Sunday, August 09, 2009

Antara Nasi dan Nasib

Kes Satu

Di suatu tengah hari yang damai...di suatu kedai makan Melayu..

"Nie kira nie bang berapa..."
"Hmm...lima setengah!"
"Eh? Biar betul bang. Semalam saya ambik lauk yang sama seperti ini, cuma RM 4.50"
"Semalam siapa yang kira?"
"Ada seorang lagi kawan awak tu!"

Si lelaki pun masuk ke dalam dapur dan berbicara dengan seorang kawan, kemudian keluar semula.

"OK lah..bagilah RM 4.50" sambil mukanya masam mencuka
Saya pun memberi dia RM 4.50 kemudian berlalu dari kedai itu.


Kes Dua

Di suatu petang di hari yang damai...di suatu kedai makan Melayu yang lain pula..

"Kat sini boleh order nasi tak?"
"Makan sini ke tapaw?"
"Tapaw"
"Boleh...nak order apa?"
"Nasi paprik"
"Air apa nak order?"
"Air tak payah la"

Si lelaki itu pun masuk ke dalam dapurnya dan mula memasak order saya. Kelihatan majikannya, seorang wanita dalam usia 40-an memandang dengan wajah masam mencuka.

"Bang...nie order dah siap" si tukang masak meletak tapaw di atas kaunter
"Nie berapa ringgit nie?"
"Kak...berapa nie?" Si tukang masak melirik kepada wanita berusia tadi
"Lima ringgit!!" jawab si wanita tatkala saya mengeluarkan wang nilai RM 5 dari dompet sambil berharap ada baki akan dipulangkan




Penerangan

Dalam kes pertama, saya hampir setiap hari ke kedai itu untuk men'tapaw' hidangan makan tengah hari. Dan setiap kali itu, saya akan mengambil nasi dan lauk yang sama kuantiti dan jenisnya. Tidak berubah.

Namun bila terjadi 'kenaikan harga' mendadak seperti itu, sudah tentulah saya berhak utk mempersoalkannya.

Dalam kes kedua pula, saya pernah membeli nasi paprik yang sama pada hari sebelum itu. Harganya cuma RM 4. Harga itu juga tercatat pada menu gergasi yang terpampang di dinding restoran itu.

Di mana signifikannya hingga harga itu boleh 'meroket' sehingga seringgit bezanya?


Analisis

  1. Dalam kedua-dua kes, jelas sekali peniaga Melayu ini tidak konsisten dalam meletakkan harga makanan
  2. Kedua-dua peniaga jelas tidak menghargai pelanggan yang selalu berkunjung ke tempat mereka. Bandingkan dgn kedai mamak yang tahu klien biasa mereka dan apa makanan yang biasa klien mereka minta
  3. Entah mana silapnya peniaga Melayu rata-ratanya memberikan muka masam mencuka kepada pelanggan yang datang kepada mereka. Bukankah pelanggan itu adalah rezeki?
  4. Rata-rata peniaga Melayu amat pantang dengan persaingan. Dan selalunya menjadi mangsa ialah pelanggan yang datang kepada mereka. Benci dengan gerai sebelah, muka masam mencuka pun diberi kepada pelanggan yang datang
  5. Peniaga Melayu (dalam kes kedua) menganggap mereka berhak ke atas harga yang mereka letak (jika tiada gerai lain meniaga pada masa itu)

Kesimpulan

Sebagai orang Melayu Islam, kita bertanggungjawab membantu menaikkan ekonomi orang Melayu.

Namun peniaga-peniaga Melayu juga perlulah sedar bahawa sokongan orang Melayu kepada perniagaan mereka juga dipengaruhi elemen-elemen 'good marketing practices' seperti harga yang munasabah, layanan yang baik dan khidmat selepas jualan yang bertanggungjawab.

Selagi mana peniaga Melayu sambil lewa dalam menitikberatkan 'good marketing practices', maka janganlah berharap mana-mana pelanggan akan menyokong perniagaan anda.

Perniagaan makanan bukan hanya berkisar kepada kaedah penyediaan makanan yang halal, tetapi lebih mustahak lagi ialah bagaimana peniaga Melayu bersikap jujur kepada pelanggan mereka dalam soal layanan dan meletakkan harga.

No comments: