Monday, July 27, 2009

Ayam Black Pepper

Bertemu rakan-rakan lama tidak sah jika tidak bersembang sambil pekena teh tarik di jalan Doraisamy.

Sedang rancak berborak soal kereta, moto dan isu semasa sambil disulami gelak sakan dan gurauan, kami disapa oleh seorang wanita muda yang memakai cap dan apron.

"Assalamualaikum bang! Nie saya nak promote masakan-masakan cina" sambil menghulurkan satu katalog gambar-gambar masakan yang ditawarkan

"Apa kena-mengena dgn kami?!" seorang kawan menyergah wanita tadi.

"Dik...masakan nie siapa masak? Halal ke?" saya bertanya sambil membelek katalog itu

"Ermm...nie saya yang masak bang. Halal...orang melayu buat" si wanita menjawab, senyum

"Saya menyewa ruang kat belakang kedai mamak nie" tambahnya

"Saya kena keluar promote macam nie sebab gerai saya tersorok, orang ramai tak nampak"

"Ooo..begitu. Hmm...bagi saya ayam masak black pepper nie" kata saya

"Bro...support la sikit. Nie orang Melayu meniaga nie. Support la" tambah saya lagi

"Hmm...saya pun nak order sotong masak kari nie..nampak sedap nie" kawan saya turut

"Abang nak nasi sekali ke?" si gadis bertanya

"Yea...bagi 2 pinggan nasi putih yer" saya berkata lagi

Si gadis pun mengambil kembali katalognya dan terus ke dapurnya.

Sementara itu, kami pun terus bersembang sakan sambil menanti order kami siap.

Tidak berapa lama, si gadis muncul kembali membawa makanan yang kami order. Dahinya dipenuhi peluh...baharu selesai memasak.

"Dik...nie kena bayar terus ke nie?" saya bertanya

"Yea bang. Ayam black pepper nie RM 7, sotong masak kari tu RM 6. Nasi 2 pinggan RM 2"

"Hmm...pandai awak masak masakan cina nie. Belajar kat mana?" saya bertanya lagi

"Saya belajar dengan kawan saya, bang" si gadis menjawab

"Siapa bos gerai awak tu?" saya bertanya lagi

"Gerai tu saya punya...saya juga tukang masaknya" jawab si gadis, tersenyum

"Oooo...bagus tu. Orang Melayu kena berniaga. Teruskan" sambil saya membayar harga masakan itu.

"Terima kasih bang" kata si gadis sambil berlalu.

Sketsa di atas berlaku malam semalam. Apa yang saya ingin tegur ialah sikap orang Melayu kita. Kita begitu syok menghentam wanita-wanita Melayu yang sanggup menjual maruah diri di pub-pub, dangdut mahupun disko-disko.

Kita katakan wanita-wanita sedemikian tidak bermaruah, tidak bermoral. Namun pada masa yang sama, kita tidak pernah mahu menyokong wanita Melayu yang bersusah-payah berjuang mencari rezeki yang halal seperti si gadis tadi.

Dia tidak meminta sedekah, apatah lagi meminta belas kasihan. Dia berjuang mencari rezeki menerusi perniagaan berbekalkan ilmu memasaknya yang dia pernah pelajari.

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Melayu sendiri untuk memberi sokongan kepada golongan sebegini. Kepada siapa lagi golongan ini boleh berharap jika bukan kepada bangsanya sendiri.

Berbanding dengan gadis-gadis berpakaian seksi yang terkinja-kinja di kelab malam dan longlai dalam pelukan lelaki hidung belang, si gadis tadi memilih untuk membuka perniagaan sendiri walaupun bermula dengan menyewa ruang di belakang kedai mamak.

Kepada siapa lagi dia boleh berharap untuk meneruskan usahanya mencari rezeki yang halal, jika tidak mendapat sokongan daripada bangsanya sendiri?

Jangan kita cuma mudah menuding jari kepada orang Melayu yang 'menjalangkan' diri, tetapi memandang sepi golongan Melayu yang memilih jalan halal mencari rezeki.


p/s
Sokonglah perniagaan gadis ini. Dia berniaga di gerai belakang Restoran Kassim Mustafa di Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur. Masakan dia memang sedap. Saya dah rasa malam semalam ;). Anda dapat melihat dia berlegar-legar di hadapan Restoran Kassim Mustafa dengan memakai apron dan cap sambil membawa katalog masakannya.


No comments: