Monday, September 24, 2012

Jihad Bermusim

Kontroversi yang dibawa oleh filem pendek 'Innocence of Muslims' dan terbaru karikatur yang menghina Nabi Junjungan SAW telah mencetuskan protes secara aman mahupun ganas di seantero dunia.

Secara peribadi, kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW wajib marah ke atas kebiadapan orang kafir yang terlibat menghina Rasul Junjungan kita itu.

Namun dari sudut lain juga, saya melihat filem yang biadap itu cumalah satu 'acahan' orang Yahudi dan Nasrani untuk membuktikan kepada dunia betapa ganasnya umat Islam tatkala berdemonstrasi.

Kita bersetuju umat Islam patut bangkit menunjukkan kemarahan kepada penghinaan tersebut, namun janganlah hanya bersifat sentimen yang sementara.

Ini bukan kali pertama mereka mengacah umat Islam, malah sudah berkali-kali. Namun selepas peristiwa itu reda kelak, umat Islam kembali kepada keadaan biasa...tiada lagi jihad seperti memboikot barangan mereka demi melumpuhkan ekonomi mereka.

Selepas reda sentimen itu, ramai umat Islam kembali leka. McDonald dan KFC terus dikunjungi. StarBuck dan Coffea Bean terus dilepaki. Apabila datang lagi provokasi baru, kita pun bercerita semula dengan bersemangat tentang jihad ekonomi dan memboikot produk mereka lagi.

Beginilah keadaan umat Islam hari ini. Bagaimanakah Allah ingin membantu jika semangat jihad kita pun setakat hangat-hangat tahi ayam yang hanya bertahan sementara apabila satu-satu provokasi itu masih panas?

Jika kita tidak mahu nabi kita dipersenda, tunjukkan kepada dunia betapa kita cintai Nabi Muhammad SAW dengan mengamalkan sunnah baginda dan menjaga akhlak sebagaimana yang Nabi telah contohkan.

Allahumma solli ala Muhammad, wa ala alihi wassohbihi wa sallam....

Saturday, September 01, 2012

Himpunan di Bukit Jalil

 Secara kasarnya perhimpunan di Bukit Jalil sempena menyambut ulangtahun ke-55 Kemerdekaan Malaysia adalah antara yang paling besar dihadiri lautan manusia.

Buat julung-julung kalinya penulis bertekad untuk datang pada sambutan Merdeka tahun ini kerana ingin melihat sendiri apa yang berlaku di sebalik tabir penganjurannya.

Berpuluh-puluh bas catar digunakan untuk mengangkut pelajar sekolah, penjawat awam, kakitangan swasta lantas menjadikan suasana di sekitar stadium begitu sesak dengan hingar-bingar dan hiruk pikuk manusia pelbagai bangsa dan gelagat. 

Penulis memilih untuk datang ke Bukit Jalil menggunakan khidmat LRT percuma khusus untuk ke Bukit Jalil sahaja. Peluang ini digunakan oleh para ibu bapa untuk membawa keluarga masing-masing ke sana, apatah lagi kerana ada anak mereka yg terlibat dengan aneka persembahan Generasi Y di tengah-tengah pentas stadium.

 Penganjuran perhimpunan seraksasa malam itu tadi sejujurnya juga dipancing oleh adanya cabutan bertuah yang hadiah utamanya adalah kereta Proton Preve selain hadiah-hadiah lain. Maka bertambah ramailah warga kota menyerbu ke sana untuk mencuba nasib. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Apapun, penulis sedikit kecewa dengan 'crowd management' yang dilakukan. Dalam perhimpunan sebesar itu, seharusnya disediakan segala keperluan khalayak, khususnya umat Islam untuk menunaikan solat apabila tiba waktunya.

Akibat 'mismanagement', para pengunjung muslimin dan muslimah terpaksa berasak-asak memasuki tempat berwuduk dan tempat solat. Ada segelintir yang tidak tahan menunggu, memilih untuk bersolat secara berjemaah di tepi laluan utama memasuki pintu stadium. Pada awalnya tidak mengganggu pergerakan pengunjung, namun apabila makmum semakin ramai memanjang dan menambah saf di belakang imam segera, laluan semakin sempit dan akhirnya menyebabkan kesesakan luar biasa. Mereka mengambil wuduk pula menggunakan air daripada botol-botol mineral yang dibekalkan percuma.

Seafdalnya penganjur boleh mendirikan khemah-khemah besar di dataran parkir untuk kemudahan solat para pengunjung sambil disediakan tangki air khusus utk wuduk.

Kepada yang bersolat di tengah laluan ke pintu stadium itu, anda mungkin ingin menunjukkan bahawa Islam itu mudah dengan rukhsoh boleh bersolat di mana sahaja asalkan menghadap kiblat. Namun dari satu sudut lain, anda telah mencemarkan imej Islam di mata orang-orang non-Muslim atas tindakan antum yang menyebabkan kesesakan laluan di situ.

Antum ada pilihan untuk berjalan jauh sedikit ke surau LRT yang agak luas di luar stadium untuk bersolat, tetapi antum memlilih jalan mudah sambil menyusahkan orang lain. Apakah syiar Islam akan tinggi jika demikian?


Penulis dapat melihat pelbagai gelagat Generasi Y dan X yang ingin dimenangi hati mereka oleh pihak kerajaan mahupun pembangkang. Majoriti mereka tidak segan silu mengekspresi diri walaupun melanggar norma dan batas agama. Mereka jelas mahu perhatian pengunjung yang tiba waima pun terpaksa kelihatan gila dan kurang waras untuk meraih perhatian itu.

Penulis menanti di stadium untuk mengetahui siapa yang bertuah itu. Namun jelas cabutan itu dilewatkan selewat-lewatnya hinggakan sewaktu ingin cabutan dibuat stadium sudah 98% kosong kerana pengunjung telah pulang ke destinasi masing-masing.

Apakah cabutan bertuah itu cuma gimik 'crowd puller' yang sebenarnya tiada pemenang pun?

Wallahu 'alam....

Alhamdulillah...negaraku telah 55 tahun merdeka....