Thursday, May 21, 2009

Penyakit Paling Bahaya

Rasulullah bersabda, “Nyaris orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kalian, seperti halnya orang-orang yang menyerbu makanan di atas piring.” Seseorang berkata, “Apakah kerana sedikitnya kami waktu itu?” Beliau bersabda, “Bahkan kalian waktu itu banyak sekali, tetapi kamu seperti buih di atas air. Dan ALLAH mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kalian serta menjangkitkan di dalam hatimu penyakit wahn.” Seseorang bertanya, “Apakah wahn itu?” Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.” (HR. Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Dawud No. 3745)

Kesimpulan yang aku boleh buat daripada tulisan Ibnul Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya yg berjudul ‘Uddatu ash-Shabirin wa Dzakhiratu asy-Syakirin (halaman 350 - 358) berkaitan wahn ini adalah:

1. Cintakan dunia memerlukan seseorang mengagungkan dunia, padahal ALLAH menghina dunia. Mengagungkan perkara yang dihinakan ALLAH merupakan dosa besar.

2. ALLAH melaknat dan membenci dunia kecuali dunia dijadikan sebagai tempat mencari keredhaan ALLAH.

3. Apabila dunia dicintai, maka dunialah yang menjadi tujuan hidup.

4. Kesilapan yang dilakukan adalah menggunakan amalan di dunia yang ALLAH cipta untuk mengecapi nikmat di dunia.

5. Sepatutnya amalan ini digunakan untuk mencapai tujuan yang kekal iaitu kebahagiaan di akhirat kelak.

6. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.” (Huud: 15 - 16).

7. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.” (al-Israa’: 18).

8. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (asy-Syuura: 20).

9. Tidakkah kita takut dengan ancaman daripada ALLAH dalam ketiga-tiga ayat di atas?

10. Orang yang mencintai dunia mendapat 3 peringkat kesusahan.

11. Pertama, kesusahan mendapatkan nikmat di dunia, iaitu dengan bersaing dengan pencinta dunia yang lain.

12. Kedua, kesusahan di alam barzakh. Menyesal kerana hilangnya dunia dan tidak dapat kembali untuk menebus amalan sebagai bekal ke alam yang seterusnya. Di sini jugalah dia mendapat siksa kubur.

13. Ketiga, seperti yang telah sedia maklum, kesusahan di hari akhirat yang kekal - rujuk kembali ancaman ALLAH yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran di atas.

14. Kepada sesiapa yang beriman kepada hari akhirat, telah nyata bahawa dunia ini hanya sementara dan akhirat adalah tempat yang kekal.

15. Maka mencintai sesuatu yang tidak kekal samalah seperti mencintai sesuatu di dalam mimpi yang pada suatu ketika kita akan terbangun dan apa yang kita cintai akan lenyap.

16. Bukanlah disuruh terus meninggalkan dunia. Di sini lah fungsi akal dapat digunakan untuk menyeimbangkan dan menyaring amalan di dunia sama ada bertepatan dengan syariat atau pun tidak.

17. Berlebihan dalam menggunakan akal juga boleh menjerumus ke neraka, seperti menggunakan akal untuk mengubah sifat-sifat ALLAH berbeza daripada sifat-sifat yang telah ditetapkanNYA yang hanya layak untuk diriNYA.

18. Di sinilah diperlukan ilmu yang hak sebagai pembatasan kepada akal.

19. Kembali kepada cinta kepada dunia, berapa ramai daripada kita menangguhkan tuntutan akhirat demi mengutamakan tuntutan dunia?

20. Sebagai contoh yang popular di Malaysia sekarang ialah ungkapan “suatu hari nanti aku akan pakai tudung juga”.

21. Padahal ilmu tentang kewajipan menutup aurat telah jelas sejak sekolah rendah lagi.

22. Apakah tuntutan dunia yang dikejar dengan tidak memakai tudung (tidak menutup aurat)?

23. Mungkin untuk kelihatan cantik.

24. Banyak yang telah terjadi kepada orang-orang yang berniat sebegini apabila ilmu telah maklum kepadanya (tetapi ingkar) maka ALLAH menyibukkan dia dengan kenikmatan dunia sehingga niat hanya tinggal niat.

25. Cuba renung maksud firman ALLAH ni: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).” (al-An’aam: 44).

26. Cuba kita fikirkan kembali di mana letaknya diri kita hari ini?

27. Amalan kita setiap hari adakah lebih condong ke duniawi atau akhirat?

28. Bilakah kali terakhir kita berusaha mencari ilmu akhirat?

29. Belum cukup bahagiakah kita di dunia?

30. Di tahap manakah keyakinan kita akan bahagianya kita di akhirat kelak?


waALLAHu’alam.


wassalam.


(Dipetik dari: Bincang.net (BMM) oleh Trew)

No comments: