Sunday, July 05, 2009

Musim Bertunang

Pintu dikuak sekembali ke bilik. Mata terpana pada satu kad undangan yang kemas di dalam sampulnya yang berwarna jingga terselit di bawah pintu.

Ternyata datangnya dari teman sekuliah dahulu, namun ia bukan undangan walimah. Tetapi undangan ke majlis pertunangan! Kadnya indah berwarna-warni dan tertera gambar si lelaki dan juga si wanita berduaan.

Entah dari mana ia bermula. Sejak akhir-akhir ini majlis pertunangan juga semakin ghairah diwar-warkan seolahnya ia adalah 'majlis pra-perkahwinan'. Setahu saya 'engagement ceremony' hanya diamalkan puak Kristian. Kenapa pula orang kita meniru budaya itu?

Komentar kali ini saya ingin berkongsi dalil yang menegah majlis pertunangan yang diwar-warkan sedemikian rupa. Semoga mengingatkan kita kembali ke landasan sebenar.

Nabi SAW sendiri ada mengingatkan kepada kita:

“Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan” (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama’ menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik. Ia dijelaskan demikian di dalam Hashiah al-’Adawi ‘ala Sharh Mukhtasar Khalil.

(sumber: saifulislam.com)


DISIPLIN BERTUNANG


1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh difahami kepada pemuda tadi untuk membina “rumahtangga” bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda S.A.W. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk “ Wanita mendedahkan/menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh” (Rujuk Kitab Nikah), juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya : “telah datang seorang wanita kepada Rasulullah S.A.W lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda), berkatalah wanita itu : “Adakah dikau punyai hajat kepadaku?”, maka anak perempuan Anas menyampuk : “Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya”, maka Anas menjawab : “Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi S.A.W lalu menawarkan dirinya kepada baginda S.A.W” (Sohih Al-Bukhari, 7/17).

Imam Ibn Hajar menegaskan tiada cacatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki (Fath al-Bari, 9/175) Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi S.A.W (Sohih al-Bukhari, 7/15)

2) Saudari diizinkan untuk menjemput si pemuda ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali’ lain di majlis itu, saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.

Antaranya dalilnya : “telah datang kepada Nabi S.A.W seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : “Adakah kamu telah melihatnya? : “Belum jawabnya”, Nabi menjawab : “Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)” ( Riwayat Muslim).

Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu’bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : “Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian - (perkahwinan) kamu berdua” (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma’arif ; Sohih menurut Albani)

Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)

3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, (Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa kepada yang haram. Nabi S.A.W menyatakan : “Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH” (Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami’ As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa). Al-Allamah Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan berkasih adalah Nikah (Faidhul Qadir, 5/294).

4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin’ boleh membawa fitnah dengan mudah. (Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)

5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu’ dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat), bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal’ lebih mudah.

7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu (semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-


  • Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.

  • Haram ber”dating” tanpa disertai mahram yang thiqah.

  • Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat. (sms, phone, chat, mesengger)

  • Awas fitnah masyarakat sekeliling.

  • Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.

  • Haram melihat kepada aurat masing-masing.

  • Awas daripada bertukar gambar.

  • Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.

(Sumber: Zaharuddin.net)

No comments: