Monday, February 02, 2009

Antara Kafir dan Fikir

Di suatu pagi yang cerah, saya memulakan tugas di pejabat. Duduk di kerusi sambil tangan membancuh Milo panas di dalam kole di atas meja, sebagai sarapan.

"Awak ada terfikir tak? Kita nie masuk Islam secara automatik. Lahir-lahir je terus jadi Islam, hanya kerana mak ayah kita Islam."

Mata saya melirik kepada teman sepejabat yang melontarkan kata-kata itu sambil menghirup air Milo yang lazat itu.

"Ya...tapi bagi saya itu anugerah" Saya bingkas melayan perbualan yang dia mulakan.

"Hmm..bagaimana pula orang-orang bukan Islam? Mereka lahir-lahir je, terus masuk kafir. Bukankah itu tidak adil bagi mereka? Sepertinya Allah tidak adil kepada orang bukan Islam!"

Tersembur air Milo yang saya hirup tadi tatkala mendengar ayat yang tersembul dari mulut seorang Islam ini. Pun demikian, saya rasakan teman saya ini cuba mencari kebenaran berdasarkan pemikiran berasaskan logik yang dia miliki.

Otak saya cuba menyelami apa yg diutarakan. Soal ketidakadilan ke atas orang-orang bukan Islam yg mewarisi kekafiran daripada mak ayah mereka, yang jelas berantagonis dengan umat Islam, khususnya orang Melayu Islam yang mewarisi Islam daripada mak ayah masing2.

"Allah itu Maha Adil" Ayat spontan pertama utk menafikan dakwaan teman tadi.

Namun saya pasti, jawapan itu tak kuat utk menghapus kesangsian teman saya ini. Saya perlu memberikan jawapan bertegakkan logik akal yang boleh diterima pemikiran teman saya ini. Jawapan yang abstrak dan bersifat umum hanya akan menambah kekeliruan dia.

"Beginilah...apa bezanya manusia ini dengan makhluk lain di dunia ini?" Lidah mula melontar soalan

"Sudah tentulah akal fikiran" Teman saya menjawab, yakin

"Nah...itu bermakna samada orang Islam atau orang Kafir, semua Allah beri akal fikiran. Betul?"

"Itu sudah pasti sebab semua manusia dapat" Dia menjawab pasti

"Okey, sekarang kita sama-sama setuju bahawa semua orang ada akal fikiran"

"Baik...masa kita mula-mula diazankan ketika bayi...kita tahu tak kita dah Islam?" Saya tanya dia lagi

"Isshh..mana la kita tahu sebab kita bayi lagi masa tu" Dia menjawab

"Habis tu, sejak bilakah kita sedar yang kita nie Islam?" Saya bertanya lagi

"Saya sedar sejak umur 6 tahun kot, tapi sekadar tahu saya Islam"

"Sejak bila pula kamu mula berfikir kenapa kamu menjadi orang Islam?"

"Hmm..sejak umur 20 tahun kot" Dia menjawab

"Sekarang, setujukah bila saya katakan yang akal pemikiran kita semakin banyak mempersoal selaras dengan meningkatnya usia kita?"

"Saya sangat setuju" Dia bingkas menjawab

"Baik. Jika demikian...sudah tentu orang-orang kafir ini juga melalui fasa pemikiran yang sama. Setuju?"

"Saya rasa ye kot"

"Dengan akal pemikiran yang sihat, sudah tentu mereka turut mempersoal di mana kebenaran dalam beragama"

"Begitu juga kita sebagai orang Islam. Memang kita lahir sebagai Islam, tetapi belum tentu lagi kita akan mati dalam iman. Justeru, itulah yang mesti kita cari...."

"Berbalik kepada soalan awal kamu...dimanakah keadilan Allah swt dalam hal ini. "

"Kewujudan orang kafir dan orang Islam di dunia ini adalah saling melengkapi. Kamu sebagai seorang Islam adalah bertanggungjawab utk mencari iman kamu."

"Bagaimana caranya? Yea...belajar ilmu-ilmu agama, dan pada masa sama berdakwah, yakni menyampaikan apa yg kamu tahu tentang kebenaran agama Islam, mempamerkan akhlak yang terpuji, dan mengamalkan ajaran Islam yg sebenar"

"Hari ini, jumlah begitu ramai orang bukan Islam di seluruh dunia adalah satu hikmah. Ia satu peluang pasaran yang begitu luas utk umat Islam berdakwah"

"Tapi sayangnya, hari ini umat Islam sendiri tidak mencerminkan bawaan Islam yang sebenar, lantas menyebarkan kekeliruan di kalangan orang bukan Islam...menjauhkan mereka dari kebenaran"

"Kehadiran mereka bukan kerana Allah tidak adil, tapi kerana Allah memberi kita peluang utk menyampaikan Islam kepada mereka...itu tugas kita. Selebihnya, terpulang kepada Allah swt"

"Dan apabila seorang kafir mendapat petunjuk dan hidayah Allah s.w.t, lantas memeluk Islam...dosa-dosanya sewaktu jahil dahulu akan terhapus, umpama bayi yang baru lahir...suci dan bersih fitrahnya"

"Di situlah keadilan Allah s.w.t"

Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan.
(An Nahl : 93)


Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)
(Al Qasas : 56)

Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.
(Al Kahfi : 29)

Perbualan kami itu tamat di situ. Dengan teman saya terkebil-kebil memikirkan apa yg saya katakan.

"Saya tidak pandai mana. Saya jawab setakat mana ilmu saya ada. Jika kamu masih ragu, sila la bertemu dengan orang yang lebih dalam ilmunya..." Saya akhiri perbualan pagi itu.

Waallahua`lam bissawab.

No comments: