Thursday, August 18, 2011

Terkenang di masa lalu: Pilih Kasih


Tahun 1989, Darjah 4 ketika itu. Jika tak silap, nama guru kelas merangkap guru Bahasa Malaysia dan matapelajaran Alam dan Manusia ialah Cikgu Hussin.

Kalau tak silap, kelas saya masa tu bernama Kelas 4 Jingga, salah satu kelas elit yang menempatkan murid-murid yang nakal tak hinggat.

Saya masih ingat lagi. Walaupun dalam kelas yang sama, kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil yang mewakili tahap kecerdasan daya pemikiran. Ada kumpulan A, B, C, D dan E yang diguguskan berasingan meja dalam kelas yang sama. Kumpulan saya ialah A yang terdiri daripada 8 orang yang duduk bersama (lelaki dan pompuan campur-campur).

So, bila mana-mana cikgu yang masuk mengajar, kaedah mereka ialah mempertandingkan antara 4 grup itu. Kumpulan E mewakili grup murid-murid yang paling kurang cerdas daya penaakulan mereka. Maka barang pasti, setiap kali bertanding menjawab kuiz (misalnya), mereka asyik tercorot.

Mungkin kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P & P) sedemikian bertujuan membentuk daya persaingan di antara kumpulan agar kumpulan yang lemah sentiasa mempunyai semangat bersaing untuk melawan kumpulan elit yang lain.

Namun dalam erti kata hari ini, kaedah tersebut sebenarnya lebih kepada konsep diskriminasi. Murid yang kurang bijak digolongkan dengan murid yang sama kurang bijak manakala yang cerdas digabungkan dengan murid yang berdaya sama. Maka barang pasti, kumpulan yang bijak pandai sentiasa menang, sekaligus menjatuhkan motivasi kumpulan yang kurang cerdas.

Hal yang sama juga masih berlaku di hari ini di peringkat universiti sekalipun. Pelajar-pelajar yang cemerlang dalam SPM diberikan biasiswa dan tajaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara di universiti-universiti terkemuka dunia. Hasilnya, yang tinggal bertapa di universiti-universiti tempatan ialah siswa-siswa kelas kedua yang tahap kecerdasan mereka tidak mencapai standard yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa. Dengan keupayaan yang terbatas sebegini, bagaimanakah mereka boleh diharap untuk menghasilkan thesis dan kajian yang setanding rakan-rakan mereka di universiti terkemuka? Dengan mereka ini, bagaimanakah rating universiti tempatan boleh dinaikkan?

Pada hemat saya, sepatutnya pelajar-pelajar cemerlang tidak perlu dihantar ke luar negara. Kehadiran mereka di universiti-universiti luar negara yang terkemuka hanya akan memantapkan lagi rating universiti asing itu. Seeloknya pelajar-pelajar cerdas ini melanjutkan pelajaran di dalam negara sahaja di universiti-universiti tempatan, bantu pelajar-pelajar tempatan lain dan hasilkan kajian-kajian dan thesis-thesis yang berkualiti tinggi demi menaikkan rating IPT tempatan.

Kembali ke cerita Darjah 4 itu. Untuk kesekian kalinya, persaingan top three dalam kelas sejak dari Darjah Satu lagi melibatkan 3 orang sahaja, iaitu penulis, dan dua rakan rapat penulis iaitu Jamil dan Noreen. Namun aura di Darjah 4 ini telah berubah.

Bukan rahsia bahawa Cikgu Hussin ada 'anak emas' dalam kelas Darjah 4 Jingga. Tidak perlulah penulis sebutkan nama 'anak emas' cikgu ini kerana dia juga rakan penulis sejak Darjah Satu. Mamat ini disayangi Cikgu Hussin kerana mempunyai pertalian darah dengan keluarga mereka. Penulis tidak mempertikai hal yang sedemikian. Air dicincang takkan putus walaupun setakat bau-bau bacang.

Nak dijadikan cerita, setiap kali keputusan ujian bulanan mata pelajaran yang diajar Cikgu Hussin, mamat itu sentiasa teratas sedangkan kami tahu tahap kecerdasan dia sejak dari Darjah Satu lagi. Disebabkan peningkatan 'mendadak' yang dia tunjukkan, dia pun dijadikan ahli gugusan meja grup A oleh guru kelas yang juga guru yang sama, iaitu Cikgu Hussin.

Dalam setahun dalam Darjah 4, ada dua peperiksaan besar yang digelar Peperiksaan Penggal I dan Penggal II. Dalam Penggal I, mamat itu telah memintas kedudukan liga dalam kelas dan menduduki ranking pertama. Ini sememangnya mengundang rasa kurang puas hati di kalangan top three. Dan setiap kali keputusan peperiksaan keluar, kami (grup A) akan meminta mamat itu menunjukkan kertas jawapan yang mana dia dapat high score (khususnya kertas karangan Bahasa Malaysia), tetapi mamat ini enggan menunjukkannya.

Maka jelas memang ada unsur pilih kasih sedang berlaku dan ia mengkhianati kesungguhan dan ketekunan murid-murid lain yang selayaknya diadili secara jujur. Adalah tidak adil untuk melibatkan hubungan kekeluargaan di dalam bidang pendidikan, dan kami sekelas berasa ditipu hidup-hidup.

Rasa tidak puas hati bukan ditujukan kepada mamat itu, tetapi lebih kepada sikap tidak professional Cikgu Hussin yang gagal mewujudkan tembok yang memisahkan antara membantu anak saudara dan menegakkan yang hak. Pemberian markah yang tidak adil adalah suatu penindasan kepada murid-murid lain yang benar-benar berusaha.

Peperiksaan Penggal II pun menunjukkan corak yang sama....semua kerana bantuan 'tangan ghaib'. Kami sekelas terpaksa telan walaupun pahit. Namun hal yang demikian berubah ke status asal apabila kami melangkah ke Darjah 5 dan 6 kerana mamat itu sudah tiada mendapat bantuan Cikgu Hussin lagi.

Walaupun sudah berpuluh tahun berlalu, penulis masih merasa kesannya. Betapa tidak adilnya berhadapan guru yang bersifat pilih kasih....

No comments: