Sunday, June 06, 2010

Di tasik nikmat

Tepat jam 7.15 pagi.

Sebelum kaki mula berlari, aktiviti renggangan badan dibuat terlebih dahulu untuk menyiapkan otot kaki, tangan dan jantung.
Setelah 7 minit warm up, kaki pun mula berlari anak....berlari seiring pengunjung lain di Tasik Titiwangsa yang permai ini.


Sambil berlari dan menghirup udara pagi, pelbagai gelagat manusia terhidang. Ada yang selesa dipandang, tetapi tidak kurang yang memeningkan.

Dalam berjogging, fikiran mula menerawang...meneropong ke dalam diri, mencari daifnya diri. Terkenang pula kepada Surah Ar-Rahman yang dibaca semalam. Surah yang berulang kali bertanya kepada manusia:

فَبِأَيِّآلَاءرَبِّكُمَاتُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan

Kemudian fikiran cuba fokus kepada penekanan itu.

Sesungguhnya amat banyak nikmat yang Allah s.w.t beri tetapi amat jarang kita hargai. Nikmat yang berjuta-juta sehingga kita tidak mampu mengiranya sekiranya mahu dihitung.

Mari kita buat sedikit senario sebagai ujikaji untuk membuktikan betapa kita lalai dalam mensyukuri nikmat Allah s.w.t yang berjuta itu.

Baik. Katalah pada suatu Subuh yang indah, Allah s.w.t tiba-tiba menarik semua nikmat yang diberi kepada anda, tetapi cuma meninggalkan satu nikmat sahaja iaitu nikmat bernyawa.

Anda tiba-tiba hilang semua kebolehan melihat, mendengar, bercakap, bergerak, bersuara. Kemudian nikmat kesihatan pula ditarik, menjadikan anda sakit tidak sembuh-sembuh.

Lalu yang anda mampu buat hanyalah terbaring kaku.

Tidak cukup dengan itu, Allah s.w.t tarik pula nikmat makan dan minum, menjadikan anda lapar dan dahaga.

Kemudian Allah s.w.t hilangkan pula nikmat kasih sayang dari sahabat dan saudara anda, menjadikan anda terbiar tanpa perhatian dan pertolongan orang-orang sekitar anda.

Kemudian Allah s.w.t tarik pula nikmat rumah yang anda duduki, menjadikan anda tiada pelindung dari cuaca panas dan hujan. Anda terbaring kaku berlantaikan tanah, berbumbungkan langit.

Apakah perkara pertama yang akan terlintas di fikiran anda ketika itu...agak-agaknya?

Sekiranya Allah s.w.t menarik pula nikmat oksigen, nikmat bernafas...anda tentu sudah tahu apa penamatnya.

Subhanallah....tentu kita ketika itu merasa terlalu kerdil dan tidak berdaya. Jika boleh, tentu di saat itu juga anda mohon untuk dimatikan sahaja agar tidak melalui kesengsaraan sedemikian.

Namun hakikatnya, Allah s.w.t tidak kejam. Malah kasih sayang Allah s.w.t melebihi kasih sayang seorang ibu kepada bayinya.

Allah s.w.t terus memberi nikmat-nikmat yang zahir dan tersembunyi walaupun kita selalu kufur. Allah itu Maha Agung. Dia tidak perlu pun kepada ibadah kita sebagai tiket untuk kita mendapat nikmat. Semua nikmat yang kita kecap adalah kerana sifat-NYA yang Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Ya Allah! Tinggi sungguh kasih sayang-MU kepada hamba-hamba-MU walaupun kami sering tidak bersyukur.

Ya Rahman! Nescaya hancurlah kami jika Engkau memandang kami dengan pandangan murka-MU. Musnahlah kami jika tiada mendapat anugerah nikmat-nikmat-MU, ya Allah.

Aku berlari di tasik ini kerana ingin menjaga nikmat kesihatan yang Engkau amanahkan ini, ya Allah. Redhailah usahaku untuk memanfaatkan nikmat umur yang Engkau titipkan.

Amiin ya Robbal Alamin...

No comments: