Sunday, January 04, 2009

Jarak dan Waktu

"Andai kupunya sayap, nescaya sekarang juga kuterbang pulang ke kampung halaman..."

Begitulah ungkapan yang membutir dari lidah guru kelas saya semasa tingkatan satu ketika itu. Cikgu Munir namanya. Dia mengajar kelas saya subjek Matematik. Dia berasal dari Pokok Sena, Kedah Darul Aman.

Ungkapan itu sering dia tuturkan ketika mengajar dalam kelas...melambangkan betapa rindunya dia ingin pulang ke desa selepas di'posting'kan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tagasan, Semporna.

Sesungguhnya dia cikgu yang baik. Pada hari dia kembali ke semenanjung, dia telah menghadiahkan kami satu kelas dengan Kamus Dewan Dwi-Bahasa setiap seorang. Berkat adanya kamus itulah, saya mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik sampai ke hari ini. Terima kasih cikgu Munir.

Apa pun, sehingga ke hari ini saya begitu mengkagumi karektor cikgu sejarah saya semasa di tingkatan 3. Nama beliau ialah Cikgu Nazri. Semasa mengajar kami, dia masih bujang ketika itu. Umur beliau dalam 30-an juga.

Beliau adalah guru disiplin dan juga ahli Silat Gayung Se-Malaysia. Kaedah pengajaran beliau ringkas dan mudah. Namun, banyak beliau berkongsi pengalaman dengan kami semasa beliau mengajar. Beliau berasal dari Negeri Sembilan.

Saya masih ingat dia bercerita kenapa dia menjadi cikgu sekolah. Beliau memberitahu bahawa beliau ada diploma kejuruteraan elektrik, namun selepas bertahun-tahun mencari kerja berazimatkan diploma itu, beliau gagal mendapat pekerjaan. Justeru, beliau nekad membakar diploma itu dan memohon menjadi guru sekolah dengan memasuki maktab perguruan. Selepas tamat kursus, beliau ditempatkan di sekolah ini.

Saya masih ingat lagi. Beliau pernah berkongsi secara peribadi dengan saya soal percintaan beliau yang pada penghujung kisahnya disimpulkan dengan ungkapan "sesungguhnya jarak dan masa boleh merubah seseorang".

Cikgu Nazri hanya memberitahu bahawa saya akan mengalaminya juga suatu waktu apabila dewasa kelak. Ketika itu, saya tidak mengerti apa maksud cikgu.

Dipendekkan cerita, cikgu Nazri dipertemukan jodoh dengan Ustazah Qamariah yang turut mengajar di sekolah yang sama. Kebetulan ustazah ini yang mengajar subjek Pengajian Agama Islam di kelas saya. Orangnya memang tenang, lembut bicaranya dan terjaga akhlak dan auratnya.

Cikgu Nazri mengakhiri zaman bujangnya dengan ustazah ini yang berasal dari Pahang (kalau saya tak silap). Alhamdulillah...mereka memang sepadan. Tahun itu adalah tahun 1992.

Kini setelah 16 tahun berlalu, baru saya faham makna ungkapan Cikgu Nazri itu. Sekarang saya dapat rasakan apa yang cikgu lalui sewaktu cikgu berbicara dengan saya ketika itu. Saya perlu akui ungkapan itu memang benar sekali....

Terima Kasih Cikgu Nazri...jasamu tetap kukenang...

1 comment:

baiey yusof said...

antara jarak ada pemisahnya. antara waktu juga ada pemisahnya..antara jarak ada satu titik pertemuan, antara satu waktu ada satu titik pertembungan..
namun, jarak dan waktu satu ukuran untuk menilai ketabahan dan kesabaran diri.