah kekurangan dan syukurilah kelebihan yang ada. Tiada gunanya memaksa anak-anak belajar bersungguh-sungguh sehingga zaman riang mereka berlalu begitu sahaja. Hiaskanlah jiwa anak-anak kita dengan nur agama kerana sesungguhnya itu akan menjamin keseimbangan mental mereka selain menjadi bekal dan pedoman di kala diuji ombak kehidupan.