Wednesday, August 12, 2009

Tak serius lagi ke?

Kematian demi kematian akibat penyakit ini semakin meningkat.

Namun masih belum kelihatan langkah-langkah drastik untuk mengekang penyebarannya secara lebih tegas.

Jika alasannya semata kerana tidak ingin mendatangkan panik dalam masyarakat, maka itu sesungguhnya alasan yang amat lemah kerana harga yang amat tinggi sedang dibayar oleh masyarakat kita ketika ini.

Pada awal kes kematian pertama lagi, saya berpendapat kaedah kita menanganinya adalah salah dan tersasar.

Tatkala sebuah sekolah disahkan ada kes jangkitan, murid-muridnya cuma diarahkan pulang ke rumah. Juga ketika sebuah institut pengajian tinggi mengalami kes yang sama, juga diminta pulang ke rumah. Istilahnya "kuarantin di rumah".

Namun bagaimanakah kita tahu yang mangsa jangkitan ini tidak keluar ke shopping mall atau menghadiri majlis keramaian walau diarahkan duduk di rumah sahaja?

Sepatutnya pada awal kes pertama lagi, kita dah aktifkan "Amaran Merah", yakni keadaan yang sangat berjaga-jaga. Kementerian Kesihatan sepatutnya mula aktif menyebarkan topeng muka dan cecair disikfektan di tempat-tempat awam dan pihak berkuasa memastikan orang awam memakai topeng muka ini.

Penyakit ini sekarang sudah membunuh ramai orang dan akan terus membunuh sekiranya kita terus memandang ringan dan berfikiran seolah penyakit ini tidak akan menjangkiti kita.

Marilah kita berusaha menghindari jangkitan penyakit ini. Selain itu, kita amalkan juga doa ini semoga kita mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t.

Saya akhiri celoteh kali ini dengan petikan berikut:

"Malah, pada ketika Kuantan dilanda wabak ini, masih banyak pihak yang menganjurkan pesta keraian.

"Sepatutnya, langkah berjaga-jaga perlu dilakukan termasuk memakai topeng muka dan selalu mencuci tangan. Paling menyedihkan, sekolah masih terus dibuka walaupun ramai murid yang sakit.

"Guru hanya mengarahkan mereka pulang, sedangkan langkah paling tepat yang patut diambil ialah menutup sekolah bagi menghalang wabak penyakit itu menular," katanya.

No comments: