Saturday, February 27, 2010

Dua jalan

"Di negara ini, terbuka dua jalan yang lebar: jalan ke Neraka dan jalan ke Syurga. Pilih mana suka"

Ungkapan itu keluar sejujurnya dari mulut ustazah yang mengajar kami sebagai ayat penutup tazkirah ringkas beliau.

Bilamana direnung kembali, sememangnya ada kebenarannya. Seandainya negara ini benar-benar berpaksikan Islam sebagai tunjang pemerintahannya, sudah tentu model yang patut dicontohi ialah model negara Islam yang dibentuk oleh Rasulullah SAW dahulu.

Ya! Orang akan kata mengapa kita tidak mampu mencontohi corak negara Islam pimpinan Rasulullah SAW itu sedangkan pada masa itu masyarakat mereka juga masyarakat majmuk dengan ada Yahudi serta Nasrani di dalamnya. Malahan ketika itu, umat Islam sedikit sahaja bilangannya berbanding bukan Islam, namun Islam berjaya juga memerintah dengan adil dan saksama.

Jawapannya agak mudah. Ini kerana pada zaman itu, walaupun umat Islam bilangannya sedikit, telah terpancar aura kekuatan. Bukan sahaja kerana ketokohan Rasulullah SAW, tetapi disebabkan bersatunya umat Islam dan betapa mereka tidak berkompromi dalam soal akidah.

Ini dapat dilihat daripada latar belakang turunnya Surah Al-Kafirun di mana ketika itu orang-orang bukan Islam berusaha mengajukan cadangan kompromi kepada Rasulullah SAW di mana mereka menawarkan: jika Rasulullah mahu memuja Tuhan mereka, maka mereka pun akan memuja Tuhan sebagaimana konsep Islam. Kemudian surah ini diturunkan untuk menjawab hal itu.

Begitu tegas pegangan umat Islam ketika itu dalam soal akidah. Lantas memancarkan kekuatan yang ampuh yang mendatangkan gerun kepada musuh sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Namun bilamana kita melihat situasi yang berlaku dalam negara ini. Agak menyedihkan. Umat Islam diasak dengan pelbagai jenis serangan, namun tindak balas kita cuma menyerap serangan.

Isu penubuhan suruhanjaya antara agama, isu penggunaan nama Allah, isu Lina Joy, dan isu penemuan kepala babi di kawasan masjid - semua itu datang untuk menguji kekuatan umat Islam. Bila mana mereka tahu umat Islam sudah lemah dan ambil sikap tak kisah, maka serangan-serangan yang lebih hebat akan dilancarkan untuk memusnahkan sama sekali umat Islam.

Umat Islam perlu bangkit menunjukkan kekuatan. Soal sebegini kita tidak boleh berkompromi sama sekali.

Sempena 12 Rabiulawal ini, mari kita pelajari kembali denai-denai perjuangan yang dilalui Nabi Junjungan kita, Rasulullah SAW yang sudah jelas terbukti berjaya menundukkan kuasa besar Romawi dan Parsi serta musuh-musuh Islam yang lainnya sambil membentuk pemerintahan yang adil di mana masyarakatnya tak mengira agama boleh hidup dalam harmoni.



"For you is your religion, and for me is my religion."

No comments: