Thursday, August 18, 2011

Terkenang di masa lalu: Pilih Kasih


Tahun 1989, Darjah 4 ketika itu. Jika tak silap, nama guru kelas merangkap guru Bahasa Malaysia dan matapelajaran Alam dan Manusia ialah Cikgu Hussin.

Kalau tak silap, kelas saya masa tu bernama Kelas 4 Jingga, salah satu kelas elit yang menempatkan murid-murid yang nakal tak hinggat.

Saya masih ingat lagi. Walaupun dalam kelas yang sama, kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil yang mewakili tahap kecerdasan daya pemikiran. Ada kumpulan A, B, C, D dan E yang diguguskan berasingan meja dalam kelas yang sama. Kumpulan saya ialah A yang terdiri daripada 8 orang yang duduk bersama (lelaki dan pompuan campur-campur).

So, bila mana-mana cikgu yang masuk mengajar, kaedah mereka ialah mempertandingkan antara 4 grup itu. Kumpulan E mewakili grup murid-murid yang paling kurang cerdas daya penaakulan mereka. Maka barang pasti, setiap kali bertanding menjawab kuiz (misalnya), mereka asyik tercorot.

Mungkin kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P & P) sedemikian bertujuan membentuk daya persaingan di antara kumpulan agar kumpulan yang lemah sentiasa mempunyai semangat bersaing untuk melawan kumpulan elit yang lain.

Namun dalam erti kata hari ini, kaedah tersebut sebenarnya lebih kepada konsep diskriminasi. Murid yang kurang bijak digolongkan dengan murid yang sama kurang bijak manakala yang cerdas digabungkan dengan murid yang berdaya sama. Maka barang pasti, kumpulan yang bijak pandai sentiasa menang, sekaligus menjatuhkan motivasi kumpulan yang kurang cerdas.

Hal yang sama juga masih berlaku di hari ini di peringkat universiti sekalipun. Pelajar-pelajar yang cemerlang dalam SPM diberikan biasiswa dan tajaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara di universiti-universiti terkemuka dunia. Hasilnya, yang tinggal bertapa di universiti-universiti tempatan ialah siswa-siswa kelas kedua yang tahap kecerdasan mereka tidak mencapai standard yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa. Dengan keupayaan yang terbatas sebegini, bagaimanakah mereka boleh diharap untuk menghasilkan thesis dan kajian yang setanding rakan-rakan mereka di universiti terkemuka? Dengan mereka ini, bagaimanakah rating universiti tempatan boleh dinaikkan?

Pada hemat saya, sepatutnya pelajar-pelajar cemerlang tidak perlu dihantar ke luar negara. Kehadiran mereka di universiti-universiti luar negara yang terkemuka hanya akan memantapkan lagi rating universiti asing itu. Seeloknya pelajar-pelajar cerdas ini melanjutkan pelajaran di dalam negara sahaja di universiti-universiti tempatan, bantu pelajar-pelajar tempatan lain dan hasilkan kajian-kajian dan thesis-thesis yang berkualiti tinggi demi menaikkan rating IPT tempatan.

Kembali ke cerita Darjah 4 itu. Untuk kesekian kalinya, persaingan top three dalam kelas sejak dari Darjah Satu lagi melibatkan 3 orang sahaja, iaitu penulis, dan dua rakan rapat penulis iaitu Jamil dan Noreen. Namun aura di Darjah 4 ini telah berubah.

Bukan rahsia bahawa Cikgu Hussin ada 'anak emas' dalam kelas Darjah 4 Jingga. Tidak perlulah penulis sebutkan nama 'anak emas' cikgu ini kerana dia juga rakan penulis sejak Darjah Satu. Mamat ini disayangi Cikgu Hussin kerana mempunyai pertalian darah dengan keluarga mereka. Penulis tidak mempertikai hal yang sedemikian. Air dicincang takkan putus walaupun setakat bau-bau bacang.

Nak dijadikan cerita, setiap kali keputusan ujian bulanan mata pelajaran yang diajar Cikgu Hussin, mamat itu sentiasa teratas sedangkan kami tahu tahap kecerdasan dia sejak dari Darjah Satu lagi. Disebabkan peningkatan 'mendadak' yang dia tunjukkan, dia pun dijadikan ahli gugusan meja grup A oleh guru kelas yang juga guru yang sama, iaitu Cikgu Hussin.

Dalam setahun dalam Darjah 4, ada dua peperiksaan besar yang digelar Peperiksaan Penggal I dan Penggal II. Dalam Penggal I, mamat itu telah memintas kedudukan liga dalam kelas dan menduduki ranking pertama. Ini sememangnya mengundang rasa kurang puas hati di kalangan top three. Dan setiap kali keputusan peperiksaan keluar, kami (grup A) akan meminta mamat itu menunjukkan kertas jawapan yang mana dia dapat high score (khususnya kertas karangan Bahasa Malaysia), tetapi mamat ini enggan menunjukkannya.

Maka jelas memang ada unsur pilih kasih sedang berlaku dan ia mengkhianati kesungguhan dan ketekunan murid-murid lain yang selayaknya diadili secara jujur. Adalah tidak adil untuk melibatkan hubungan kekeluargaan di dalam bidang pendidikan, dan kami sekelas berasa ditipu hidup-hidup.

Rasa tidak puas hati bukan ditujukan kepada mamat itu, tetapi lebih kepada sikap tidak professional Cikgu Hussin yang gagal mewujudkan tembok yang memisahkan antara membantu anak saudara dan menegakkan yang hak. Pemberian markah yang tidak adil adalah suatu penindasan kepada murid-murid lain yang benar-benar berusaha.

Peperiksaan Penggal II pun menunjukkan corak yang sama....semua kerana bantuan 'tangan ghaib'. Kami sekelas terpaksa telan walaupun pahit. Namun hal yang demikian berubah ke status asal apabila kami melangkah ke Darjah 5 dan 6 kerana mamat itu sudah tiada mendapat bantuan Cikgu Hussin lagi.

Walaupun sudah berpuluh tahun berlalu, penulis masih merasa kesannya. Betapa tidak adilnya berhadapan guru yang bersifat pilih kasih....

Monday, August 15, 2011

Di mana keadilan Allah Azza Wa Jalla?

Sudah barang tentu dalam kehidupan ini kita sering bertanya di mana keadilan Allah tatkala melihat orang lain lebih bahagia dan lebih mewah dan kaya walaupun kurang berusaha berbanding dengan diri kita yang siang malam membanting tulang mencari wang setiap hari.

Barang sudah tentu juga pernah terdetik di dalam hati kecil kita untuk berasa iri atau dengki (walau sebesar zarrah) atas kelebihan orang lain (samada kawan sendiri, jiran, mahupun keluarga terdekat) apabila mereka mampu memiliki rumah yang besar, kereta yang mewah, kerja yang baik dan bergaji lumayan. Maka hati kecil kita mula mempersoal keadilan Allah s.w.t dalam menentukan rezeki kita di muka bumi ini.

Namun, pernahkan kita tertanya, adakah orang-orang yang kita lihat dilimpahi 'kebahagiaan' dan 'kemewahan' itu adalah benar-benar menikmati kebahagiaan hakiki? Boleh jadi keluarga orang itu punya rumah yang besar dan kereta yang mewah, tetapi setiap bulan mereka pening kepala memikirkan bagaimana untuk mencari wang lebih bagi menampung ansuran rumah, kereta dan pelbagai lagi hutang-hutang lain yang tertunggak, selain tidak mampu tidur malam kerana risau rumah dipecah masuk perompak yang teruja dengan 'kemewahan' yang mereka ada.

Adakah itu bahagia?

Bandingkan dengan keadaan seorang makcik yang duduk di dalam teratak beratap rumbia di tepi bendang, yang setiap hari hanya memakan nasi berlauk ikan puyu yang ditangkap di sawah, tetapi setiap hari berasa tenang kerana tidak dibelenggu masalah hutang dan sering punya waktu untuk menunaikan solat wajib, selain solat-solat sunnat dan membaca Al-Quran?

Apakah ini pula kita lihat sebagai sengsara?



Sunday, August 07, 2011

Sepetang di Jalan TAR

Apabila keperluan wujud, ia pasti mengatasi kemahuan. Timbang tara antara memiliki kaca mata hitam jenama Ray Ban (untuk memudahkan pemanduan) atau membeli sehelai dua kopiah bagi menggantikan kopiah yang lama.

Keperluan untuk kopiah itu lebih menyerlah, lantas kaki bergerak menuju Jalan TAR untuk misi mencari kopiah.

Makhluk tunggangan diparkir di atas kaki lima Semua House.

"Bro, banyak polis dan DBKL hari ni. Diorang dah start menyaman ke?"
"Takde la bang. Hari nie takkan mereka buat punya"

Hati pun senang. Lantas haiwan berenjin petrol dikunci demi ikhtiar keselamatan.

Kaki mula menapak menelusuri ratusan kanopi yang ada sambil terpaksa meranduk laluan di celah-celah ribuan manusia berbilang bangsa dan bahasa - semua bertumpu di kawasan yang sama.

Mata meliar melihat kalau-kalau ada bazar yang menjual kopiah. Namun yang jelas, songkok hitam yang segak itu yang menjadi barang taruhan peniaga. Boleh dikira dengan jari bilangan gerai yang menjual songkok. Tetapi yang menjual baju kurung, telekung, tudung bawal, seluar jeans, kasut, capal, baju melayu, butang baju melayu dan yang sinonim dengan Aidil Fitri ada beratus-ratus bilangannya.


Letih juga kaki membantu sang mata mencari. Kopiah putih memang ada. Tapi saiznya pula tak ada. Sempat jugak lah bertawaf dua kali melalui lorong yang sama, sambil sang telinga menangkap beberapa dialog yang rasanya pasti berulang-ulang disebut oleh orang yang berbeza di Jalan TAR saban tahun:

"You, ok tak I pakai tudung macam nie?!"
"Bang, bang! Mana mak? Tadi ada kat belakang kita kan?"
"Awin, please dont waste my time okay! Make your choice now!"
"Abah! Carilah adik!"
"Meh cinggah bang. meh cinggah kak. Selipar saya jual memang cantik memang padan, pakai jalan kaki berjam-jam pun takkan melecet. Meh masuk tengok kejap ye. Tak try tak tau punya"

"Mah, mana hilang anak kita nie??"



Kaki pun terus menuju ke Mydin dengan harapan ada kopiah yang sesuai di dalam. Penat mencari, jumpalah rak yang memperagakan kopiah. Tapi bukan daripada jenis yang saya suka. Belek-belek tercatat "Made in Bangladesh". Patutlah mat bangla selalu pakai kopiah jenis tu.

Mydin pun ditinggalkan dengan rasa agak hampa. Namun di kaunter pembayaran sempat pula tangan mencapai bes minuman Sunquick perisa Teh Ais Limau (saja nak rasa perisa nie best ke tak).

Kaki menapak ke moto, start enjin dan terus pulang ke rumah kerana jam sudah menunjukkan lagi 10 minit waktu Asar.

Friday, August 05, 2011

Terkenang Di Masa Lalu: Minyak Attar

Salam Ramadhan kepada semua para pembaca. Alhamdulillah....kita masih diberi waktu untuk bertemu bulan yang penuh keberkatan ini. Semoga meningkatnya usia kita semakin mematangkan kita dalam menghargai dan benar-benar menggunakan kesempatan di bulan yang Mubarak ini untuk mencari bonus serta tawaran terlalu istimewa yang Allah s.w.t telah tawarkan.


Sewaktu tingkatan 3 dahulu, ada seorang cikgu bernama Cikgu Ghaffar. Beliau mengajar subjek Matematik. Cara beliau mengajar memang inspirational kerana beliau tak pernah marah kat murid-muridnya walaupun seteruk mana perangai sewaktu beliau mengajar.

Cikgu Ghaffar memanggil murid-muridnya dengan gelaran 'anak-anak'. Saya teruja dengan kaedah dan kesabaran beliau...menjadikan saya minat belajar subjek Matematik, selain menjadikan beliau sumber inspirasi.

Salah satu ciri Cikgu Ghaffar ialah trademark memakai haruman minyak Attar setiap hari, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Beliau memakai sejenis minyak Attar yang berwarna hijau. Saya tak ingat nama minyak tu. Tapi jenis murah la...botol kecil harga RM 5 dapat 4 botol. Tapi harumannya memang sedap...menambah daya karisma Cikgu Ghaffar bila mengajar.

Saya pun masa tu terikut-ikut mencalit minyak Attar yang sama setiap kali ke sekolah. Hahaha. Sampai kawan-kawan sekelas perasan yang haruman saya pakai sama dengan Cikgu Ghaffar. Saya pun dicap anak emas cikgu. Hahaha..

Itu cerita sewaktu tingkatan 3. Sejak itu, saya terus amalkan pemakaian minyak Attar sehingga ke universiti. Ketika itu saya tidak mengenali 'Eau de Parfume' atau 'Eau de Toilet' yang berharga ratusan ringgit itu. Saya hanya amalkan minyak Attar, legasi Cikgu Ghaffar yang pada saya adalah sunnah Nabi s.a.w.

Di universiti, saya memakai minyak Attar setiap kali ke kuliah. Sehinggalah pada suatu hari, rakan sebilik saya berkata:

Solihin: "Wei, apa kelas la ko pakai minyak Attar nie pegi kuliah, dowh!"
Saya : "Apa salahnya? Kan wangi nie...best je aku rasa"
Solihin: "Memang la harum dowh. Tapi awek-awek tak suka bau minyak Attar"
Saya : "Yang penting wangi...hahaha"
Solihin: "Patut la takde awek sangkut dengan engko ni. Seram diorang dowh bau minyak Attar!"
Saya : "Pasal apa lak?"
Solihin : "Yer la. Minyak ni orang pakai masa nak solat Jumaat je. Pening la awek kalau hari-hari bau yang sama, dowh"
Saya : "Yer ke? Aku ingat asal wangi je, orang suka la"
Solihin : "Memang la wangi-wangi nie pompuan suka. Tapi bukan minyak Attar!"
Saya : "Minyak wangi mana lak ko maksudkan nie?"
Solihin : "Ler...ko try la pakai Polo ke, Georgio Armani ke, Calvin Klien ke...baru la sempoi"

Sejak perbualan itu, saya try la pakai jenama-jenama yang disarankan itu. Tapi disebabkan time tu masih student berdompet kurus, saya beli la 'Eau de Parfume' jenama Polo Sport yang harga RM 10 sebotol kat pasar malam. Wangian dia memang sedap...manis je...tapi tak tahan lama la. Al maklumlah...barang murah.

Niat pakai tu bukan nak cari awek, cuma untuk bina keyakinan diri selain cuba mengikut arus semasa. Hahahaha...




Kini, trend telah berubah. Minyak Attar yang sering dikaitkan dengan 'pak-pak masjid' menjadi kegilaan ramai kerana inovasi yang 'mengahwinkan' haruman jenama antarabangsa dengan minyak Attar dan melahirkan jenama-jenama seperti One Drop Parfume, Egyption Portion, Muniff Hijjaz Perfume dan macam-macam lagi.