Wednesday, April 29, 2009

Rak Botol Jamban

Kisah ini adalah imbauan sewaktu di tingkatan dua dahulu..tahun 1993. Masa itu saya di kelas Tingkatan 2 Zamrud (kelas elit la gak).

Masa tu ada mata pelajaran Kemahiran Hidup. Cikgu yang mengajarnya bernama Cikgu Norazmi Noordin, berasal dari Negeri Sembilan. Orangnya tegas...berpadananlah dengan tugas guru disiplin yang disandangnya. Isterinya juga mengajar di sekolah yang sama, juga berasal dari Negori. Tapi saya dah lupa lak namanya. Takpelah. Dia mengajar subjek Sejarah di kelas saya.

Masa tu kelas mata pelajaran Kemahiran Hidup nie memang antara subjek yang menarik minat saya. Yelah....kami diajar buat kerja kayu (bertukang la, dalam bahasa kasarnya), memasak makanan, menjahit, projek elektronik dan sedikit kerja-kerja civil engineering.

Terutama bila buat projek-projek elektronik tu seperti projek litar siren. Fuhh..punyalah seronok bila projek berjaya dan siren tu berbunyi. Rasa macam dah cipta penemuan baru dalam bidang elektronik yang layak dianugerahkan anugerah Nobel. Hehehe...masa tu terbayang la nak jadi saintis la....teknokrat la...memang berangan habiss... ;)

Namun yang saya tidak boleh lupa ialah projek kerja kayu ketika itu. Masa tu, Cikgu Norazmi meminta kami menyiapkan projek Rak Botol. Kami sekelas dibahagikan kepada tag team, yakni satu projek dua orang satu team.

Saya dipasangkan dengan member kamcing saya masa tu bernama Rahiman. Memang kawan terbaik saya pernah ada. Tapi yang tak bestnya, kami tak mahir seni pertukangan kayu ini. Huhuhu

Untuk menjadikan projek itu lebih mencabar, Cikgu Norazmi telah mengumumkan di dalam perhimpunan mingguan bahawa projek Rak Botol itu menjadi pertandingan antara semua kelas tingkatan 2 masa tu. Kalau tak silap, ada enam kelas semuanya.

Huh...memang persaingan telah dimulakan. Masa tu yang paling terer kerja kayu nie ada dua orang sahaja, iaitu kawan sekelas saya bernama Dahlan, dan seorang lagi bernama Abdul Nakil dari kelas lain.

Masa tu, jika dapat team dengan salah seorang dari diorang nie, confirm markah penuh untuk kerja kayu. Huhuhu...tapi dah nasib saya digandingkan dengan member saya, Rahiman yang dua-dua tak reti keje kayu sangat.

Menjelang hari terakhir untuk submit projek Rak Botol tu, saya dah dapat melihat hasil kerja-kerja kayu pasukan-pasukan lain. Memang hebat-hebat dan halus buatannya. Projek Rak Botol pasukan Dahlan memang berseni...diukir dengan bentuk kepala kerbau balar. Fuuhhh...memang cair siapa yang tengok tu. Ramai yang kata projek dia akan jadi juara.

Apabila tinggal lagi 4 hari untuk submit projek tu, saya mula bimbang kerana saya dan Rahiman belum menyiapkan projek itu. Rak Botolnya dah siap, cuma kami belum mengukirnya. Rahiman yang terer sikit dari saya bab mengukir nie memberitahu bahawa dia juga tiada idea nak ukir apa kat Rak Botol itu untuk menyaingi projek kawan-kawan yang lain. Alasannya....perlu masa untuk 'mengintip' projek-projek pihak lawan agar nanti ukiran kami tak sama dengan mereka.

Alasan dia ada logiknya. Tapi kami dah kesuntukan masa. Huhuhu...bertekak juga saya dengan Rahiman ketika itu. Maklumlah, selain bertanding...lebih penting lagi projek itu ada markah bawaan untuk markah keseluruhan penilaian PMR. Mau tak seram sejuk masa tu...tinggal 4 hari deadline, tapi takde apa yang yang diukir pada Rak Botol itu.

Saya pun memberi kata dua kepada Rahiman.

"Aku nak kau ukir la apa-apa yang patut. Bab mengecat tu bagi kat aku. Aku bagi sampai lusa kena siap kau ukir"

Rahiman pun setuju.

Selepas dua hari tu, Rahiman pun datang ke sekolah dengan membawa Rak Botol dengan ukiran misterinya yang berbalut plastik hitam.

"Dah siap ke? Kau ukir apa kat projek kita???"
"Uisss...jangan buka depan orang ramai. Ini rahsia...nanti mereka boleh tiru lak"
"Ahh...banyak la rahsia kau. Semua mereka dah hantar projek, kita je yang paling lewat ni"

Saya pun buka plastik itu. Leerrr...Rak Botol itu telah diukir teruk dengan bentuk sebuah teratak orang kampung zaman sebelum Merdeka, beratap rumbia. Tak cukup dengan itu, Rak Botol itu juga telah dikerat mengikut bentuk bumbung teratak dalam ukiran itu.

"Wei!! Apa kau dah buat nie? Ini rumah ke jamban nie???"
"Rilek la brader. Ukiran ini pasukan lain takde yang buat lagi. Unik nie"
"Aduh...unik pun, tapi spesifikasi dah lari nie. Yang kau potong jadi macam nie apa hal??"
"Bawak bertenang...inilah kreatif namanya..."

Masa tu saya geram dengan sikap cool kawan saya tu. Cikgu Norazmi dah pesan, ukuran kayu jangan lari. Markah akan dipotong jika ukuran tak cukup. Saya dah terbayang markah saya adalah sedikit untuk projek kali ini. Nak buat lain, dah takde masa.

"Hmm...takpe la. Dah kau buat macam nie...aku ikut je la. Esok saya cat rak botol nie"
"Rilek la brader. Jangan sedih"
"Aku rasa kita takde can nak dapat markah elok kali nie"

Sesampai di rumah, saya amati ukiran itu lama-lama. Berfikir cat apa nak pakai agar sesuai dengan ukiran itu. Akhirnya saya mendapat idea untuk mengecat ia dengan kemasan syelek. Saya pun selongkar bilik stor rumah saya untuk mencari baki syelek yang pernah digunakan untuk mengecat lantai rumah saya.

Hari itu juga saya menggunakan segala kemahiran yang diterapkan oleh Cikgu Norazmi untuk membuat kemasan syelek. Mula-mula saya gosok rak botol itu dengan kertas pasir dalam dua peringkat. Peringkat pertama, guna kertas pasir yang kasar. Peringkat kedua dengan kertas pasir yang halus. Hasilnya, rak botol itu halus buatannya. Macam hasil tangan seorang pro :)

Kemudian sebelum dicat dengan syelek, rak botol itu saya cat dahulu dengan lapisan pertama cat kayu untuk menaikkan seri kayu (bukan pengantin je boleh naik seri muka tau). Selepas itu, saya jemur rak botol itu hingga kering.

Apabila sudah kering, saya cat pula dengan lapisan terakhir menggunakan syelek yang digunakan pada lantai rumah saya. Selesai dilapisi syelek itu, saya menjemur ia hingga betul2 kering. Dalam hati ketika itu bertawakkal sahaja agar dapat markah yang baik. Tak menang pertandingan itu pun tak mengapa. Yang penting markah utk PMR.

Esoknya, saya pun bawa hasil kerja itu ke sekolah. Apabila Rahiman melihatnya, ternyata dia terperanjat dengan hasil kerja kami.

"Wah...betul ke ini projek kita nie. Kemas gila....tukang kayu mana kau suruh buat nie?"
"Wei...aku yang cat sendiri nie. Takde pakai tukang mana-mana"

Kami pun hantar projek itu. Kami la pasukan paling last hantar.

Selang 3 hari selepas itu, dalam perhimpunan Cikgu Norazmi mengumumkan pemenang projek rak botol.

"Sesungguhnya pertandingan kali ini amat sengit. Kami sebagai juri pun pening kepala untuk menentukan siapa layak menjadi juara" Cikgu John, juga guru Kemahiran Hidup membuat mukadimah.

Masa tu, dalam hati saya mengagak Dahlan akan naik jadi juara. Wakil kelas saya jugak.

"Baiklah...pemenang tempat ketiga akan membawa pulang sebuah cenderamata dan baucer pembelian di koperasi sekolah bernilai RM 20. Pemenangnya ialah pasukan Abdul Nakil dari 2 Baiduri!!!"

Semua pelajar memberi tepukan gemuruh seriring dengan naiknya pasukan Abd Nakil ke astaka untuk menerima hadiah.

"Tempat kedua pula akan membawa pulang cenderamata dan baucer bernilai RM 30. Pemenangnya ialah pasukan Dahlan dari 2 Zamrud!!!"

Kami bertepuk tangan dan bersorak kerana wakil kelas menang. Tapi dalam hati tertanya-tanya...siapa pula yang berjaya menyaingi kehebatan kerja tangan Dahlan??

"Dan juara pertandingan rak botol antara tingkatan 2 pula akan membawa pulang cenderamata dan baucer bernilai RM 50. Dan pemenangnya ialah....pasukan Rahiman dari 2 Zamrud!!!"

Tepukan gemuruh bergema sambil semua pelajar tercari-cari siapa pasukan Rahiman. Sementara saya dan Rahiman terpaku dan terkedu. Hati berbisik "betulkah aku yang menang nie...macam mimpi jer".

Kawan-kawan sekelas menolak kami untuk naik ke astaka menerima hadiah. Maka saya dan Rahiman berjalan naik ke atas astaka untuk menerima ucapan tahniah dari semua cikgu dan hadiah sebagai juara.

"Berakhirlah sudah majlis penyampaian hadiah ini. Semua projek rak botol terbaik ini akan dipamerkan di ruang legar perpustakaan mulai esok. Datanglah dan saksikan yea" Cikgu John menutup majlis.

Itulah kisah manis saya dengan Rahiman di Tingkatan Dua. Sehingga kini saya telah lost contact dengan dia. Saya berdoa dia melalui jalan hidup yang membahagiakan walau di mana sekalipun dia berada sekarang.

Foto di bawah menunjukkan kehalusan kemasan syelek yang menyerupai kemasan yang ada pada rak botol itu.










No comments: