Saturday, August 29, 2009

Wal Asri!

Waktu adalah rakan bagi orang yang bijaksana menguruskannya, dan ia juga adalah sebagai musuh bagi orang yang berserah kepadanya. Pengurusan waktu memerlukan ketelitian dan kesedaran tentang kepentingan mengenai kedudukan seseorang dalam sesuatu perkara. Terdapat beberapa kategori manusia:

  • Orang yang hidup sekadar di pinggir percaturan hidup. Oleh itu ia tidak menyedari tentang kepentingan waktu lalu mengabaikannya.
  • Orang yang menyedari kepentingan waktu tetapi tidak berupaya mengambil faedah daripadanya.
  • Orang yang menyedari tentang nilai waktu tetapi sukar baginya untuk bertindak secara teliti.
Jadi bagi membolehkan seseorang mengurus waktu, ia mestilah menjauhi perkara-perkara yang membazir waktu dan berusaha sedaya-upaya mendapatkan peruntukan masa. Ini memandangkan waktu membekalkan ketenteraman dan kelapangan hidup di samping mendorong tindakan yang proaktif dan produktif.

Justeru, keupayaan mengurus waktu adalah keupayaan mengurus diri. Orang yang tidak mampu mengurus waktunya, ia tidak mempu mengurus sesuatu apa pun.

"Soal 'waktu' bukanlah sekadar salah satu dari persoalan kehidupan Muslim, bahkan ia merupakan permasalahan utama. Waktu adalah kehidupan. Setiap detik dan saat, malahan jam dan hari-hari adalah umur seorang insan..., kehidupan manusiawi"


"Di mana-mana sekalipun, tempat gelap pasti ada dalam kehidupan anda. Apa yang perlu anda lakukan ialah nyalakan lampu di dalam diri...kita tidak boleh mengubah waktu yang lalu dan tidak boleh melakarkan masa hadapan dengan gambaran yang kita mahu"

"Mengapa kita membunuh diri dengan rasa kecewa di atas sesuatu yang kita tidak mampu ubah. Oleh itu, janganlah anda menantikan kebahagiaan untuk senyum...tetapi senyumlah supaya anda bahagia."

Petikan ini dicedok daripada buku bertajuk:
"Nilai dan Pengurusan Waktu dalam Hidup Muslim (Medium Pengislahan Diri)"
Hasil tulisan Dr. Yusuf Al-Qardhawi,
Edaran Pustaka Al-Shafa Sdn Bhd

Sunday, August 16, 2009

Belasungkawa: Ustaz Asri Ibrahim


Semoga Allah merahmati, mengasihi dan mengampuni beliau. Beliau telah menunjukkan sikap yang baik dan sumbangan kepada dakwah.

Sesungguhnya sewaktu di usia kanak-kanak, saya begitu teruja dengan suara yang berkarisma yang terdapat dalam kaset-kaset keluaran Al-Arqam, khususnya lagu Di Pondok Kecil.

Apabila pertubuhan Al-Arqam berkubur, barulah saya mengenali suara misteri yang selama ini menghuni kaset-kaset lama zaman kanak-kanak saya.

Beliau telah menghiasi persada seni suara tanahair dengan mesej-mesej dakwah yang kontemporari bersama Kumpulan Rabbani.

Kita doakan Allah menyayanginya. “Ya Allah ampunlah dan kasihilah dia”.

Al-Fatihah...

Wednesday, August 12, 2009

Tak serius lagi ke?

Kematian demi kematian akibat penyakit ini semakin meningkat.

Namun masih belum kelihatan langkah-langkah drastik untuk mengekang penyebarannya secara lebih tegas.

Jika alasannya semata kerana tidak ingin mendatangkan panik dalam masyarakat, maka itu sesungguhnya alasan yang amat lemah kerana harga yang amat tinggi sedang dibayar oleh masyarakat kita ketika ini.

Pada awal kes kematian pertama lagi, saya berpendapat kaedah kita menanganinya adalah salah dan tersasar.

Tatkala sebuah sekolah disahkan ada kes jangkitan, murid-muridnya cuma diarahkan pulang ke rumah. Juga ketika sebuah institut pengajian tinggi mengalami kes yang sama, juga diminta pulang ke rumah. Istilahnya "kuarantin di rumah".

Namun bagaimanakah kita tahu yang mangsa jangkitan ini tidak keluar ke shopping mall atau menghadiri majlis keramaian walau diarahkan duduk di rumah sahaja?

Sepatutnya pada awal kes pertama lagi, kita dah aktifkan "Amaran Merah", yakni keadaan yang sangat berjaga-jaga. Kementerian Kesihatan sepatutnya mula aktif menyebarkan topeng muka dan cecair disikfektan di tempat-tempat awam dan pihak berkuasa memastikan orang awam memakai topeng muka ini.

Penyakit ini sekarang sudah membunuh ramai orang dan akan terus membunuh sekiranya kita terus memandang ringan dan berfikiran seolah penyakit ini tidak akan menjangkiti kita.

Marilah kita berusaha menghindari jangkitan penyakit ini. Selain itu, kita amalkan juga doa ini semoga kita mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t.

Saya akhiri celoteh kali ini dengan petikan berikut:

"Malah, pada ketika Kuantan dilanda wabak ini, masih banyak pihak yang menganjurkan pesta keraian.

"Sepatutnya, langkah berjaga-jaga perlu dilakukan termasuk memakai topeng muka dan selalu mencuci tangan. Paling menyedihkan, sekolah masih terus dibuka walaupun ramai murid yang sakit.

"Guru hanya mengarahkan mereka pulang, sedangkan langkah paling tepat yang patut diambil ialah menutup sekolah bagi menghalang wabak penyakit itu menular," katanya.

Sunday, August 09, 2009

Antara Nasi dan Nasib

Kes Satu

Di suatu tengah hari yang damai...di suatu kedai makan Melayu..

"Nie kira nie bang berapa..."
"Hmm...lima setengah!"
"Eh? Biar betul bang. Semalam saya ambik lauk yang sama seperti ini, cuma RM 4.50"
"Semalam siapa yang kira?"
"Ada seorang lagi kawan awak tu!"

Si lelaki pun masuk ke dalam dapur dan berbicara dengan seorang kawan, kemudian keluar semula.

"OK lah..bagilah RM 4.50" sambil mukanya masam mencuka
Saya pun memberi dia RM 4.50 kemudian berlalu dari kedai itu.


Kes Dua

Di suatu petang di hari yang damai...di suatu kedai makan Melayu yang lain pula..

"Kat sini boleh order nasi tak?"
"Makan sini ke tapaw?"
"Tapaw"
"Boleh...nak order apa?"
"Nasi paprik"
"Air apa nak order?"
"Air tak payah la"

Si lelaki itu pun masuk ke dalam dapurnya dan mula memasak order saya. Kelihatan majikannya, seorang wanita dalam usia 40-an memandang dengan wajah masam mencuka.

"Bang...nie order dah siap" si tukang masak meletak tapaw di atas kaunter
"Nie berapa ringgit nie?"
"Kak...berapa nie?" Si tukang masak melirik kepada wanita berusia tadi
"Lima ringgit!!" jawab si wanita tatkala saya mengeluarkan wang nilai RM 5 dari dompet sambil berharap ada baki akan dipulangkan




Penerangan

Dalam kes pertama, saya hampir setiap hari ke kedai itu untuk men'tapaw' hidangan makan tengah hari. Dan setiap kali itu, saya akan mengambil nasi dan lauk yang sama kuantiti dan jenisnya. Tidak berubah.

Namun bila terjadi 'kenaikan harga' mendadak seperti itu, sudah tentulah saya berhak utk mempersoalkannya.

Dalam kes kedua pula, saya pernah membeli nasi paprik yang sama pada hari sebelum itu. Harganya cuma RM 4. Harga itu juga tercatat pada menu gergasi yang terpampang di dinding restoran itu.

Di mana signifikannya hingga harga itu boleh 'meroket' sehingga seringgit bezanya?


Analisis

  1. Dalam kedua-dua kes, jelas sekali peniaga Melayu ini tidak konsisten dalam meletakkan harga makanan
  2. Kedua-dua peniaga jelas tidak menghargai pelanggan yang selalu berkunjung ke tempat mereka. Bandingkan dgn kedai mamak yang tahu klien biasa mereka dan apa makanan yang biasa klien mereka minta
  3. Entah mana silapnya peniaga Melayu rata-ratanya memberikan muka masam mencuka kepada pelanggan yang datang kepada mereka. Bukankah pelanggan itu adalah rezeki?
  4. Rata-rata peniaga Melayu amat pantang dengan persaingan. Dan selalunya menjadi mangsa ialah pelanggan yang datang kepada mereka. Benci dengan gerai sebelah, muka masam mencuka pun diberi kepada pelanggan yang datang
  5. Peniaga Melayu (dalam kes kedua) menganggap mereka berhak ke atas harga yang mereka letak (jika tiada gerai lain meniaga pada masa itu)

Kesimpulan

Sebagai orang Melayu Islam, kita bertanggungjawab membantu menaikkan ekonomi orang Melayu.

Namun peniaga-peniaga Melayu juga perlulah sedar bahawa sokongan orang Melayu kepada perniagaan mereka juga dipengaruhi elemen-elemen 'good marketing practices' seperti harga yang munasabah, layanan yang baik dan khidmat selepas jualan yang bertanggungjawab.

Selagi mana peniaga Melayu sambil lewa dalam menitikberatkan 'good marketing practices', maka janganlah berharap mana-mana pelanggan akan menyokong perniagaan anda.

Perniagaan makanan bukan hanya berkisar kepada kaedah penyediaan makanan yang halal, tetapi lebih mustahak lagi ialah bagaimana peniaga Melayu bersikap jujur kepada pelanggan mereka dalam soal layanan dan meletakkan harga.

Sunday, August 02, 2009

Istikharah

Dalam membuat keputusan yang besar, kita selalunya akan keliru dalam memilih antara opsyen2 yang ada, khususnya dalam soal pemilihan jodoh.

Islam menggariskan umatnya melaksanakan solat Istikharah, memohon petunjuk Allah Azza Wa Jalla.

Umum mengetahui kaifiat solat sunat ini. Namun persoalan besar yang sering ditanya kembali ialah "bagaimana hendak tahu mana satu yang Allah s.w.t pilihkan untuk saya??".

Pengajian kitab Sairus Salikin karangan Syaikh 'Abdus Shamad al-Falimbani - oleh Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki An-Nadwi pada hari ini merungkai persoalan ini. Berikut tertibnya:

  1. Solat Istikharah dibuat untuk perkara yang jelas baiknya seperti berkahwin. Jika jelas tidak baiknya, tidak perlu solat istikharah.
  2. Fasa pertama ialah solat Istikharah dalam menentukan samada pekerjaan itu perlu dilaksanakan sekarang atau tidak
  3. Kemudian, fasa kedua pula ialat solat Istikharah dalam memilih pilihan yang ada
  4. Solat Istikharah itu dibuat setelah bermusyawarah/berbincang dengan orang yang bijak pandai/berpengalaman/orang tua/keluarga
  5. Jika keputusan dari mesyuarat itu baik, maka baharulah dilaksanakan solat istikharah
  6. Semasa solat Istikharah itu kita hendaklah betul-betul meminta petunjuk dari Allah, yakni kita mengosongkan otak kita daripada mendahului pilihan Allah s.w.t
  7. Jangan kita solat istikharah dengan minda kita sudah membuat pilihan siap-siap , kemudian dalam solat itu kita cuma meminta Allah s.w.t untuk endorse/merestui pilihan kita
  8. Selepas dua rakaat solat itu, kemudian doa Istikharah itu, bagaimana kita hendak mengetahui apa yang Allah s.w.t pilihkan untuk kita?
Imam An-Nawawi r.a menyatakan "yang mana qatar pertamamu, pegang yang itu". Qatar itu ialah lintasan hati yang pertama.

Selepas kita berdoa dengan penuh khusyuk meminta : "Ya Allah...mana satu yang terbaik untukku...." tiba-tiba tupp! datang qatar yang pertama dalam hati kita. Peganglah pilihan itu.

Kemudian beberapa saat selepas itu, datang pula qatar yang kedua yang bercanggah dengan qatar yang pertama tadi.

Ambillah apa lintasan pertama yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada kita. Jangan ambil qatar yang datang selepas itu, apatah lagi qatar yang datang beberapa minit selepas itu kerana semua itu sudah bercampur dengan gangguan-gangguan syaitan.

Adapun bagi orang yang mendapat mimpi, perlu pula dilihat amalan orang itu. Jika pekerjaannya (amal ibadah) tidak baik, maka mimpi dia pun tidak betul untuk diterjemah sebagai pilihan yang Allah s.w.t pilihkan.

Namun jika pekerjaannya baik, maka mimpi dia itu akan menjadi pengukuh kepada lintasan hati yang dirasainya ketika berdoa dalam solat istikharahnya.

Wallahu 'alam