Monday, May 04, 2009

100 yang tragis...

Tahun 1988...masa tu saya di Darjah 3. Kelas 3 Merah namanya. Guru kelas saya bernama Cikgu Hamidah. Dia mengajar matapelajaran Bahasa Malaysia dan juga matapelajaran Ilmu Hisab (matematik la).

Masa tu kelas 3 Merah nie memang famous dikenali sebagai kelas yang paling bising dan huru-hara. Apa tidaknya....murid-muridnya terdiri dari kalangan manusia-manusia yang hyper-active, termasuk saya sendiri.

Pantang takde cikgu masuk kelas, suasana dalam bilik darjah secara automatis bertukar menjadi pasar. Yang lelaki ada yang main bola sepak dalam kelas la, main daun terup la, main duit syiling la. Macam-macam peel. Yang perempuan lak bermain batu seremban la, salin lirik lagu la, menyanyi la. Ada juga yang main spirit-spirit (syiling diletak di atas kertas, lalu diseru nama jin tertentu utk menjawab soalan para pemain). Macam-macam perangai ada.

Saya lak juga tidak kurang nakalnya. Permainan saya dalam kelas lebih advanced. Saya dengan kawan rapat saya masa tu, Salleh Imdani, Fadli dan Jay suka bermain 'snooker duit syiling'. Kami pakai pensel atau kayu panjang sikit sebagai kayu snooker. Cue ball (ibu bola) pula adalah duit 50 sen. Bola dalam rack lak adalah himpunan duit 10 sen.

Pada setiap penjuru meja kelas yang dijadikan meja snooker itu, kami lukis garisan sebagai tanda lubang (pocket) seperti pada meja snooker sebenar. Peraturannya sama macam main snooker betul. Mana-mana duii syiling yang masuk ke lubang di penjuru menjadi milik si pemain yang memasukkannya.

Fuhh...memang berhantu betul main game tu. Memang asyik sekali. Masa tu la gelak sakan berdekah-dekah utk mensaiko pemain lawan ketika dia hendak memulakan pukulan pada cue ball.

Namun yang saya tak pernah lupa ialah insiden pada suatu hari. Masa tu, cikgu lewat masuk kelas....apa lagi...kami pun transform kelas menjadi pasar malam dgn aktiviti2 tidak berfaedah seperti disebutkan di atas.

Sedang kami sekelas asyik membuat onar, Cikgu Hamidah datang masuk kelas.

Praapp...serta merta kami susun balik meja ke tempat asal, dan duduk balik ke lokasi masing-masing. Masa tu waktu matapelajaran Matematik.

Cikgu Hamidah masuk kelas lalu duduk di kerusi guru di hadapan kelas yang ada meja besar, khas utk guru yang mengajar.

"Haa....Soset, Nurin mari sini...urut bahu cikgu nie"
"Yang lain tu buka muka surat 47...buat soalan tu semua sampai habis"

Sambil diurut oleh dua murid perempuan tu, Cikgu Hamidah pun buka kotak makeup miliknya. Sambil bercermin dgn itu, dia men'touch up' bedak ke pipi dia.

Ketika ini, kawan baik saya Jay tidak membawa buku teks berkenaan. Justeru dia pun menikus dengan tunduk sambil menekup mukanya di atas meja.

Cikgu Hamidah nampak Jay tidak buat apa yang disuruh.

"Haa...Jay!! Kenapa tak buka buku? Nie mesti tak bawa buku nie. Pemalas.!! Buku simpan di rumah....siapa nak baca tu? Mak ayah kamu ke?"

"Keluar ke depan Jay!!" Cikgu Hamidah dah marah.

Jay pun dengan longlai berjalan ke hadapan papan hijau.

"Sekarang buat pumping 100 kali! Murid-murid lain kira...selagi tak cukup jangan kamu duduk Jay!!"

Pumping yang dimaksudkan di sini ialah tok ketampi seperti dalam filem Labu Labi, karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tu.

Jay pun mula pumping.

"Satu! Dua! Tiga! Empat!" Jay buat pumping dengan laju kerana dia juga berang kpd cikgu tu.

Namun apabila masuk kiraan 50, saya dapat lihat Jay keletihan dan beberapa kali berhenti sejenak ketika mencangkung.

Saya dapat melihat matanya naik merah, sebab amarah dan menahan penat. Kami sekelas yang mengira kiraan pumping dia juga amat simpati.

"Kenapa berhenti tu Jay? Belum sampai 100 tu" Cikgu Hamidah menyindir.

Serta merta Jay bersemangat kembali dan meneruskan pumping itu. Namun apabila mencecah angka 89, Jay dah mula berdiri tidak stabil ketika membuat pumping itu. Amat ketara dia terlalu penat ketika itu. Kami sedih dan simpati melihat dia.

Jay gagahkan juga sehingga ke angka 95. Masa tu saya perhatikan Jay sudah kehabisan tenaga. Sehingga nak berdiri dari mencangkung kelihatan begitu berat sekali. Peluhnya sudah membasahi kuyup baju dan seluar sekolahnya.

Apabila dia mencapai angka seratus, dia cuba melangkah kembali ke kerusi dia....namun langkahnya longlai dan terhoyong hayang. Akhirnya dia rebah ke lantai kerana pening kepala dan terlalu letih.

"Ala...baru 100 dah pengsan. Lain kali malas lagi.." Cikgu tu bersuara lagi.

Saya dan kawan lelaki lain bingkas bangun untuk membantu Jay yg rebah. Kasihan dia. Masa tu, dia meminta air kerana dahaga sangat. Mujur ada murid perempuan yang sudi memberi botol air untuk dia.

Ternyata hari itu adalah hari malang buat Jay, sehingga diperlakukan sedemikian oleh cikgu yang tiada perasaan kemanusiaan.

Sejak peristiwa itu, kami sekelas memang anti dengan cikgu itu.

Jay dan Saleh adalah antara rakan saya yg berjaya meneruskan pelajaran seiring dengan saya sehingga ke Tingkatan 5. Namun sejak SPM tamat, kami sudah lost contact.

Doa saya agar Saleh, Jay, Fadhli dan juga rakan seangkatan saya semasa darjah 3 Merah dikurniakan kehidupan yang bahagia.

No comments: