Sunday, August 02, 2009

Istikharah

Dalam membuat keputusan yang besar, kita selalunya akan keliru dalam memilih antara opsyen2 yang ada, khususnya dalam soal pemilihan jodoh.

Islam menggariskan umatnya melaksanakan solat Istikharah, memohon petunjuk Allah Azza Wa Jalla.

Umum mengetahui kaifiat solat sunat ini. Namun persoalan besar yang sering ditanya kembali ialah "bagaimana hendak tahu mana satu yang Allah s.w.t pilihkan untuk saya??".

Pengajian kitab Sairus Salikin karangan Syaikh 'Abdus Shamad al-Falimbani - oleh Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki An-Nadwi pada hari ini merungkai persoalan ini. Berikut tertibnya:

  1. Solat Istikharah dibuat untuk perkara yang jelas baiknya seperti berkahwin. Jika jelas tidak baiknya, tidak perlu solat istikharah.
  2. Fasa pertama ialah solat Istikharah dalam menentukan samada pekerjaan itu perlu dilaksanakan sekarang atau tidak
  3. Kemudian, fasa kedua pula ialat solat Istikharah dalam memilih pilihan yang ada
  4. Solat Istikharah itu dibuat setelah bermusyawarah/berbincang dengan orang yang bijak pandai/berpengalaman/orang tua/keluarga
  5. Jika keputusan dari mesyuarat itu baik, maka baharulah dilaksanakan solat istikharah
  6. Semasa solat Istikharah itu kita hendaklah betul-betul meminta petunjuk dari Allah, yakni kita mengosongkan otak kita daripada mendahului pilihan Allah s.w.t
  7. Jangan kita solat istikharah dengan minda kita sudah membuat pilihan siap-siap , kemudian dalam solat itu kita cuma meminta Allah s.w.t untuk endorse/merestui pilihan kita
  8. Selepas dua rakaat solat itu, kemudian doa Istikharah itu, bagaimana kita hendak mengetahui apa yang Allah s.w.t pilihkan untuk kita?
Imam An-Nawawi r.a menyatakan "yang mana qatar pertamamu, pegang yang itu". Qatar itu ialah lintasan hati yang pertama.

Selepas kita berdoa dengan penuh khusyuk meminta : "Ya Allah...mana satu yang terbaik untukku...." tiba-tiba tupp! datang qatar yang pertama dalam hati kita. Peganglah pilihan itu.

Kemudian beberapa saat selepas itu, datang pula qatar yang kedua yang bercanggah dengan qatar yang pertama tadi.

Ambillah apa lintasan pertama yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada kita. Jangan ambil qatar yang datang selepas itu, apatah lagi qatar yang datang beberapa minit selepas itu kerana semua itu sudah bercampur dengan gangguan-gangguan syaitan.

Adapun bagi orang yang mendapat mimpi, perlu pula dilihat amalan orang itu. Jika pekerjaannya (amal ibadah) tidak baik, maka mimpi dia pun tidak betul untuk diterjemah sebagai pilihan yang Allah s.w.t pilihkan.

Namun jika pekerjaannya baik, maka mimpi dia itu akan menjadi pengukuh kepada lintasan hati yang dirasainya ketika berdoa dalam solat istikharahnya.

Wallahu 'alam




No comments: