Friday, July 10, 2009

Mana samanya!

"Ikut agama you, sembahyang berapa kali sehari?"
"Kami orang Islam sembahyang fardhu 5 kali sehari"
"No lah....you Muslims sembahyang 6 kali sehari la. Ada satu lagi sembahyang tengah malam!"

Terdiam saya kerana line leader saya tahu tentang solat tengah malam yang memang amat digalakkan dalam Islam.

"Dey macha...tuhan kita yang sama la, cuma cara kita sembahyang yang berbeza!"

Ujaran itu terlontar dari mulut line leader saya, Mr Muthusamy semasa perbincangan perbandingan agama antara kami suatu masa di sebuah kilang air-cond di Shah alam dahulu.

Setelah bertahun-tahun berlalu, baharu saya sedari bahawa kata-kata bekas line leader saya itu sebenarnya adalah jarum-jarum dakwah halus orang-orang bukan Islam dalam usaha mengelirukan dan menyimpangkan akidah umat Islam.

Istilah yang tepatnya ialah "pluralisme agama" iaitu fahaman menyamakan semua agama/mengakui kebenaran semua agama. Sila rujuk Resolusi Muzakarah Ulamak Tahun 2006.

Jika jarum halus sebegini ditusukkan kepada generasi muda Islam dan golongan yang goyah pegangan akidahnya, barang pasti minda mereka akan terfikir begini:

"Eh...jika semua agama adalah benar, dan kita menyembah Tuhan yang sama...jadi apa salahnya saya menganut agama selain daripada Islam? Kan semua agama sama dan benar!!"

Inilah bahayanya fahaman pluralisme agama. Mana mungkin agama Islam boleh disamatarafkan dengan agama-agama lainnya. Berikut adalah dalil-dalilnya:


"Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya."
(H.R. Bukhari-Muslim)


Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam)
yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan
janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada
Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-
beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian
Itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-An`am: 153)


"Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akherat termasuk orang-orang yang rugi."
(
Q.S. Ali Imran : 85)


"Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu ni’mat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam sebagai agama bagimu."
(
Q.S. Al Maidah : 3 )

Namun yang menyedihkan ialah bagaimana jarum-jarum ini sebenarnya sudah tertancap dalam masyarakat kita. Tidak perlu pergi jauh utk melihat buktinya. Lihat sahaja sambutan Kongsi Raya yang pernah di'arusperdanakan' beberapa tahun kebelakangan.

Perayaan Kongsi Raya itu sebenarnya umpama mengiktiraf perayaan agama lain sebagai sama taraf dengan perayaan dalam agama Islam. Inilah hasil tusukan jarum halus fahaman pluralisme agama.

Contoh yang lebih hebat lagi ialah gerakan menubuhkan IFC (Interfaith Commission) yang berpucuk pangkal daripada fahaman bahawa semua agama adalah setaraf dan sama benarnya. Maka dengan demikian, IFC boleh berperanan memupuk keharmonian antara penganut agama yang berbeza ini.

Namun kita sebagai orang Islam tahu betapa gagasan IFC ini mengarut dan wajib ditentang penubuhan dan perlaksanaannya.

Adalah diharapkan post ini membuka minda para pembaca tentang halusnya fahaman pluralisme agama cuba memesongkan akidah kita. Semoga kita semua mampu pertahankan akidah kita dalam dunia akhir zaman ini.

Insya' Allah...

No comments: