Friday, December 11, 2009

A Porsche vs Al-Quran

A young man was getting ready to graduate from university.

For many months he had admired the beautiful Porsche Carrera 4S in a dealer's showroom, and knowing his father could well afford it, he told him that was all he wanted.

As Graduation Day approached, the young man waited signs that his father had purchased the car.

Finally, on the morning of his graduation, his father called him into his private study. His father told him how proud he was to have such a fine son, and told him how much he loved him. He handed his son a beautiful leather gift box.

Leather Bound Quran

Curious, but somewhat dissapointed, the young man opened the box and found a lovely, leather-bound Quran. Angrily, he raised his voice and said "With all your money you give me a Quran?!!" and stormed out of the house, leaving the holy book.

Years passed and the young man became very successful in business. He has a beautiful home and wonderful family, but realized his father was very old and thought perhaps he should go to him and ask for his forgiveness. After all, he has neither seen nor contacted him since graduation.

Before he could do so, he received a phone call from his father's lawyer telling him that his father had passed away, and willed all his possessions to him. He needed to come home immediately to take charge of his father's affairs and funeral arrangements.

When he arrived at his father's house, a sudden sadness and regret filled his heart. He began to search for his father's important papers and saw the "still new" Quran laying in his father's private study, just as he had left it years ago. With tears, he opened the Quran and began to turn the pages.

As he recited verses from the Quran, a car key dropped from an envelope taped behind it... cling...

It had a tag with the dealer's name, the same dealer who had the sports car he had desired. On the tag was the date of his graduation, and the words ... PAID IN FULL!

Moral of this story : How many times do we miss ALLAH's blessing because they are not packaged as we expected?

Thank the original author > AlexandermUslim@gmail.com

TERJEMAHANNYA:

Seorang pemuda bersiap-siap untuk menamatkan pengajiannya di universiti.

Untuk beberapa bulan dia begitu mengagumi kecantikan kereta Porsche Carrera 4S di sebuah bilik pameran pengedar kereta. Mengetahui ayahnya mampu membelinya, dia meluahkan kepada ayahnya betapa kereta itulah yang dia amat idamkan.

Hari konvokesyen pun tiba, si pemuda tertunggu-tunggu tanda yang ayahnya sudah membeli kereta itu.

Akhirnya pada pagi hari konvokesyen itu, ayahnya menjemput si pemuda datang ke bilik bacaannya. Ayahnya memberitahu betapa dia bangga mempunyai seorang anak lelaki yang baik dan betapa dia amat menyayanginya. Ayahnya pun menyerahkan kepada anaknya itu sebuah kotak kulit yang cantik.

Curiga tetapi kecewa, si pemuda membuka kotak itu dan menemui sebuah al-Quran yang berbalut kulit yang cantik. Dengan marahnya, si pemuda meninggikan suara dengan berkata:

"Dengan wang ayah yang banyak itu, ayah cuma menghadiahkan saya sebuah AL- Quran?"

kemudian si pemuda lari keluar dari rumah, meninggalkan hadiah itu.

Tahun berganti tahun, si pemuda menjadi seorang yang amat berjaya dalam perniagaan. Dia mempunyai rumah yang cantik dan keluarga yang bahagia, namun dia menyedari ayah sudah semakin tua dan bercadang untuk menjenguknya untuk memohon kemaafan. Lagipun, dia tidak pernah berhubung dengan ayahnya sejak dari hari konvokesyen lagi.

Namun sebelum dia mampu berbuat demikian, dia mendapat panggilan telefon daripada peguam ayahnya yang memberitahu ayahnya telah meninggal dunia dan telah mewasiatkan semuaharta kepadanya. Si pemuda diminta pulang segera untuk mengambilalih segala urusan dan juga pengebumian ayahnya.

Apabila dia sampai ke rumah ayahnya, kesedihan dan penyesalan menyelubungi hatinya. Dia mula mencari dokumen-dokumen penting ayahnya dan terlihat hadiah Al-Quran di bilik bacaan ayahnya yang masih tidak terusik sebagaimana dia tinggalkan dahulu. Dengan airmata bercucuran, dia membuka Al-Quran itu dan menyelak helaian demi helaian.

Sedang dia membaca surah dari Al-Quran itu, sebentuk kunci kereta terjatuh daripada sebuah sampul surat yang terlekat di belakangnya.. "Clinggg!"

Pada tag kunci itu tercatat nama pengedar kereta, nama pengedar yang sama yang mempamerkan kereta yang dia amat idamkan dahulu. Pada tag itu juga tercatat tarikh konvokesyennya dahulu dan juga perkataan..."DIBAYAR PENUH!"

Moral daripada cerita ini:
Berapa kalikah kita tidak mensyukuri anugerah ALLAH hanya kerana ia tidak datang dalam pakej yang kita inginkan?


Friday, December 04, 2009

Di bengkel moto...

"Alooo...tolong tukar ini mentol lampu depan. Sudah terbakar la"

"Lu mau yang bagus punya ka yang biasa?"

"Yang bagus punya berapa? Yang biasa berapa?"

"Yang bagus 8 linggit loh. Biasa punya dua linggit saja"

"Itu yang 8 linggit punya tahan ka? Saya sudah banyak kali tukar mentol maa"

"Itu lapan linggit ini macam punya loh...dia punya lampu warna putih"

"Hayyo...ini lampu boleh ka? JPJ tidak tangkap ka moto saya nanti?"

"Ayya...lu jangan takut maa. Ini barang JPJ tada tahan punya"


"Ya ka? Kalau itu macam pasang la ini mentol."

"Lu mau tau ka? Saya paling tidak suka sama itu orang keje kerajaan macam polis tu"

"Kenapa loh?"

"Ya lah...diolah aa suka tahan olang minta duit. Diolang cari salah olang...tapi itu penjahat di jalanan diolang tadak mau tangkap"

"Hayya amoi....bukan semua itu macam loh"

"Dalam bahasa cina aa...itu orang kerja gomen bermakna 'ada dua mulut'. Lu tau ka? Itu pasal diolang suka makan duit pasal ada dua mulut loh..kita olang biasa ada satu mulut sahaja loh"

"Ya ka?"

"Ya loh...diolang ingat kami takut sama diolang. Tapi kami cuma hormat sama itu baju seragam loh..."

"Itu taiko pegi mana? Hari nie tadak nampak?"

"Hayya...gua pun tadak tau dia pegi mana. Nanti dia balik la juga"

Dialog di atas tersembul secara jujur dari seorang peniaga. Dia bercakap berdasarkan pengalamannya. Walaupun bunyinya pedas, tetapi kita tidak boleh nafikan kebenarannya.

Penulis sendiri pernah mengalami situasi yang mengiyakan dakwaan tersebut sewaktu menunggang motor melalui terowong di Petaling Jaya.

Sedang menunggang dengan lajunya, tidak semena-mena muncul seorang lelaki berpakaian seragam polis di tengah-tengah jalan sambil mendepangkan tangannya bertujuan memberhentikan penulis. Sambil seorang lagi anggota menunggu di bahu jalan.

Jika tidak kerana kecekapan membrek mengejut, sudah tentu lelaki tersebut cedera parah disondol motorsikal penulis.

"Encik...berhenti yea. Kami nak buat pemeriksaan"

Melihatkan situasi ketika itu, penulis sudah syak bahawa ini adalah perangkap anggota yang 'cari makan'. Ini berdasarkan 3 perkara:

  1. Pemeriksaan di jalan raya yang sah tidak akan dibuat di dalam terowong atau jalan yang gelap demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya
  2. Semestinya ada papan tanda, kon dan alat keselamatan seumpamanya untuk memberitahu kepada pengguna jalan raya akan adanya pemeriksaan di hadapan
  3. Pemeriksaan yang sah akan melibatkan ramai anggota, bukannya dua orang sahaja

Hal yang demikian membuatkan penulis sedikit marah.

"Apa nie? Tahan orang dalam terowong nie!! Saya nak tengok waran awak buat macam nie??"

"Err....tunggu sekejap ye encik" Kelihatan si lelaki berkerut dahi, gementar.

Penulis melihat dua anggota itu beralih pula menahan motor di belakang penulis, motor yang ditunggangi suami isteri dan bayi mereka.

Kelihatannya mereka menge'pow' penunggang moto di belakang itu. Kelihatannya dua anggota itu enggan menahan penulis dengan lebih lanjut lagi. Oleh yang demikian, penulis pun meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan dua anggota itu lagi.

Sebagai rakyat biasa, kita mesti mengetahui hak-hak kita dalam undang-undang demi melindungi diri daripada diambil kesempatan oleh orang-orang sebegini. Dalam masa sama juga, kita punya peranan untuk 'mengajar' orang-orang sebegini daripada terus menekan orang lain.

Jika ditahan di jalan raya tanpa sebab yang munasabah, kita berhak meminta anggota berseragam itu menunjukkan waran rasmi pemeriksaan tersebut. Lebih kemas lagi jika kita rekodkan nombor pengenalan anggota tersebut untuk dibuat siasatan kemudiannya.

Sebarang kegiatan yang kita boleh tafsirkan sebagai salah laku di luar keraguan munasabah bolehlah kita salurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan memberikan butiran yang disebut tadi.

Inilah cara kita sebagai ahli masyarakat untuk mewujudkan keadaan 'check and balance' dalam penegakan hukum secara luhur.

Wallahu 'alam...

Monday, November 30, 2009

Resolusi meditasi

Jam tepat menunjukkan 12:31 tengahari.

"Cikgu...saya minta diri nak ke surau"

Perlahan-lahan saya dan seorang lagi teman meninggalkan cikgu yang tengah mengajar di kelas.

Kelihatan berduyun pelajar lelaki dari kelas seangkatan juga keluar menuju tempat yang sama. Segerombolan demi segerombolan berjalan keluar tatkala azan Zohor sayup-sayup kedengaran dari masjid kampung berdekatan.


Sebenarnya kami baharu sahaja selesai melalui seminggu kursus intensif yang dipanggil Kem Bina Semangat, kursus yang diberi khas kepada pelajar tingkatan 3 demi menyediakan kami dari segi mental dan rohaniah untuk menghadapi peperiksaan besar PMR yang akan datang dalam tempoh empat bulan lagi.

Dalam kem tersebut kami telah ditarbiyah untuk benar-benar menghargai dan menepati masa. Perkara yang paling dititikberatkan ialah penunaian solat fardhu berjemaah, termasuk solat sunat dan qiamullail.

Kami diasuh untuk melaksanakan ibadah solat tanpa alasan kerana ia adalah tiang agama. Mendirikannya bererti meneguhkan agama. Meninggalkannya bermakna meruntuhkan agama. Kami dididik bahawa solat itu paling terbaik dan optimum ganjarannya apabila dilaksanakan secara berjemaah dan di awal waktu masuknya.

Kami juga ditarbiyah untuk mengutamakan ibadah kepada Allah melebihi persediaan menghadapi PMR itu kerana PMR cumalah cebisan kecil daripada perjalanan hidup di alam fana ini. Persediaan untuk alam Akhirat itulah perjuangan yang paling utama.

Pendeknya, kem itu bertujuan membentuk kami untuk bersedia menghadapi kehidupan ini secara keseluruhannya. Para guru mahu kami ada pegangan kuat kepada agama sebelum kami berdepan cabaran sebenar kehidupan di luar sana selepas PMR.

Seusai kem itu, kami terus mempraktikkan apa yang telah diterapkan, khususnya solat berjemaah pada awal waktu itu.

Namun, kecenderungan bersolat berjemaah itu mengundang rasa khuatir di kalangan guru. Apa tidaknya, PMR dah makin hampir...tetapi pelajar pula mudah meninggalkan kelas walaupun ada guru sedang mengajar, sekaligus menjejaskan persediaan yang para guru rancang untuk kami.

Kerisauan yang memuncak itu membawa kepada suatu resolusi drastik - kami ditegah sama sekali untuk keluar kelas untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah besar-besaran. Ya! Ia suatu resolusi yang bercanggah dengan apa yang diterapkan oleh para guru sendiri semasa kem itu. Namun, begitulah hakikatnya.

Penulis menukilkan peristiwa ini di sini kerana terfikir apakah keruntuhan moral yang berlaku di zaman ini adalah disebabkan kita sentiasa membelakangkan apa yang Allah suruh demi meraih kejayaan sementara di dunia?

Tidak dinafikan peperiksaan PMR, SPM, STPM itu besar impaknya dalam kehidupan kita. Namun apakah impaknya itu jauh lebih buruk daripada meninggalkan perlaksanaan ibadah secara kaffah dan seoptimum mungkin?

Jiwa muda yang kosong tetapi diisi dengan nafsu untuk keduniaan telah menghasilkan generasi muda mengejar keduniaan semata-mata. Tatkala tersadung lalu tercicir ketika dalam perlumbaan, mereka hilang arah tuju, hilang pedoman. Lantas mereka membina dunia khayalan mereka sendiri lalu hanyut di dalamnya.

Maka wujudlah generasi yang tidak kenal pintu masjid, tetapi kenal Sheila Majid. Tidak kenal ibu kepada Nabi, tetapi kenal kepada ibu pengasas jenama Tommy. Tidak tahu bila hari-hari Tasyrik, tetapi ingat bila Hari Krismas.

Soalnya sekarang, apakah ikhtiar kita sebagai bakal mak dan ayah di masa hadapan untuk mencorak anak-anak kita agar tidak tergolong dalam generasi yang hanyut ini?

Sama-sama kita usahakan....

Insya Allah....

Tuesday, November 17, 2009

Generasi termutasi

Tergerak hati untuk merasa menggunakan perkhidmatan monorail tatkala hujan menyapa manja petang Sabtu yang redup di tengah ibukota.

Kaki melangkah naik menuju lokasi menunggu. Ternyata berkerumun manusia berceratuk menanti sang gerabak besi datang. Melihatkan begitu ramainya manusia, terdetik juga di hati betapa menyesalnya memilih kaedah perjalanan ini. Namun, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai tangan bau masam!



Akhirnya si gerabak pun sampai. Barisan yang tersusun tadi serta-merta menjadi caca-marba tatkala pintu gerabak dibuka. Semua orang ingin masuk segera, walau caranya tidak bersivik. Hinggakan menyukarkan orang dari dalam gerabak untuk melangkah keluar.

Bagaimana pun, kaki dapat juga menerjah masuk ke dalam sambil berdiri di tepi pintu. Tangan berpaut kepada tiang besi. Gerabak pun mula bergerak melalui stesen demi stesen di sepanjang metropolitan.

Kedengaran bingit suara ahli keluarga yang rasanya datang dari Tanah Besar China, berkomentar tentang bangunan-bangunan yang wujud di sepanjang laluan monorail. Namun mata ini terpanggil untuk memerhati satu senario yang memikat.

Kelihatan duduk di kerusi seorang wanita Eropah sambil di tepinya berdiri seorang lelaki Eropah yang juga pasangannya sambil menggalas beg pakaian yang bagak dan berat. Dua lagi manusia yang duduk di situ ialah dua lelaki Melayu muda belia.

Di tepi kerusi itu ada seorang makcik tua yang berdiri sambil memerhati tajam kepada kedua anak Melayu itu. Sang makcik berdiri berpaut sambil pada palang besi di tepi kerusi itu sarat dengan barang shopping dalam kantung beg plastik yang besar. Di belakang makcik itu pula berdiri seorang lelaki Eropah dalam lingkungan usia 50-an mungkin.

Tatkala tiba di stesen destinasi, si wanita Eropah dengan pasangannya berganjak keluar daripada gerabak meninggalkan satu ruang duduk kosong di tepi dua remaja Melayu itu.

Seorang daripada remaja itu pun menjemput si lelaki Eropah tua itu duduk. Lelaki tua itu pun duduk. Kemudian kedua-dua remaja Melayu itu pun berborak ringan dengan si lelaki Eropah dalam bahasa Inggeris. Sambil sang makcik berpaut kat palang besi seperti mana awal tadi.

Melihatkan senario itu, penulis terfikir di mana silapnya sehingga insiden sebegini boleh terjadi. Apakah ungkapan "I look stupid when I speak in Malay" yang pernah diucapkan seorang artis remaja Melayu sebenarnya membawa suatu konotasi yang lebih mendalam daripada maksud tersuratnya yang superfisial sebagai mewakili fikrah generasinya ?!!

Atau, apakah disebabkan kempen Tahun Melawat Malaysia, Zoom Malaysia atau Malaysia: Truly Asia telah merubah budaya kita kepada lebih ramah kepada pelancong asing berbanding penduduk tempatan?

Berpinar minda penulis berfikir sambil sang gerabak berengsot perlahan menuju destinasi demi destinasi.

Ya! Pendek katanya generasi muda di ibukota lebih menghormati warga Eropah kerana pengaruh media massa yang menggambarkan mereka sebagai bangsa yang lebih bertamadun, moden dan hebat, lantas mencuit rasa hormat yang berlebihan kepada mereka, melebihi hormat kepada bangsa sendiri dan agama sendiri.

Wallahu 'alam....

Thursday, October 08, 2009

Mustika Kartika

Pucuk pangkal ceritanya begitu straight forward. Seorang wanita Muslim yang ditahan dan didapati bersalah oleh mahkamah Syariah kerana meminum arak di khalayak ramai.

Si wanita pula sedar kesalahannya dan memohon untuk dihukum segera atas kesedarannya dan ingin bertaubat.

Namun cerita ini menjadi komplikated apabila ada pihak yang cuba "memperjuangkan hak asasinya", yakni cuba "mempertahankan" si wanita daripada dihukum sebat sebagaimana yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah.

Golongan "pejuang" ini memberi gambaran betapa hukuman sebat itu adalah tidak adil, tidak berperikemanusiaan, zalim dan tidak sesuai dikenakan ke atas seorang wanita di zaman moden ini.

Begitulah "usaha" mereka dalam "menyelamatkan" si wanita. Baiklah, mari kita rujuk apa definisi hak asasi manusia mengikut Wikipedia:

Human rights refer to the "basic rights and freedoms to which all humans are entitled."[1] Examples of rights and freedoms which have come to be commonly thought of as human rights include civil and political rights, such as the right to life and liberty, freedom of expression, and equality before the law; and economic, social and cultural rights, including the right to participate in culture, the right to food, the right to work, and the right to education.

Kita lihat pula definisinya menurut Amnesty International:

Human rights are basic rights and freedoms that all people are entitled to regardless of nationality, sex, national or ethnic origin, race, religion, language, or other status.

Human rights include civil and political rights, such as the right to life, liberty and freedom of expression; and social, cultural and economic rights including the right to participate in culture, the right to food, and the right to work and receive an education. Human rights are protected and upheld by international and national laws and treaties.



Kartika tidak memohon utk tidak disebat. Sebaliknya memohon agar dihukum sebat segera kerana insaf dan ingin bertaubat. Bukankah menjadi hak asasinya juga untuk memilih agar dikenakan hukuman?? Tidakkah melanggar hak asasi beliau jika ada pihak menghalangnya daripada dikenakan hukuman sepertimana yang dia minta??

Mereka mempertikaikan hukuman sebat itu sedangkan ada dalil yang mengarahkan hukuman sedemikian:

Rasulullah saw telah menyebatkan orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak empat puluh kali sebat juga, dan Saidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulullah saw. Dan ini yang lebih aku sukai. -
Riwayat Muslim
.


Selain itu, Saidina Umar Al-Khattab sendiri pernah menghukum anak baginda sendiri, iaitu Abu Samah atas kesalahan meminum arak, berzina dan membunuh orang ketika baginda menjadi Khalifah. Abu Samah dihukum palu seratus kali sehingga mati dan hukuman itu dilaksanakan oleh baginda sendiri. Tiada kompromi bagi baginda dalam menegakkan hukum Allah s.w.t.

Mengapa golongan "pejuang" itu ingin membela orang yang tidak ingin dibela? Apakah mereka ingin membawa mesej bahawa hukuman berlandaskan Syariah adalah lapuk dan tidak adil? Walhal, negara ini agama rasminya adalah Islam.

Bagaimana pula dengan hak agama Islam yang berhak ditegakkan syiarnya di negara ini? Bukankah tindakan "memperjuangkan" Kartika itu turut menafikan hak agama Allah s.w.t ini?

Dan bagaimana pula dengan hak masyarakat Islam keseluruhannya di negara ini yang mahu hukum Allah terlaksana dan tidak diganggu perlaksanaannya?? Bukankah muslimin dan muslimah secara total juga mempunyai hak asasi sebagai satu masyarakat yang mahu melihat Islam diamalkan sebagai Ad-Din?

Nah, golongan itu yang dipelopori oleh Sisters In Islam sekali lagi menunjukkan apakah aliran pemikiran mereka yang sebenarnya - memperjuangkan Islam berdasarkan kaca mata liberal. Menafsirkan perlaksanaan agama mengikut lunas nafsu dan cara Barat.

Isu Kartika sebenarnya memberi tamparan hebat kepada golongan yang selama ini memburukkan Islam di negara ini. Jika dahulu dalam kes Lina Joy, kita bersedih kerana agama kita dipermainkan, kali ini agama kita dimartabatkan dengan kes Kartika walau sekelumit.

Pujian harus diberikan kepada Kartika yang istiqomah dengan kehendaknya itu. Semoga Allah s.w.t memberi dia kekuatan dalam mencari keampunan Ilahi.

Tuesday, September 29, 2009

Minal Aidil Wal Fa 'Izin




Di kesempatan ini, penulis mengucapkan selamat hari raya Aidil Fitri kepada semua pembaca blog ini.



Sambutlah Aidil Fitri ini seadanya bersama keluarga dan taulan. Ingatlah bahawa kita tidak tahu bila ajal kita akan tiba. Justeru, peluang sebegini jangan disia-siakan daripada membersihkan jiwa dengan bermaaf-maafan sesama insan.



Bersempena dengan itu, penulis juga mengucapkan terima kasih kepada para pembaca dan juga memohon ampun maaf sekiranya ada celoteh atau kritikan yang tertulis di blog ini yang menganggu nadanya pada pandangan anda.

Tiadalah niat sang penulis selain membawa pemikiran baru yang segar untuk kita sama-sama fikirkan. Minda yang tajam ialah minda yang sentiasa melihat sesuatu dari sudut yang berbeza, membongkar persoalan dari perspektif berbeza, dan memberi alternatif penyelesaian berlandaskan logik dan dalil.

Akhir kata, selamat hari raya...Maaf zahir dan batin!

Monday, September 07, 2009

Program Ih'ya Ramadhan Al-Karim

Bersempena Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan Hari Nuzul Quran, saya mengajak anda semua untuk menyertai Program Ih'ya Ramadhan Al-Karim.

Bantuan dan Sumbangan derma untuk pembelian barang makanan asas (Tepung,Beras,Gula,Susu,Minyak dan duit raya) untuk 1,500 orang fakir miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim,dan orang kurang upaya iaitu saudara kita yang tinggal di Kota Belud, Kota Marudu, dan di Ranau Sabah.

Derma Jihad dari muslimin dan muslimat amat kami perlukan iaitu (RM 50.00) darab dengan 1,500 orang jumlahnya RM75,000.00

Hulurkan sumbangan anda ke akaun MAYBANK atas nama:
Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Bestari
No.Akaun: 5122 68 40494 7


Sila Hubungi Us Hj.Mohd Farhan Al Hafiz di Talian
019-2666323 atau email usfarhan@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
untuk keterangan lanjut.

Semoga usaha dan sumbangan anda diberkati oleh Allah.
Ranau

Saturday, August 29, 2009

Wal Asri!

Waktu adalah rakan bagi orang yang bijaksana menguruskannya, dan ia juga adalah sebagai musuh bagi orang yang berserah kepadanya. Pengurusan waktu memerlukan ketelitian dan kesedaran tentang kepentingan mengenai kedudukan seseorang dalam sesuatu perkara. Terdapat beberapa kategori manusia:

  • Orang yang hidup sekadar di pinggir percaturan hidup. Oleh itu ia tidak menyedari tentang kepentingan waktu lalu mengabaikannya.
  • Orang yang menyedari kepentingan waktu tetapi tidak berupaya mengambil faedah daripadanya.
  • Orang yang menyedari tentang nilai waktu tetapi sukar baginya untuk bertindak secara teliti.
Jadi bagi membolehkan seseorang mengurus waktu, ia mestilah menjauhi perkara-perkara yang membazir waktu dan berusaha sedaya-upaya mendapatkan peruntukan masa. Ini memandangkan waktu membekalkan ketenteraman dan kelapangan hidup di samping mendorong tindakan yang proaktif dan produktif.

Justeru, keupayaan mengurus waktu adalah keupayaan mengurus diri. Orang yang tidak mampu mengurus waktunya, ia tidak mempu mengurus sesuatu apa pun.

"Soal 'waktu' bukanlah sekadar salah satu dari persoalan kehidupan Muslim, bahkan ia merupakan permasalahan utama. Waktu adalah kehidupan. Setiap detik dan saat, malahan jam dan hari-hari adalah umur seorang insan..., kehidupan manusiawi"


"Di mana-mana sekalipun, tempat gelap pasti ada dalam kehidupan anda. Apa yang perlu anda lakukan ialah nyalakan lampu di dalam diri...kita tidak boleh mengubah waktu yang lalu dan tidak boleh melakarkan masa hadapan dengan gambaran yang kita mahu"

"Mengapa kita membunuh diri dengan rasa kecewa di atas sesuatu yang kita tidak mampu ubah. Oleh itu, janganlah anda menantikan kebahagiaan untuk senyum...tetapi senyumlah supaya anda bahagia."

Petikan ini dicedok daripada buku bertajuk:
"Nilai dan Pengurusan Waktu dalam Hidup Muslim (Medium Pengislahan Diri)"
Hasil tulisan Dr. Yusuf Al-Qardhawi,
Edaran Pustaka Al-Shafa Sdn Bhd

Sunday, August 16, 2009

Belasungkawa: Ustaz Asri Ibrahim


Semoga Allah merahmati, mengasihi dan mengampuni beliau. Beliau telah menunjukkan sikap yang baik dan sumbangan kepada dakwah.

Sesungguhnya sewaktu di usia kanak-kanak, saya begitu teruja dengan suara yang berkarisma yang terdapat dalam kaset-kaset keluaran Al-Arqam, khususnya lagu Di Pondok Kecil.

Apabila pertubuhan Al-Arqam berkubur, barulah saya mengenali suara misteri yang selama ini menghuni kaset-kaset lama zaman kanak-kanak saya.

Beliau telah menghiasi persada seni suara tanahair dengan mesej-mesej dakwah yang kontemporari bersama Kumpulan Rabbani.

Kita doakan Allah menyayanginya. “Ya Allah ampunlah dan kasihilah dia”.

Al-Fatihah...

Wednesday, August 12, 2009

Tak serius lagi ke?

Kematian demi kematian akibat penyakit ini semakin meningkat.

Namun masih belum kelihatan langkah-langkah drastik untuk mengekang penyebarannya secara lebih tegas.

Jika alasannya semata kerana tidak ingin mendatangkan panik dalam masyarakat, maka itu sesungguhnya alasan yang amat lemah kerana harga yang amat tinggi sedang dibayar oleh masyarakat kita ketika ini.

Pada awal kes kematian pertama lagi, saya berpendapat kaedah kita menanganinya adalah salah dan tersasar.

Tatkala sebuah sekolah disahkan ada kes jangkitan, murid-muridnya cuma diarahkan pulang ke rumah. Juga ketika sebuah institut pengajian tinggi mengalami kes yang sama, juga diminta pulang ke rumah. Istilahnya "kuarantin di rumah".

Namun bagaimanakah kita tahu yang mangsa jangkitan ini tidak keluar ke shopping mall atau menghadiri majlis keramaian walau diarahkan duduk di rumah sahaja?

Sepatutnya pada awal kes pertama lagi, kita dah aktifkan "Amaran Merah", yakni keadaan yang sangat berjaga-jaga. Kementerian Kesihatan sepatutnya mula aktif menyebarkan topeng muka dan cecair disikfektan di tempat-tempat awam dan pihak berkuasa memastikan orang awam memakai topeng muka ini.

Penyakit ini sekarang sudah membunuh ramai orang dan akan terus membunuh sekiranya kita terus memandang ringan dan berfikiran seolah penyakit ini tidak akan menjangkiti kita.

Marilah kita berusaha menghindari jangkitan penyakit ini. Selain itu, kita amalkan juga doa ini semoga kita mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t.

Saya akhiri celoteh kali ini dengan petikan berikut:

"Malah, pada ketika Kuantan dilanda wabak ini, masih banyak pihak yang menganjurkan pesta keraian.

"Sepatutnya, langkah berjaga-jaga perlu dilakukan termasuk memakai topeng muka dan selalu mencuci tangan. Paling menyedihkan, sekolah masih terus dibuka walaupun ramai murid yang sakit.

"Guru hanya mengarahkan mereka pulang, sedangkan langkah paling tepat yang patut diambil ialah menutup sekolah bagi menghalang wabak penyakit itu menular," katanya.

Sunday, August 09, 2009

Antara Nasi dan Nasib

Kes Satu

Di suatu tengah hari yang damai...di suatu kedai makan Melayu..

"Nie kira nie bang berapa..."
"Hmm...lima setengah!"
"Eh? Biar betul bang. Semalam saya ambik lauk yang sama seperti ini, cuma RM 4.50"
"Semalam siapa yang kira?"
"Ada seorang lagi kawan awak tu!"

Si lelaki pun masuk ke dalam dapur dan berbicara dengan seorang kawan, kemudian keluar semula.

"OK lah..bagilah RM 4.50" sambil mukanya masam mencuka
Saya pun memberi dia RM 4.50 kemudian berlalu dari kedai itu.


Kes Dua

Di suatu petang di hari yang damai...di suatu kedai makan Melayu yang lain pula..

"Kat sini boleh order nasi tak?"
"Makan sini ke tapaw?"
"Tapaw"
"Boleh...nak order apa?"
"Nasi paprik"
"Air apa nak order?"
"Air tak payah la"

Si lelaki itu pun masuk ke dalam dapurnya dan mula memasak order saya. Kelihatan majikannya, seorang wanita dalam usia 40-an memandang dengan wajah masam mencuka.

"Bang...nie order dah siap" si tukang masak meletak tapaw di atas kaunter
"Nie berapa ringgit nie?"
"Kak...berapa nie?" Si tukang masak melirik kepada wanita berusia tadi
"Lima ringgit!!" jawab si wanita tatkala saya mengeluarkan wang nilai RM 5 dari dompet sambil berharap ada baki akan dipulangkan




Penerangan

Dalam kes pertama, saya hampir setiap hari ke kedai itu untuk men'tapaw' hidangan makan tengah hari. Dan setiap kali itu, saya akan mengambil nasi dan lauk yang sama kuantiti dan jenisnya. Tidak berubah.

Namun bila terjadi 'kenaikan harga' mendadak seperti itu, sudah tentulah saya berhak utk mempersoalkannya.

Dalam kes kedua pula, saya pernah membeli nasi paprik yang sama pada hari sebelum itu. Harganya cuma RM 4. Harga itu juga tercatat pada menu gergasi yang terpampang di dinding restoran itu.

Di mana signifikannya hingga harga itu boleh 'meroket' sehingga seringgit bezanya?


Analisis

  1. Dalam kedua-dua kes, jelas sekali peniaga Melayu ini tidak konsisten dalam meletakkan harga makanan
  2. Kedua-dua peniaga jelas tidak menghargai pelanggan yang selalu berkunjung ke tempat mereka. Bandingkan dgn kedai mamak yang tahu klien biasa mereka dan apa makanan yang biasa klien mereka minta
  3. Entah mana silapnya peniaga Melayu rata-ratanya memberikan muka masam mencuka kepada pelanggan yang datang kepada mereka. Bukankah pelanggan itu adalah rezeki?
  4. Rata-rata peniaga Melayu amat pantang dengan persaingan. Dan selalunya menjadi mangsa ialah pelanggan yang datang kepada mereka. Benci dengan gerai sebelah, muka masam mencuka pun diberi kepada pelanggan yang datang
  5. Peniaga Melayu (dalam kes kedua) menganggap mereka berhak ke atas harga yang mereka letak (jika tiada gerai lain meniaga pada masa itu)

Kesimpulan

Sebagai orang Melayu Islam, kita bertanggungjawab membantu menaikkan ekonomi orang Melayu.

Namun peniaga-peniaga Melayu juga perlulah sedar bahawa sokongan orang Melayu kepada perniagaan mereka juga dipengaruhi elemen-elemen 'good marketing practices' seperti harga yang munasabah, layanan yang baik dan khidmat selepas jualan yang bertanggungjawab.

Selagi mana peniaga Melayu sambil lewa dalam menitikberatkan 'good marketing practices', maka janganlah berharap mana-mana pelanggan akan menyokong perniagaan anda.

Perniagaan makanan bukan hanya berkisar kepada kaedah penyediaan makanan yang halal, tetapi lebih mustahak lagi ialah bagaimana peniaga Melayu bersikap jujur kepada pelanggan mereka dalam soal layanan dan meletakkan harga.

Sunday, August 02, 2009

Istikharah

Dalam membuat keputusan yang besar, kita selalunya akan keliru dalam memilih antara opsyen2 yang ada, khususnya dalam soal pemilihan jodoh.

Islam menggariskan umatnya melaksanakan solat Istikharah, memohon petunjuk Allah Azza Wa Jalla.

Umum mengetahui kaifiat solat sunat ini. Namun persoalan besar yang sering ditanya kembali ialah "bagaimana hendak tahu mana satu yang Allah s.w.t pilihkan untuk saya??".

Pengajian kitab Sairus Salikin karangan Syaikh 'Abdus Shamad al-Falimbani - oleh Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki An-Nadwi pada hari ini merungkai persoalan ini. Berikut tertibnya:

  1. Solat Istikharah dibuat untuk perkara yang jelas baiknya seperti berkahwin. Jika jelas tidak baiknya, tidak perlu solat istikharah.
  2. Fasa pertama ialah solat Istikharah dalam menentukan samada pekerjaan itu perlu dilaksanakan sekarang atau tidak
  3. Kemudian, fasa kedua pula ialat solat Istikharah dalam memilih pilihan yang ada
  4. Solat Istikharah itu dibuat setelah bermusyawarah/berbincang dengan orang yang bijak pandai/berpengalaman/orang tua/keluarga
  5. Jika keputusan dari mesyuarat itu baik, maka baharulah dilaksanakan solat istikharah
  6. Semasa solat Istikharah itu kita hendaklah betul-betul meminta petunjuk dari Allah, yakni kita mengosongkan otak kita daripada mendahului pilihan Allah s.w.t
  7. Jangan kita solat istikharah dengan minda kita sudah membuat pilihan siap-siap , kemudian dalam solat itu kita cuma meminta Allah s.w.t untuk endorse/merestui pilihan kita
  8. Selepas dua rakaat solat itu, kemudian doa Istikharah itu, bagaimana kita hendak mengetahui apa yang Allah s.w.t pilihkan untuk kita?
Imam An-Nawawi r.a menyatakan "yang mana qatar pertamamu, pegang yang itu". Qatar itu ialah lintasan hati yang pertama.

Selepas kita berdoa dengan penuh khusyuk meminta : "Ya Allah...mana satu yang terbaik untukku...." tiba-tiba tupp! datang qatar yang pertama dalam hati kita. Peganglah pilihan itu.

Kemudian beberapa saat selepas itu, datang pula qatar yang kedua yang bercanggah dengan qatar yang pertama tadi.

Ambillah apa lintasan pertama yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada kita. Jangan ambil qatar yang datang selepas itu, apatah lagi qatar yang datang beberapa minit selepas itu kerana semua itu sudah bercampur dengan gangguan-gangguan syaitan.

Adapun bagi orang yang mendapat mimpi, perlu pula dilihat amalan orang itu. Jika pekerjaannya (amal ibadah) tidak baik, maka mimpi dia pun tidak betul untuk diterjemah sebagai pilihan yang Allah s.w.t pilihkan.

Namun jika pekerjaannya baik, maka mimpi dia itu akan menjadi pengukuh kepada lintasan hati yang dirasainya ketika berdoa dalam solat istikharahnya.

Wallahu 'alam




Monday, July 27, 2009

Ayam Black Pepper

Bertemu rakan-rakan lama tidak sah jika tidak bersembang sambil pekena teh tarik di jalan Doraisamy.

Sedang rancak berborak soal kereta, moto dan isu semasa sambil disulami gelak sakan dan gurauan, kami disapa oleh seorang wanita muda yang memakai cap dan apron.

"Assalamualaikum bang! Nie saya nak promote masakan-masakan cina" sambil menghulurkan satu katalog gambar-gambar masakan yang ditawarkan

"Apa kena-mengena dgn kami?!" seorang kawan menyergah wanita tadi.

"Dik...masakan nie siapa masak? Halal ke?" saya bertanya sambil membelek katalog itu

"Ermm...nie saya yang masak bang. Halal...orang melayu buat" si wanita menjawab, senyum

"Saya menyewa ruang kat belakang kedai mamak nie" tambahnya

"Saya kena keluar promote macam nie sebab gerai saya tersorok, orang ramai tak nampak"

"Ooo..begitu. Hmm...bagi saya ayam masak black pepper nie" kata saya

"Bro...support la sikit. Nie orang Melayu meniaga nie. Support la" tambah saya lagi

"Hmm...saya pun nak order sotong masak kari nie..nampak sedap nie" kawan saya turut

"Abang nak nasi sekali ke?" si gadis bertanya

"Yea...bagi 2 pinggan nasi putih yer" saya berkata lagi

Si gadis pun mengambil kembali katalognya dan terus ke dapurnya.

Sementara itu, kami pun terus bersembang sakan sambil menanti order kami siap.

Tidak berapa lama, si gadis muncul kembali membawa makanan yang kami order. Dahinya dipenuhi peluh...baharu selesai memasak.

"Dik...nie kena bayar terus ke nie?" saya bertanya

"Yea bang. Ayam black pepper nie RM 7, sotong masak kari tu RM 6. Nasi 2 pinggan RM 2"

"Hmm...pandai awak masak masakan cina nie. Belajar kat mana?" saya bertanya lagi

"Saya belajar dengan kawan saya, bang" si gadis menjawab

"Siapa bos gerai awak tu?" saya bertanya lagi

"Gerai tu saya punya...saya juga tukang masaknya" jawab si gadis, tersenyum

"Oooo...bagus tu. Orang Melayu kena berniaga. Teruskan" sambil saya membayar harga masakan itu.

"Terima kasih bang" kata si gadis sambil berlalu.

Sketsa di atas berlaku malam semalam. Apa yang saya ingin tegur ialah sikap orang Melayu kita. Kita begitu syok menghentam wanita-wanita Melayu yang sanggup menjual maruah diri di pub-pub, dangdut mahupun disko-disko.

Kita katakan wanita-wanita sedemikian tidak bermaruah, tidak bermoral. Namun pada masa yang sama, kita tidak pernah mahu menyokong wanita Melayu yang bersusah-payah berjuang mencari rezeki yang halal seperti si gadis tadi.

Dia tidak meminta sedekah, apatah lagi meminta belas kasihan. Dia berjuang mencari rezeki menerusi perniagaan berbekalkan ilmu memasaknya yang dia pernah pelajari.

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Melayu sendiri untuk memberi sokongan kepada golongan sebegini. Kepada siapa lagi golongan ini boleh berharap jika bukan kepada bangsanya sendiri.

Berbanding dengan gadis-gadis berpakaian seksi yang terkinja-kinja di kelab malam dan longlai dalam pelukan lelaki hidung belang, si gadis tadi memilih untuk membuka perniagaan sendiri walaupun bermula dengan menyewa ruang di belakang kedai mamak.

Kepada siapa lagi dia boleh berharap untuk meneruskan usahanya mencari rezeki yang halal, jika tidak mendapat sokongan daripada bangsanya sendiri?

Jangan kita cuma mudah menuding jari kepada orang Melayu yang 'menjalangkan' diri, tetapi memandang sepi golongan Melayu yang memilih jalan halal mencari rezeki.


p/s
Sokonglah perniagaan gadis ini. Dia berniaga di gerai belakang Restoran Kassim Mustafa di Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur. Masakan dia memang sedap. Saya dah rasa malam semalam ;). Anda dapat melihat dia berlegar-legar di hadapan Restoran Kassim Mustafa dengan memakai apron dan cap sambil membawa katalog masakannya.


Saturday, July 25, 2009

Marhaban Ya Sya'ban

Alhamdulillah...kita berpeluang lagi menemui bulan Syaaban, bulan yang mulia sebelum Ramadhan Al-Mubarak.

Jika kita telusuri pelbagai sumber di alam siber ini, tentu banyak kelebihan serta amalan-amalan yang digalakkan utk dilakukan sempena bulan ini.

Mari kita jenguk sekejap:

FADHILAT SYA'BAN

sumber: http://members.tripod.com/~DarulUlum/BH2

1. Telah memberitahu kepada kami Abdullah bin Yusuf Telah memberitahu kami Malik daripada Abi An-Nadhri daripada Abi Salamah daripada Sayyidatina 'Aishah telah berkata : Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka dan baginda S.A.W berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda S.A.W banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya'ban.

( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya )

2. Telah memberitahu kami Muaz bin Fudhalah telah memberitahu kami Hisham daripada Yahya daripada Abi Salamah sesungguhnya sayyidatina 'Aishah telah memberitahunya dengan berkata : Nabi S.A.W tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya'ban, dan baginda S.A.W telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya'ban. Dan adalah baginda S.A.W bersabda : Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan ( mewajib )kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W adalah sembahyang(sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda S.A.W apabila mendirikan sembahyang maka baginda S.A.W sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.

( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya)

3. Telah memberitahu kami Sufian bin 'Uyainah daripada Ibn Abi Labid daripada Abi Salamah telah berkata : Aku telah bertanya Sayyidatina 'Aishah tentang puasa Rasulullah S.A.W maka dia menjawab : Adalah baginda S.A.W berpuasa sehingga kami berkata : Sesungguhnya baginda S.A.W telah berpuasa dan baginda s.A.W berbuka sehingga kami mengatakan : Telah baginda S.A.W berbuka. Aku tidak pernah melihat baginda S.A.W berpuasa dari sebulan sahaja lebih banyak daripada puasa baginda S.A.W pada bulan Sya'ban. Kadang-kadang baginda S.A.W berpuasa Sya'ban sebulan penuh dan kadang-kadang baginda S.A.W berpuasa sedikit daripadanya.

(Diriwayatkan oleh imam Muslim di dalam sohihnya)

4. Telah memberitahuku Muawiyah bin Soleh daripada Abdullah bin Abi Qais sesungguhnya dia telah mendengar Sayyidatina 'Aishah berkata : Bulan yang disukai oleh Rasulullah S.A.W yang mana baginda S.A.W berpuasa padanya adalah bulan Sya'ban kemudian disambung puasa pada bulan Ramadhan.

( Hadis ini sanadnya Hasan dan diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasaei, Ibn Khuzaimah, Al-Baihaqi dan Al-Baghawi)

5. Telah memberitahuku Al-Maqburi daripada Abu Hurairah daripada Usamah bin Zaid telah berkata: Aku telah berkata : Wahai Rasulullah! sesungguhnya kau telah melihat engkau berpuasa pada bulan yang mana aku tidak melihat engkau berpuasa pada bulan yang mana engkau puasa padanya. Soal Rasulullah S.A.W : Bulan apa? Aku telah berkata: Sya'ban bulan diantara Rejab dan Ramadhan yang mana melupai manusia mengenainya(diangkat kepadaNya) segala amalan semua hamba maka aku lebih suka amalanku tidak diangkat melainkan bersamanya aku berpuasa. Mka aku berkata lagi: Aku melihat engkau berpuasa pada hari Isnin dan Khamis dan tidak mengabaikan kedua-dua hari itu.Sabda baginda S.A.W : Sesungguhnya segala amalan semua hamba akan diangkat pada kedua-dua hari itu maka aku lebih suka tidak diangkat amalanku melainkan bersamanya aku berpuasa.

( Hadis ini sanadnya Hasan dan telah dikeluarkan oleh An-Nasaei, Imam Ahmad dan imam Al-Baihaqi )

Insya Allah, tahun ini saya berpeluang menyambut minggu pertama Ramadhan bersama ayah bonda di kampung setelah 10 tahun tidak berbuat demikian kerana merantau di bumi asing ini.

Friday, July 10, 2009

Mana samanya!

"Ikut agama you, sembahyang berapa kali sehari?"
"Kami orang Islam sembahyang fardhu 5 kali sehari"
"No lah....you Muslims sembahyang 6 kali sehari la. Ada satu lagi sembahyang tengah malam!"

Terdiam saya kerana line leader saya tahu tentang solat tengah malam yang memang amat digalakkan dalam Islam.

"Dey macha...tuhan kita yang sama la, cuma cara kita sembahyang yang berbeza!"

Ujaran itu terlontar dari mulut line leader saya, Mr Muthusamy semasa perbincangan perbandingan agama antara kami suatu masa di sebuah kilang air-cond di Shah alam dahulu.

Setelah bertahun-tahun berlalu, baharu saya sedari bahawa kata-kata bekas line leader saya itu sebenarnya adalah jarum-jarum dakwah halus orang-orang bukan Islam dalam usaha mengelirukan dan menyimpangkan akidah umat Islam.

Istilah yang tepatnya ialah "pluralisme agama" iaitu fahaman menyamakan semua agama/mengakui kebenaran semua agama. Sila rujuk Resolusi Muzakarah Ulamak Tahun 2006.

Jika jarum halus sebegini ditusukkan kepada generasi muda Islam dan golongan yang goyah pegangan akidahnya, barang pasti minda mereka akan terfikir begini:

"Eh...jika semua agama adalah benar, dan kita menyembah Tuhan yang sama...jadi apa salahnya saya menganut agama selain daripada Islam? Kan semua agama sama dan benar!!"

Inilah bahayanya fahaman pluralisme agama. Mana mungkin agama Islam boleh disamatarafkan dengan agama-agama lainnya. Berikut adalah dalil-dalilnya:


"Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya."
(H.R. Bukhari-Muslim)


Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam)
yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan
janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada
Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-
beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian
Itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-An`am: 153)


"Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akherat termasuk orang-orang yang rugi."
(
Q.S. Ali Imran : 85)


"Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu ni’mat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam sebagai agama bagimu."
(
Q.S. Al Maidah : 3 )

Namun yang menyedihkan ialah bagaimana jarum-jarum ini sebenarnya sudah tertancap dalam masyarakat kita. Tidak perlu pergi jauh utk melihat buktinya. Lihat sahaja sambutan Kongsi Raya yang pernah di'arusperdanakan' beberapa tahun kebelakangan.

Perayaan Kongsi Raya itu sebenarnya umpama mengiktiraf perayaan agama lain sebagai sama taraf dengan perayaan dalam agama Islam. Inilah hasil tusukan jarum halus fahaman pluralisme agama.

Contoh yang lebih hebat lagi ialah gerakan menubuhkan IFC (Interfaith Commission) yang berpucuk pangkal daripada fahaman bahawa semua agama adalah setaraf dan sama benarnya. Maka dengan demikian, IFC boleh berperanan memupuk keharmonian antara penganut agama yang berbeza ini.

Namun kita sebagai orang Islam tahu betapa gagasan IFC ini mengarut dan wajib ditentang penubuhan dan perlaksanaannya.

Adalah diharapkan post ini membuka minda para pembaca tentang halusnya fahaman pluralisme agama cuba memesongkan akidah kita. Semoga kita semua mampu pertahankan akidah kita dalam dunia akhir zaman ini.

Insya' Allah...

Wednesday, July 08, 2009

Simpati Tidak Mengenal Ideologi

Jemari ligat menekan punat pada alat kawalan jauh...mencari-cari saluran yang menarik untuk ditonton tatkala kebosanan berehat menjengah ke minda.

Tak semena-mena mata terpaut pada satu dokumentari yang memaparkan bagaimana sepasukan doktor pakar negara Cuba memberikan perkhidmatan perubatan kepada sekumpulan mangsa serangan 9/11 dahulu. Kumpulan dirawat itu adalah warganegara Amerika Syarikat.

Perseteruan antara Cuba dan USA bukan lagi satu rahsia. Kebencian pucuk pimpinan Amerika ke atas Cuba tidak pernah padam. Namun dokumentari ini secara polos menunjukkan betapa Cuba boleh mengenepikan perseteruan itu demi nilai kemanusiaan.

Memang Amerika negara yang gah kononnya memperjuangkan hak asasi manusia. Namun dokumentari itu menelanjangkan betapa menderitanya mangsa-mangsa 9/11 selepas serangan itu sendiri. Apa tidaknya...mereka terpaksa membayar kos perubatan yang tinggi, dan kemudian kadar premium insurans yang melonjak.

Atas dasar perikemanusiaan, kumpulan doktor pakar Cuba itu menjemput kumpulan mangsa 9/11 itu yang majoritinya adalah ahli bomba yang mempertaruhkan nyawa mereka menyelamatkan mangsa-mangsa 9/11 ketika itu.

Ramai ahli bomba itu mengalami komplikasi kesihatan kesan daripada usaha menyelamat mereka. Namun mereka tidak mampu membiayai perkhidmatan perubatan di Amerika yang kosnya terlalu tinggi, selain kadar bayaran insurans yang semakin meningkat.

Dokumentari itu menunjukkan bagaimana doktor pakar itu merawat mangsa-mangsa itu dengan penuh kasih sayang dan kosnya percuma! Sebuah negara yang diisytiharkan musuh oleh kepimpinan Amerika tetapi bersifat lebih penyayang daripada negara sendiri.

Di akhir rawatan, ahli-ahli bomba Cuba memberi kawat penghormatan kepada ahli bomba Amerika yang telah menerima rawatan itu. Bercucuran airmata mangsa-mangsa menerima layanan sedemikian.

Di akhir dokumentari itu, ketua jabatan bomba Cuba memberikan ucapan yang intipatinya berbunyi:

"Seluruh dunia begitu bersimpati terhadap mangsa serangan 9/11, apatah lagi kami. Pada kami, ahli bomba seluruh dunia adalah bersaudara. Dan sebagai saudara, kami ingin membantu sedaya yang mungkin."

Akhirnya saya tahu bahawa pengarah dokumentari ini ialah Micheal Moore, seorang aktivis yang begitu lantang mempersoal dasar-dasar Amerika Syarikat. Beliau secara sinis mengakhiri dokumentari ini dengan kata-kata berikut:

"We maybe the strongest nation in this world, but we should also learn from other country."
"If someone make a better pizza, we eat it. If someone sell a quality car, we use it and when someone gave a courtesy, we appreciate it"

Namun frasa akhir yang benar-benar menyentap sanubari dalam ucapan itu ialah:

"We should live in the world of 'we', not in the world of you or me"

Sunday, July 05, 2009

Musim Bertunang

Pintu dikuak sekembali ke bilik. Mata terpana pada satu kad undangan yang kemas di dalam sampulnya yang berwarna jingga terselit di bawah pintu.

Ternyata datangnya dari teman sekuliah dahulu, namun ia bukan undangan walimah. Tetapi undangan ke majlis pertunangan! Kadnya indah berwarna-warni dan tertera gambar si lelaki dan juga si wanita berduaan.

Entah dari mana ia bermula. Sejak akhir-akhir ini majlis pertunangan juga semakin ghairah diwar-warkan seolahnya ia adalah 'majlis pra-perkahwinan'. Setahu saya 'engagement ceremony' hanya diamalkan puak Kristian. Kenapa pula orang kita meniru budaya itu?

Komentar kali ini saya ingin berkongsi dalil yang menegah majlis pertunangan yang diwar-warkan sedemikian rupa. Semoga mengingatkan kita kembali ke landasan sebenar.

Nabi SAW sendiri ada mengingatkan kepada kita:

“Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan” (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama’ menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik. Ia dijelaskan demikian di dalam Hashiah al-’Adawi ‘ala Sharh Mukhtasar Khalil.

(sumber: saifulislam.com)


DISIPLIN BERTUNANG


1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh difahami kepada pemuda tadi untuk membina “rumahtangga” bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda S.A.W. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk “ Wanita mendedahkan/menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh” (Rujuk Kitab Nikah), juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya : “telah datang seorang wanita kepada Rasulullah S.A.W lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda), berkatalah wanita itu : “Adakah dikau punyai hajat kepadaku?”, maka anak perempuan Anas menyampuk : “Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya”, maka Anas menjawab : “Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi S.A.W lalu menawarkan dirinya kepada baginda S.A.W” (Sohih Al-Bukhari, 7/17).

Imam Ibn Hajar menegaskan tiada cacatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki (Fath al-Bari, 9/175) Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi S.A.W (Sohih al-Bukhari, 7/15)

2) Saudari diizinkan untuk menjemput si pemuda ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali’ lain di majlis itu, saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.

Antaranya dalilnya : “telah datang kepada Nabi S.A.W seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : “Adakah kamu telah melihatnya? : “Belum jawabnya”, Nabi menjawab : “Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)” ( Riwayat Muslim).

Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu’bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : “Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian - (perkahwinan) kamu berdua” (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma’arif ; Sohih menurut Albani)

Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)

3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, (Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa kepada yang haram. Nabi S.A.W menyatakan : “Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH” (Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami’ As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa). Al-Allamah Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan berkasih adalah Nikah (Faidhul Qadir, 5/294).

4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin’ boleh membawa fitnah dengan mudah. (Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)

5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu’ dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat), bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal’ lebih mudah.

7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu (semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-


  • Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.

  • Haram ber”dating” tanpa disertai mahram yang thiqah.

  • Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat. (sms, phone, chat, mesengger)

  • Awas fitnah masyarakat sekeliling.

  • Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.

  • Haram melihat kepada aurat masing-masing.

  • Awas daripada bertukar gambar.

  • Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.

(Sumber: Zaharuddin.net)

Tuesday, June 30, 2009

Ke mana kita nak pegi nie?

Kita tidak boleh nafikan bahawa ekonomi dunia amnya dan negara khasnya masih dalam keadaan kelam.

Laporan ekonomi di Utusan Malaysia bertarikh 26 Jun 2009 memaparkan ketenatan industri perkapalan negara. Sila baca sini.

Secara logik akal, kita boleh melihat apa situasi sebenar ekonomi sekarang. Industri perkapalan ini tenat kerana menjunamnya permintaan import dan eksport. Ini bererti sektor pembuatan kita telah mengurangkan penghantaran produk ke luar negara selain berkurangnya penghantaran produk dan bahan mentah dari luar ke negara kita.

Dalam erti kata lain, ekonomi kita lebih gawat berbanding krisis ekonomi tahun 1997. Simtom-simtom implisit boleh kita lihat cetusannya dengan pemberhentian beramai-ramai pekerja kilang, selain penawaran VSS.

H1N1 pula menambah parah. Akibatnya industri penerbangan di seluruh dunia mengalami penyusutan penumpang kerana orang ramai takut untuk keluar melancong. Natijahnya, MAS mencatatkan kerugian RM 695 juta pada suku pertama tahun ini.

Manisfestasi-manifestasi di atas sebenarnya menjanjikan tahun-tahun mendatang yang akan lebih muram dari segi transaksi perekonomiannya. Oleh yang demikian, kepada para pembaca yang budiman di luar sana, fikir-fikirkan sebijaknya sekiranya anda ingin berhenti kerja atau ingin bertukar angin dgn kerja sendiri.

Peluang utk merebut pekerjaan semakin sengit di luar sana. Keadaan ini pula telah dimanipulasi dengan halusnya oleh golongan cha ya nun alif dengan menawarkan pekerjaan yang memerlukan calon mampu berbahasa mereka, selain bahasa Inggeris.

Bayangkan bagaimanakah seorang yang belajar setakat SPM, dan baru diberhentikan dari kerja kilang...tanpa kemahiran lain, terjun bersaing di pasaran perkerjaan dalam keadaan syarat-syarat layak utk dipertimbangkan semakin ketat dan tidak munasabah?

Sekiranya tiada langkah proaktif diambil untuk menangani gerakan halus sedemikian, saya percaya kelak industri yang tinggal untuk dipelopori orang kita cuma bidang kraftangan tradisional dan kuih-muih tradisional.

Bunyinya agak ekstrim bukan? Tapi ke arah itulah orang kita akan sampai jika orang kita tidak proaktif membantu bangsa sendiri.

Ayuh! Perkemaskan saf bangsa!

Saturday, June 13, 2009

Kebangkitan Ekonomi Islam

Kegawatan ekonomi tatkala ini telah membawa satu pengajaran yg menginsafkan di kalangan pengamal sistem ekonomi kapitalis, lantas cuba mencari jalan alternatif lain dalam menangani ketidaktelusan dan kebobrokan sistem Kapitalis ini.

Dalam diam-diam, terdengar suara-suara kecil di seantero dunia yang mengakui sistem ekonomi Islam adalah jalan keluar terbaik utk menukar sistem Kapitalis yang tidak adil itu. Dan fenomena ini, kita dapat lihat di dalam negara kita sendiri.

Pembeli: "Ini loan kereta pakai bank mana?"
Penjual: "Hayya...ini loan pakai perbankan Islam maa...tidak beban lu nanti woo"

Kebangkitan sistem ekonomi Islam dan pengiktirafan secara beransur-ansur di kalangan bijak pandai ekonomi dunia sekaligus membuktikan janji Allah swt bahawa ajaran Islam sentiasa memenuhi kehendak semasa dan sentiasa bersifat syumul.

Jelaslah, akan tiba masa kejatuhan sistem Kapitalis dalam dekad ini dan sistem ekonomi Islam bakal mengambil alih.

Akan tiba waktunya sistem Kapitalis diboikot sebagaimana kita memboikot KFC dan McD yang menyokong usaha Zionist membunuh orang-orang Palestine.

Namun apabila kita memboikot sesuatu, perlulah ada alternatif lain menggantikannya. Justeru, kita boikot sistem Kapitalis, alternatifnya sistem ekonomi Islam.


Kita boikot makanan segera KFC dan McD, alternatifnya Radix Fried Chicken (RFC).


Untuk makluman, restoran RFC sudah mula berkembang di utara tanahair. Marilah kita sama-sama menyokong kebangkitan produk-produk Islam yang setaraf dgn KFC dan McD ini.
Ayam gorengnya sedap juga, layanan pun ala-ala KFC juga.



Kita doakan restoran makanan segera RFC akan terus berkembang di seluruh Malaysia dalam usaha kita memboikot dan melemahkan kekuatan ekonomi puak Zionist Laknatullah.


Sunday, May 31, 2009

Selamat Pengantin Baru

(buat teman yang menamatkan zaman bujangnya)

Bernama perkahwinan itu

Adalah ikatan setia murni
bertapak pada nawaitu suci
berdiri atas kasih tulus
berpaut di puncak munajat
bernaung di persada kerukunan

-demi keharmonian hakiki
-demi kebahagiaan abadi

Di bahu kalian sebenarnya
Terbeban amanah
-pikullah dengan tabah & gagah
Di tangan kalian sebenarnya
Tergenggam kewajipan
-corakkan dengan cermat & nikmat

Di jiwa kalian sebenarnya
Terkandung harapan
-hiasi dengan kecerdikan & kecantikan

Kelak akan kalian rasai
-senang & tenang rohani
-iman & aman nurani

"Semoga jodoh berkekalan
bahagia berpanjangan
dirahmati & diberkati Tuhan!"


- KanvasKarya, Zulkaedah 1429

Thursday, May 28, 2009

SPM: Student Pening Memikir

Akhirnya 'kegilaan' yang saya pernah tegur dalam post saya pada 30 Mac 2008 mendapat reaksi positif daripada kepemimpinan baru kabinet Malaysia hari ini.

Laporan Utusan Malaysia benar-benar menggembirakan saya.

Berikut adalah petikan daripada post saya yang terdahulu itu:

Sama ada sedar atau tidak, wabak ini sebenarnya kurang sihat. Apa tidaknya, ia akan mewujudkan generasi muda yang cuba sedaya mungkin untuk 'memecahkan rekod' kecemerlangan akademik lepas. Jika dahulu pencapaian 17A1 dalam SPM adalah yang terbaik. Kini sudah ada pula 20A1!!!

Apa gunanya kita menggalakkan pelajar kita mengambil begitu banyak subjek?? Sama ada sedar atau tidak, kita telah memberi contoh yang tidak baik kepada calon-calon SPM yang akan datang kerana barang sudah pasti mereka akan cuba pula mencipta rekod lebih tinggi lagi.

Sepatutnya Kementerian Pelajaran menghentikan 'wabak' ini. Para pelajar sepatutnya diberi panduan dalam mencari halatuju masa depan mereka dengan menggalakkan mereka hanya mengambil subjek yang berkaitan dengan sasaran kerjaya masa hadapan mereka. Penumpuan segala sumber kepada halatuju yang jelas adalah lebih baik daripada mengambil begitu banyak subjek tetapi selepas itu tidak mempunyai halatuju dalam hidup.

Syukurlah kerana kerajaan kita sudah dapat melihat kesan buruk 'kegilaan' itu.

Alhamdulillah...

Monday, May 25, 2009

Antara Rempit dan Ringgit

Sejak kebelakangan ini, kekalutan semakin menjadi-jadi berhubung kes Mat-mat motor. Hinggakan ianya kelak akan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat dalam menafsirkan definisi mat motor.

Memang benar ada jenayah yg dilaksanakan oleh manusia yang menunggang motor, namun perlukah retorik penjenamaan pula yg dimainkan di sini? Jika dahulu digelar "Mat rempit" kerana suka berlumba motor haram, kini digelar pula "samseng jalanan" kerana menjadi-jadinya kes ragut bermotor.

Esok-esok jika ada kes rompakan bank bersenjata yg dilaksanakan mat motor, apakah akan diberi gelaran "Pengganas Bermotor" pula?

Hakikatnya retorik penjenamaan ini tidak akan menyelesaikan permasalahan jenayah tersebut. Malah ia lebih mengelirukan masyarakat.

"Eh..eh...ayah pun mat rempit ye" boboy berusia 4 tahun bertanya
"Kenapa boboy kata ayah mat rempit pula?" si ayah bertanya
"Ye la, sebab ayah bawak moto kan pergi keje....mat rempit la tu"
Menggeleng kepala si ayah hendak menjawab

Persoalannya apakah tiada jalan keluar daripada kemelut jenayah yang dilakukan segelintir penunggang motorsikal ini?

Kita simpati dengan mangsa-mangsa ragut yang ada sehingga menemui maut kerana mempertahankan harta daripada diragut.

Kini pihak berkuasa aktif membuat sekatan jalan raya dengan tumpuan kepada penunggang motorsikal, namun kelihatannya ini cumalah tindakan bermusim yang pastinya akan berhenti apabila isu ragut kembali senyap nanti.

Namun itu tidak akan menyelesaikan masalah secara tuntas.

Begitu ironis, tatkala di satu pihak dilakukan langkah pencegahan jenayah, di satu pihak lagi jenayah dicanangkan dan diraikan. Filem Bohsia:Jangan Ikut Jalan Gelap misalnya adalah contoh paling dominan yang menggalakkan muda-mudi merempit tatkala ini.

Muda-mudi kita yang dah memang 'mabuk' dengan dunia keterpesongan disuapkan pula dengan filem-filem sebegini seolah-olah mengiktiraf cara hidup salah yang diamalkan mereka. Apa lagi, naik tocang la mereka....

Nauzubillah...

Sebagai jalan penyelesaian, saya bersetuju dengan pendapat Dr. MAZA:

Satu perkara yang penting untuk kita sedar bahawa peningkatan jenayah adalah disebabkan para penjenayah tidak merasa gerun dengan pemerintah atau undang-undang yang ada. Hal ini kemungkinan disebabkan dua perkara; pertama, kerajaan atau penguasa undang-undang dilihat tidak kukuh sehingga mereka merasakan peluang untuk terlepas daripada hukuman itu luas. Kedua, undang-undang yang ada belum cukup menggerunkan.

Islam apabila menetapkan ‘hudud’ ia bersifat amat sukar untuk dijatuhkan, tetapi amat menggerunkan apabila dilaksanakan. Dalam ertikata lain, hanya yang benar-benar bersalah tanpa alasan sahaja yang akan dihukum dan hukuman itu pula benar-benar memberikan pengajaran kepada penjenayah dan yang berniat melakukannya.

Ya, kaedah hukuman dan cara perlaksanaan mungkin boleh diubah berdasarkan perubahan zaman dan manusia. Namun, kerajaan mestilah kembali kepada ajaran Islam dalam menghadapi jenayah. Seminar dan perbincangan berdasarkan ajaran Islam dalam menghadapi jenayah mesti dilaksanakan secara serius. Ini adalah tanggungjawab ‘menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar’ yang berada atas bahu kerajaan. Jika tidak, jenayah akan menguasai makruf dalam negara kita.



Thursday, May 21, 2009

Penyakit Paling Bahaya

Rasulullah bersabda, “Nyaris orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kalian, seperti halnya orang-orang yang menyerbu makanan di atas piring.” Seseorang berkata, “Apakah kerana sedikitnya kami waktu itu?” Beliau bersabda, “Bahkan kalian waktu itu banyak sekali, tetapi kamu seperti buih di atas air. Dan ALLAH mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kalian serta menjangkitkan di dalam hatimu penyakit wahn.” Seseorang bertanya, “Apakah wahn itu?” Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.” (HR. Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Dawud No. 3745)

Kesimpulan yang aku boleh buat daripada tulisan Ibnul Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya yg berjudul ‘Uddatu ash-Shabirin wa Dzakhiratu asy-Syakirin (halaman 350 - 358) berkaitan wahn ini adalah:

1. Cintakan dunia memerlukan seseorang mengagungkan dunia, padahal ALLAH menghina dunia. Mengagungkan perkara yang dihinakan ALLAH merupakan dosa besar.

2. ALLAH melaknat dan membenci dunia kecuali dunia dijadikan sebagai tempat mencari keredhaan ALLAH.

3. Apabila dunia dicintai, maka dunialah yang menjadi tujuan hidup.

4. Kesilapan yang dilakukan adalah menggunakan amalan di dunia yang ALLAH cipta untuk mengecapi nikmat di dunia.

5. Sepatutnya amalan ini digunakan untuk mencapai tujuan yang kekal iaitu kebahagiaan di akhirat kelak.

6. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.” (Huud: 15 - 16).

7. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.” (al-Israa’: 18).

8. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (asy-Syuura: 20).

9. Tidakkah kita takut dengan ancaman daripada ALLAH dalam ketiga-tiga ayat di atas?

10. Orang yang mencintai dunia mendapat 3 peringkat kesusahan.

11. Pertama, kesusahan mendapatkan nikmat di dunia, iaitu dengan bersaing dengan pencinta dunia yang lain.

12. Kedua, kesusahan di alam barzakh. Menyesal kerana hilangnya dunia dan tidak dapat kembali untuk menebus amalan sebagai bekal ke alam yang seterusnya. Di sini jugalah dia mendapat siksa kubur.

13. Ketiga, seperti yang telah sedia maklum, kesusahan di hari akhirat yang kekal - rujuk kembali ancaman ALLAH yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran di atas.

14. Kepada sesiapa yang beriman kepada hari akhirat, telah nyata bahawa dunia ini hanya sementara dan akhirat adalah tempat yang kekal.

15. Maka mencintai sesuatu yang tidak kekal samalah seperti mencintai sesuatu di dalam mimpi yang pada suatu ketika kita akan terbangun dan apa yang kita cintai akan lenyap.

16. Bukanlah disuruh terus meninggalkan dunia. Di sini lah fungsi akal dapat digunakan untuk menyeimbangkan dan menyaring amalan di dunia sama ada bertepatan dengan syariat atau pun tidak.

17. Berlebihan dalam menggunakan akal juga boleh menjerumus ke neraka, seperti menggunakan akal untuk mengubah sifat-sifat ALLAH berbeza daripada sifat-sifat yang telah ditetapkanNYA yang hanya layak untuk diriNYA.

18. Di sinilah diperlukan ilmu yang hak sebagai pembatasan kepada akal.

19. Kembali kepada cinta kepada dunia, berapa ramai daripada kita menangguhkan tuntutan akhirat demi mengutamakan tuntutan dunia?

20. Sebagai contoh yang popular di Malaysia sekarang ialah ungkapan “suatu hari nanti aku akan pakai tudung juga”.

21. Padahal ilmu tentang kewajipan menutup aurat telah jelas sejak sekolah rendah lagi.

22. Apakah tuntutan dunia yang dikejar dengan tidak memakai tudung (tidak menutup aurat)?

23. Mungkin untuk kelihatan cantik.

24. Banyak yang telah terjadi kepada orang-orang yang berniat sebegini apabila ilmu telah maklum kepadanya (tetapi ingkar) maka ALLAH menyibukkan dia dengan kenikmatan dunia sehingga niat hanya tinggal niat.

25. Cuba renung maksud firman ALLAH ni: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).” (al-An’aam: 44).

26. Cuba kita fikirkan kembali di mana letaknya diri kita hari ini?

27. Amalan kita setiap hari adakah lebih condong ke duniawi atau akhirat?

28. Bilakah kali terakhir kita berusaha mencari ilmu akhirat?

29. Belum cukup bahagiakah kita di dunia?

30. Di tahap manakah keyakinan kita akan bahagianya kita di akhirat kelak?


waALLAHu’alam.


wassalam.


(Dipetik dari: Bincang.net (BMM) oleh Trew)