Wednesday, January 26, 2011

Sejarah Yang Berulang

Manusia sering tidak belajar daripada sejarah sehingga mengulang kesilapan yang sama seperti yang terakam dalam lipatan sejarah itu.

Dunia kini menyaksikan bagaimana revolusi rakyat menumbangkan kerajaan Tunisia pimpinan Presiden Zine el Abidine Ben Ali yang telah memerintah selama 23 tahun secara kuku besi. Revolusi berdarah ini adalah kemuncak kemarahan rakyat yang sudah muak dengan corak pemerintahan yang menindas serta korup.


Di sebalik penderitaan rakyat Tunisia selama berada di bawah cengkaman Ben Ali, kaum kerabat bekas jeneral tentera itu mengamalkan gaya hidup bermewah-mewahan, khususnya isteri Ben Ali sendiri Laila Trabelsi yang begitu ketara keborosannya serta pemilikan hartanya yang melampau-lampau.

Gaya hidup keluarga Ben Ali yang sedemikian jelas menaikkan darah rakyat bawahan, lantas mencetuskan penggulingan berdarah yang begitu dahsyat sekali.

Kisah yang berlaku di Tunisia sebenarnya adalah ulangan apa yang berlaku kepada keluarga Marcos di Filipina, di mana kehidupan bermewah-mewahan isterinya, Imelda Marcos sambil corak pemerintahan kuku besi Marcos telah mencetuskan gerakan People Power Revolution pimpinan Corazon Aquino pada tahun 1986 yang menggulingkan kuasa Marcos dengan hinanya

Di Malaysia, akibat tidak mempelajari sejarah yang sama, kepimpinan Pak Lah terpaksa diundurkan lebih awal berbanding bekas-bekas perdana menteri sebelumnya. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan ialah disebabkan penglibatan kaum kerabat Pak Lah dalam pentadbiran negara, khususnya penampilan ketara menantu beliau, Khairy Jamaluddin.

Penulis masih ingat lagi sewaktu PRU 12 bagaimana begitu merebaknya kebencian di kalangan rakyat bawahan ketika itu pada corak kepimpinan Pak Lah yang didakwa lemah dan banyak bagi muka kepada menantunya.

Malah di kalangan penyokong-penyokong UMNO pun ketika itu sudah terdengar jelas bisik-bisik betapa mereka menyampah dengan Khairy yang memanjat tangga-tangga kuasa politik dengan pantas (sambil memijak kepala orang-orang yang telah lebih lama dalam politik) hanya bermodalkan bapa mertuanya yang menjadi perdana menteri ketika itu.

Penampilan Khairy menerusi media massa begitu kerap sekali sehingga perasaan menyampah para pengundi ketika itu begitu membuak-buak. Malah penyebaran gelagat kurang ajar Khairy semasa kempen pilihan raya di Youtube menambah bagi sakit hati para pengundi.

Penulis tidak tahu apakah kebencian itu adalah taktik pembangkang ketika itu. Namun jelas sekali rakyat pada masa itu tidak gemar melihat kelibat Khairy di kaca televisyen mahupun suratkhabar.

Dan menjelang hari pilihanraya pula, kempen terang-terangan di televisyen yang meminta rakyat mengundi Barisan Nasional dicanangkan dalam slot waktu perdana. Hal ini tidak pernah berlaku sewaktu zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Rupa-rupanya kempen itu menambah lagi sakit hati para pengundi kepada BN. Natijahnya rakyat beralih mengundi pembangkang dan menyaksikan BN kehilangan kuasa 2 per 3 dalam Parlimen.

Ketika ini, sejarah yang sama seolah-olah akan berulang. Kali ini penulis dapat merasakan adanya bisikan rasa menyampah rakyat bawahan pada kemunculan-kemunculan isteri Perdana Menteri sekarang ini di media massa samada elektronik mahupun bercetak.

Belum pernah dalam sejarah negara ini isteri kepada Perdana Menteri muncul begitu kerap di televisyen dan sering mendapat publisiti media hanya kerana gerakan-gerakan beliau yang seakan-akan seorang menteri berportfolio penuh.

Program Senam Tari, program PERMATA, program Persidangan Isteri-isteri Pemimpin Asia, program lawatan ke luar negara - semua ini mendapat liputan luas media tempatan. Penonjolan yang luar biasa kepada seorang isteri PM ini adalah satu perkara yang tidak pernah berlaku.

Mungkin benar isteri kepada PM ini mempunyai pentas untuk menyumbang kepada negara. Dan mungkin benar segala program dan aktiviti yang melibatkan beliau tidak menggunakan dana rakyat. Namun, dikhuatiri penonjolan luar biasa beliau menerusi media arus perdana akan membawa kepada berulangnya sejarah PRU 12.

Penulis mengiktiraf daya kepimpinan Datuk Seri Najib. Begitu jelas sekali kredibiliti beliau. Namun PM perlu lebih mengawal tindak tanduk isteri beliau agar tidak menjadi sokong yang membawa rebah.

Ingatlah, sejarah itu sering berulang sehingga manusia belajar dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Wallahu 'alam.

Wednesday, January 12, 2011

What I value the most

Dalam satu bengkel, para peserta diberikan tugas untuk memberi 'public speaking' dengan judul "What I value the most". Para peserta diberi masa 15 minit untuk menulis nota ringkas untuk diucapkan di hadapan khalayak ramai.

Penulis mencatatkan perkara paling manis dalam hidup penulis yang tiada galang gantinya, yakni kejayaan menerima segulung ijazah setelah berhempas pulas menggapainya. Namun hati penulis begitu terkesan apabila peserta yang lain punya cerita yang berbeza.


Kumpulan penulis dalam bengkel tersebut dianggotai seramai enam orang dengan hampir kesemuanya berlatar pendidikan bidang kedoktoran. Maknanya, mereka mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana. Jelaslah, penulis adalah yang paling junior.

Masa 15 minit berlalu, dan seorang demi seorang peserta dipanggil ke hadapan untuk menyampaikan ucapan masing-masing. Tatkala tiba giliran kumpulan penulis, salah soerang ahli kumpulan dipanggil ke hadapan. Wanita ini berusia lewat 40-an. Bicaranya petah, melambangkan kekukuhan penguasaan bahasa Inggerisnya hasil pendidikan yang tinggi.

"Okay, madam! You can start now" Moderator memberi lampu hijau

"Well, I guess the thing I value the most is definitely different compared to all my friends here"

"Tapi saya rasa inilah yang saya amat hargai sekali" Si wanita tercakap bahasa Melayu

"Apa yang saya amat hargai ialah apabila saya membuka mata di waktu malam, saya dapat lihat suami saya ada tidur di sebelah saya..."
"Why? Because nowadays, banyak perempuan yang pilih suami orang. Saya bersyukur keluarga saya tidak diuji dengan ujian sebegitu, dan saya harap ia kekal begitu"

Penulis agak terkejut dengan ucapan puan itu. Penghargaan yang tinggi diberikannya kepada hal yang sesetengah daripada kita terlepas pandang untuk fikirkan waima sejenak pun. Jelas ada kebenarannya.

Tatkala manusia telah mencapai segala keperluan asasnya, kehendaknya maka tahap tertinggi yang ingin dicapai ialah penghargaan daripada orang lain. Inilah yang disebutkan dalam Teori Marslow.

Puan ini telah mencapai kestabilan dalam hidupnya - kekukuhan kewangan, jawatan yang berprofil tinggi, rumah yang tersergam agam, anak-anak yang cemerlang dan ketenangan sakinah. Lantas itu membuka jiwanya untuk menghargai setiap perkara yang kelihatannya remeh, tetapi bermakna besar bagi dirinya.

Berapa ramai isteri-isteri yang berjawatan tinggi tetapi lupa kepada tanggungjawab kepada suaminya lantaran egonya dengan jawatan serta function-function yang berprofil tinggi yang dia kerap hadiri?

Dalam hati, penulis menitipkan tahniah kepada sang suami kerana mempunyai isteri yang begitu menghargai.

Benarlah kata-kata bijak pandai yang berbunyi:

"Nikmat itu datang sekali sekali dalam hidup ini, hargailah ia, nikmatilah ia.
Namun bersyukur mestilah setiap masa"