Sunday, August 07, 2011

Sepetang di Jalan TAR

Apabila keperluan wujud, ia pasti mengatasi kemahuan. Timbang tara antara memiliki kaca mata hitam jenama Ray Ban (untuk memudahkan pemanduan) atau membeli sehelai dua kopiah bagi menggantikan kopiah yang lama.

Keperluan untuk kopiah itu lebih menyerlah, lantas kaki bergerak menuju Jalan TAR untuk misi mencari kopiah.

Makhluk tunggangan diparkir di atas kaki lima Semua House.

"Bro, banyak polis dan DBKL hari ni. Diorang dah start menyaman ke?"
"Takde la bang. Hari nie takkan mereka buat punya"

Hati pun senang. Lantas haiwan berenjin petrol dikunci demi ikhtiar keselamatan.

Kaki mula menapak menelusuri ratusan kanopi yang ada sambil terpaksa meranduk laluan di celah-celah ribuan manusia berbilang bangsa dan bahasa - semua bertumpu di kawasan yang sama.

Mata meliar melihat kalau-kalau ada bazar yang menjual kopiah. Namun yang jelas, songkok hitam yang segak itu yang menjadi barang taruhan peniaga. Boleh dikira dengan jari bilangan gerai yang menjual songkok. Tetapi yang menjual baju kurung, telekung, tudung bawal, seluar jeans, kasut, capal, baju melayu, butang baju melayu dan yang sinonim dengan Aidil Fitri ada beratus-ratus bilangannya.


Letih juga kaki membantu sang mata mencari. Kopiah putih memang ada. Tapi saiznya pula tak ada. Sempat jugak lah bertawaf dua kali melalui lorong yang sama, sambil sang telinga menangkap beberapa dialog yang rasanya pasti berulang-ulang disebut oleh orang yang berbeza di Jalan TAR saban tahun:

"You, ok tak I pakai tudung macam nie?!"
"Bang, bang! Mana mak? Tadi ada kat belakang kita kan?"
"Awin, please dont waste my time okay! Make your choice now!"
"Abah! Carilah adik!"
"Meh cinggah bang. meh cinggah kak. Selipar saya jual memang cantik memang padan, pakai jalan kaki berjam-jam pun takkan melecet. Meh masuk tengok kejap ye. Tak try tak tau punya"

"Mah, mana hilang anak kita nie??"



Kaki pun terus menuju ke Mydin dengan harapan ada kopiah yang sesuai di dalam. Penat mencari, jumpalah rak yang memperagakan kopiah. Tapi bukan daripada jenis yang saya suka. Belek-belek tercatat "Made in Bangladesh". Patutlah mat bangla selalu pakai kopiah jenis tu.

Mydin pun ditinggalkan dengan rasa agak hampa. Namun di kaunter pembayaran sempat pula tangan mencapai bes minuman Sunquick perisa Teh Ais Limau (saja nak rasa perisa nie best ke tak).

Kaki menapak ke moto, start enjin dan terus pulang ke rumah kerana jam sudah menunjukkan lagi 10 minit waktu Asar.

No comments: