Monday, July 27, 2009

Ayam Black Pepper

Bertemu rakan-rakan lama tidak sah jika tidak bersembang sambil pekena teh tarik di jalan Doraisamy.

Sedang rancak berborak soal kereta, moto dan isu semasa sambil disulami gelak sakan dan gurauan, kami disapa oleh seorang wanita muda yang memakai cap dan apron.

"Assalamualaikum bang! Nie saya nak promote masakan-masakan cina" sambil menghulurkan satu katalog gambar-gambar masakan yang ditawarkan

"Apa kena-mengena dgn kami?!" seorang kawan menyergah wanita tadi.

"Dik...masakan nie siapa masak? Halal ke?" saya bertanya sambil membelek katalog itu

"Ermm...nie saya yang masak bang. Halal...orang melayu buat" si wanita menjawab, senyum

"Saya menyewa ruang kat belakang kedai mamak nie" tambahnya

"Saya kena keluar promote macam nie sebab gerai saya tersorok, orang ramai tak nampak"

"Ooo..begitu. Hmm...bagi saya ayam masak black pepper nie" kata saya

"Bro...support la sikit. Nie orang Melayu meniaga nie. Support la" tambah saya lagi

"Hmm...saya pun nak order sotong masak kari nie..nampak sedap nie" kawan saya turut

"Abang nak nasi sekali ke?" si gadis bertanya

"Yea...bagi 2 pinggan nasi putih yer" saya berkata lagi

Si gadis pun mengambil kembali katalognya dan terus ke dapurnya.

Sementara itu, kami pun terus bersembang sakan sambil menanti order kami siap.

Tidak berapa lama, si gadis muncul kembali membawa makanan yang kami order. Dahinya dipenuhi peluh...baharu selesai memasak.

"Dik...nie kena bayar terus ke nie?" saya bertanya

"Yea bang. Ayam black pepper nie RM 7, sotong masak kari tu RM 6. Nasi 2 pinggan RM 2"

"Hmm...pandai awak masak masakan cina nie. Belajar kat mana?" saya bertanya lagi

"Saya belajar dengan kawan saya, bang" si gadis menjawab

"Siapa bos gerai awak tu?" saya bertanya lagi

"Gerai tu saya punya...saya juga tukang masaknya" jawab si gadis, tersenyum

"Oooo...bagus tu. Orang Melayu kena berniaga. Teruskan" sambil saya membayar harga masakan itu.

"Terima kasih bang" kata si gadis sambil berlalu.

Sketsa di atas berlaku malam semalam. Apa yang saya ingin tegur ialah sikap orang Melayu kita. Kita begitu syok menghentam wanita-wanita Melayu yang sanggup menjual maruah diri di pub-pub, dangdut mahupun disko-disko.

Kita katakan wanita-wanita sedemikian tidak bermaruah, tidak bermoral. Namun pada masa yang sama, kita tidak pernah mahu menyokong wanita Melayu yang bersusah-payah berjuang mencari rezeki yang halal seperti si gadis tadi.

Dia tidak meminta sedekah, apatah lagi meminta belas kasihan. Dia berjuang mencari rezeki menerusi perniagaan berbekalkan ilmu memasaknya yang dia pernah pelajari.

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Melayu sendiri untuk memberi sokongan kepada golongan sebegini. Kepada siapa lagi golongan ini boleh berharap jika bukan kepada bangsanya sendiri.

Berbanding dengan gadis-gadis berpakaian seksi yang terkinja-kinja di kelab malam dan longlai dalam pelukan lelaki hidung belang, si gadis tadi memilih untuk membuka perniagaan sendiri walaupun bermula dengan menyewa ruang di belakang kedai mamak.

Kepada siapa lagi dia boleh berharap untuk meneruskan usahanya mencari rezeki yang halal, jika tidak mendapat sokongan daripada bangsanya sendiri?

Jangan kita cuma mudah menuding jari kepada orang Melayu yang 'menjalangkan' diri, tetapi memandang sepi golongan Melayu yang memilih jalan halal mencari rezeki.


p/s
Sokonglah perniagaan gadis ini. Dia berniaga di gerai belakang Restoran Kassim Mustafa di Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur. Masakan dia memang sedap. Saya dah rasa malam semalam ;). Anda dapat melihat dia berlegar-legar di hadapan Restoran Kassim Mustafa dengan memakai apron dan cap sambil membawa katalog masakannya.


Saturday, July 25, 2009

Marhaban Ya Sya'ban

Alhamdulillah...kita berpeluang lagi menemui bulan Syaaban, bulan yang mulia sebelum Ramadhan Al-Mubarak.

Jika kita telusuri pelbagai sumber di alam siber ini, tentu banyak kelebihan serta amalan-amalan yang digalakkan utk dilakukan sempena bulan ini.

Mari kita jenguk sekejap:

FADHILAT SYA'BAN

sumber: http://members.tripod.com/~DarulUlum/BH2

1. Telah memberitahu kepada kami Abdullah bin Yusuf Telah memberitahu kami Malik daripada Abi An-Nadhri daripada Abi Salamah daripada Sayyidatina 'Aishah telah berkata : Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka dan baginda S.A.W berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda S.A.W banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya'ban.

( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya )

2. Telah memberitahu kami Muaz bin Fudhalah telah memberitahu kami Hisham daripada Yahya daripada Abi Salamah sesungguhnya sayyidatina 'Aishah telah memberitahunya dengan berkata : Nabi S.A.W tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya'ban, dan baginda S.A.W telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya'ban. Dan adalah baginda S.A.W bersabda : Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan ( mewajib )kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W adalah sembahyang(sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda S.A.W apabila mendirikan sembahyang maka baginda S.A.W sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.

( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya)

3. Telah memberitahu kami Sufian bin 'Uyainah daripada Ibn Abi Labid daripada Abi Salamah telah berkata : Aku telah bertanya Sayyidatina 'Aishah tentang puasa Rasulullah S.A.W maka dia menjawab : Adalah baginda S.A.W berpuasa sehingga kami berkata : Sesungguhnya baginda S.A.W telah berpuasa dan baginda s.A.W berbuka sehingga kami mengatakan : Telah baginda S.A.W berbuka. Aku tidak pernah melihat baginda S.A.W berpuasa dari sebulan sahaja lebih banyak daripada puasa baginda S.A.W pada bulan Sya'ban. Kadang-kadang baginda S.A.W berpuasa Sya'ban sebulan penuh dan kadang-kadang baginda S.A.W berpuasa sedikit daripadanya.

(Diriwayatkan oleh imam Muslim di dalam sohihnya)

4. Telah memberitahuku Muawiyah bin Soleh daripada Abdullah bin Abi Qais sesungguhnya dia telah mendengar Sayyidatina 'Aishah berkata : Bulan yang disukai oleh Rasulullah S.A.W yang mana baginda S.A.W berpuasa padanya adalah bulan Sya'ban kemudian disambung puasa pada bulan Ramadhan.

( Hadis ini sanadnya Hasan dan diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasaei, Ibn Khuzaimah, Al-Baihaqi dan Al-Baghawi)

5. Telah memberitahuku Al-Maqburi daripada Abu Hurairah daripada Usamah bin Zaid telah berkata: Aku telah berkata : Wahai Rasulullah! sesungguhnya kau telah melihat engkau berpuasa pada bulan yang mana aku tidak melihat engkau berpuasa pada bulan yang mana engkau puasa padanya. Soal Rasulullah S.A.W : Bulan apa? Aku telah berkata: Sya'ban bulan diantara Rejab dan Ramadhan yang mana melupai manusia mengenainya(diangkat kepadaNya) segala amalan semua hamba maka aku lebih suka amalanku tidak diangkat melainkan bersamanya aku berpuasa. Mka aku berkata lagi: Aku melihat engkau berpuasa pada hari Isnin dan Khamis dan tidak mengabaikan kedua-dua hari itu.Sabda baginda S.A.W : Sesungguhnya segala amalan semua hamba akan diangkat pada kedua-dua hari itu maka aku lebih suka tidak diangkat amalanku melainkan bersamanya aku berpuasa.

( Hadis ini sanadnya Hasan dan telah dikeluarkan oleh An-Nasaei, Imam Ahmad dan imam Al-Baihaqi )

Insya Allah, tahun ini saya berpeluang menyambut minggu pertama Ramadhan bersama ayah bonda di kampung setelah 10 tahun tidak berbuat demikian kerana merantau di bumi asing ini.

Friday, July 10, 2009

Mana samanya!

"Ikut agama you, sembahyang berapa kali sehari?"
"Kami orang Islam sembahyang fardhu 5 kali sehari"
"No lah....you Muslims sembahyang 6 kali sehari la. Ada satu lagi sembahyang tengah malam!"

Terdiam saya kerana line leader saya tahu tentang solat tengah malam yang memang amat digalakkan dalam Islam.

"Dey macha...tuhan kita yang sama la, cuma cara kita sembahyang yang berbeza!"

Ujaran itu terlontar dari mulut line leader saya, Mr Muthusamy semasa perbincangan perbandingan agama antara kami suatu masa di sebuah kilang air-cond di Shah alam dahulu.

Setelah bertahun-tahun berlalu, baharu saya sedari bahawa kata-kata bekas line leader saya itu sebenarnya adalah jarum-jarum dakwah halus orang-orang bukan Islam dalam usaha mengelirukan dan menyimpangkan akidah umat Islam.

Istilah yang tepatnya ialah "pluralisme agama" iaitu fahaman menyamakan semua agama/mengakui kebenaran semua agama. Sila rujuk Resolusi Muzakarah Ulamak Tahun 2006.

Jika jarum halus sebegini ditusukkan kepada generasi muda Islam dan golongan yang goyah pegangan akidahnya, barang pasti minda mereka akan terfikir begini:

"Eh...jika semua agama adalah benar, dan kita menyembah Tuhan yang sama...jadi apa salahnya saya menganut agama selain daripada Islam? Kan semua agama sama dan benar!!"

Inilah bahayanya fahaman pluralisme agama. Mana mungkin agama Islam boleh disamatarafkan dengan agama-agama lainnya. Berikut adalah dalil-dalilnya:


"Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya."
(H.R. Bukhari-Muslim)


Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam)
yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan
janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada
Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-
beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian
Itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-An`am: 153)


"Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akherat termasuk orang-orang yang rugi."
(
Q.S. Ali Imran : 85)


"Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu ni’mat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam sebagai agama bagimu."
(
Q.S. Al Maidah : 3 )

Namun yang menyedihkan ialah bagaimana jarum-jarum ini sebenarnya sudah tertancap dalam masyarakat kita. Tidak perlu pergi jauh utk melihat buktinya. Lihat sahaja sambutan Kongsi Raya yang pernah di'arusperdanakan' beberapa tahun kebelakangan.

Perayaan Kongsi Raya itu sebenarnya umpama mengiktiraf perayaan agama lain sebagai sama taraf dengan perayaan dalam agama Islam. Inilah hasil tusukan jarum halus fahaman pluralisme agama.

Contoh yang lebih hebat lagi ialah gerakan menubuhkan IFC (Interfaith Commission) yang berpucuk pangkal daripada fahaman bahawa semua agama adalah setaraf dan sama benarnya. Maka dengan demikian, IFC boleh berperanan memupuk keharmonian antara penganut agama yang berbeza ini.

Namun kita sebagai orang Islam tahu betapa gagasan IFC ini mengarut dan wajib ditentang penubuhan dan perlaksanaannya.

Adalah diharapkan post ini membuka minda para pembaca tentang halusnya fahaman pluralisme agama cuba memesongkan akidah kita. Semoga kita semua mampu pertahankan akidah kita dalam dunia akhir zaman ini.

Insya' Allah...

Wednesday, July 08, 2009

Simpati Tidak Mengenal Ideologi

Jemari ligat menekan punat pada alat kawalan jauh...mencari-cari saluran yang menarik untuk ditonton tatkala kebosanan berehat menjengah ke minda.

Tak semena-mena mata terpaut pada satu dokumentari yang memaparkan bagaimana sepasukan doktor pakar negara Cuba memberikan perkhidmatan perubatan kepada sekumpulan mangsa serangan 9/11 dahulu. Kumpulan dirawat itu adalah warganegara Amerika Syarikat.

Perseteruan antara Cuba dan USA bukan lagi satu rahsia. Kebencian pucuk pimpinan Amerika ke atas Cuba tidak pernah padam. Namun dokumentari ini secara polos menunjukkan betapa Cuba boleh mengenepikan perseteruan itu demi nilai kemanusiaan.

Memang Amerika negara yang gah kononnya memperjuangkan hak asasi manusia. Namun dokumentari itu menelanjangkan betapa menderitanya mangsa-mangsa 9/11 selepas serangan itu sendiri. Apa tidaknya...mereka terpaksa membayar kos perubatan yang tinggi, dan kemudian kadar premium insurans yang melonjak.

Atas dasar perikemanusiaan, kumpulan doktor pakar Cuba itu menjemput kumpulan mangsa 9/11 itu yang majoritinya adalah ahli bomba yang mempertaruhkan nyawa mereka menyelamatkan mangsa-mangsa 9/11 ketika itu.

Ramai ahli bomba itu mengalami komplikasi kesihatan kesan daripada usaha menyelamat mereka. Namun mereka tidak mampu membiayai perkhidmatan perubatan di Amerika yang kosnya terlalu tinggi, selain kadar bayaran insurans yang semakin meningkat.

Dokumentari itu menunjukkan bagaimana doktor pakar itu merawat mangsa-mangsa itu dengan penuh kasih sayang dan kosnya percuma! Sebuah negara yang diisytiharkan musuh oleh kepimpinan Amerika tetapi bersifat lebih penyayang daripada negara sendiri.

Di akhir rawatan, ahli-ahli bomba Cuba memberi kawat penghormatan kepada ahli bomba Amerika yang telah menerima rawatan itu. Bercucuran airmata mangsa-mangsa menerima layanan sedemikian.

Di akhir dokumentari itu, ketua jabatan bomba Cuba memberikan ucapan yang intipatinya berbunyi:

"Seluruh dunia begitu bersimpati terhadap mangsa serangan 9/11, apatah lagi kami. Pada kami, ahli bomba seluruh dunia adalah bersaudara. Dan sebagai saudara, kami ingin membantu sedaya yang mungkin."

Akhirnya saya tahu bahawa pengarah dokumentari ini ialah Micheal Moore, seorang aktivis yang begitu lantang mempersoal dasar-dasar Amerika Syarikat. Beliau secara sinis mengakhiri dokumentari ini dengan kata-kata berikut:

"We maybe the strongest nation in this world, but we should also learn from other country."
"If someone make a better pizza, we eat it. If someone sell a quality car, we use it and when someone gave a courtesy, we appreciate it"

Namun frasa akhir yang benar-benar menyentap sanubari dalam ucapan itu ialah:

"We should live in the world of 'we', not in the world of you or me"

Sunday, July 05, 2009

Musim Bertunang

Pintu dikuak sekembali ke bilik. Mata terpana pada satu kad undangan yang kemas di dalam sampulnya yang berwarna jingga terselit di bawah pintu.

Ternyata datangnya dari teman sekuliah dahulu, namun ia bukan undangan walimah. Tetapi undangan ke majlis pertunangan! Kadnya indah berwarna-warni dan tertera gambar si lelaki dan juga si wanita berduaan.

Entah dari mana ia bermula. Sejak akhir-akhir ini majlis pertunangan juga semakin ghairah diwar-warkan seolahnya ia adalah 'majlis pra-perkahwinan'. Setahu saya 'engagement ceremony' hanya diamalkan puak Kristian. Kenapa pula orang kita meniru budaya itu?

Komentar kali ini saya ingin berkongsi dalil yang menegah majlis pertunangan yang diwar-warkan sedemikian rupa. Semoga mengingatkan kita kembali ke landasan sebenar.

Nabi SAW sendiri ada mengingatkan kepada kita:

“Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan” (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama’ menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik. Ia dijelaskan demikian di dalam Hashiah al-’Adawi ‘ala Sharh Mukhtasar Khalil.

(sumber: saifulislam.com)


DISIPLIN BERTUNANG


1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh difahami kepada pemuda tadi untuk membina “rumahtangga” bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda S.A.W. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk “ Wanita mendedahkan/menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh” (Rujuk Kitab Nikah), juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya : “telah datang seorang wanita kepada Rasulullah S.A.W lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda), berkatalah wanita itu : “Adakah dikau punyai hajat kepadaku?”, maka anak perempuan Anas menyampuk : “Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya”, maka Anas menjawab : “Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi S.A.W lalu menawarkan dirinya kepada baginda S.A.W” (Sohih Al-Bukhari, 7/17).

Imam Ibn Hajar menegaskan tiada cacatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki (Fath al-Bari, 9/175) Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi S.A.W (Sohih al-Bukhari, 7/15)

2) Saudari diizinkan untuk menjemput si pemuda ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali’ lain di majlis itu, saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.

Antaranya dalilnya : “telah datang kepada Nabi S.A.W seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : “Adakah kamu telah melihatnya? : “Belum jawabnya”, Nabi menjawab : “Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)” ( Riwayat Muslim).

Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu’bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : “Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian - (perkahwinan) kamu berdua” (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma’arif ; Sohih menurut Albani)

Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)

3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, (Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa kepada yang haram. Nabi S.A.W menyatakan : “Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH” (Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami’ As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa). Al-Allamah Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan berkasih adalah Nikah (Faidhul Qadir, 5/294).

4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin’ boleh membawa fitnah dengan mudah. (Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)

5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu’ dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat), bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal’ lebih mudah.

7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu (semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-


  • Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.

  • Haram ber”dating” tanpa disertai mahram yang thiqah.

  • Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat. (sms, phone, chat, mesengger)

  • Awas fitnah masyarakat sekeliling.

  • Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.

  • Haram melihat kepada aurat masing-masing.

  • Awas daripada bertukar gambar.

  • Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.

(Sumber: Zaharuddin.net)