Sunday, January 04, 2009

Teman Sehidup Semati

Hari ini adalah hari kesedaran buat penulis. Ia bermula begini:

Bangkit di awal pagi dan kemudian turun ke kedai membeli sarapan pagi berupa roti ban kaya dan sekotak minuman Milo. Tak semena-mena tergerak hati nak beli suratkhabar. Harian Metro menjadi pilihan.

Sambil bersarapan, mata melirik helaian demi helaian akhbar. Mata terpana pada suatu artikel khas dan sekaligus menikam kalbu.

"Jantung berupaya menghasilkan tekanan yang boleh memancutkan darah sejauh 10 meter setiap kali ia mengecut. Walaupun ketika seseorang itu berehat, otot jantung bekerja dua kali ganda lebih keras daripada otot kaki seorang yang berlari pecut.

Dalam tempoh satu jam, tenaga kerja yang dihasilkan oleh jantung boleh mengangkat barang seberat hampir 1,400 kilogram setinggi 30 sentimeter. Ini seumpama berat dua kereta Perodua Kancil. Tenaga yang dijanakan jantung sepanjang hayat seseorang pula boleh mengangkat satu kapal perang besar keluar dari air.

Begitulah kuatnya jantung kita. Bagaimanapun, seseorang akan mengalami penyakit lemah jantung apabila jantung gagal berfungsi secukupnya sebagai satu jentera untuk mengepam darah ke seluruh badan. Antara sebab utama bagi kelemahan jantung adalah kerosakan teruk pada otot akibat serangan jantung.

Setiap kali berdenyut, jantung mengepam darah sebanyak 70 mililiter, di mana lebih kurang lima liter darah dipam dalam tempoh satu minit. Ini bermakna untuk tempoh satu jam pula, 300 liter darah, dan di dalam satu hari lebih kurang 7,200 liter darah dipam jantung kita.

Sepanjang hayat seorang manusia, jantung mengepam lebih daripada satu milion tong darah. Ini cukup untuk mengisi dan memenuhi kapasiti tiga kapal tangki minyak yang besar!

Jantung tidak tahu erti penat. Jantung terus berdenyut sama ada anda bekerja atau tidur. Ketika anda berehat, jantung tidak berehat. Ia tetap berdenyut antara 60 dan 80 kali dalam tempoh satu minit.

Kadar ini menurun apabila usia kita meningkat. Secara purata, jantung berdenyut hampir 100,000 kali sehari, dan lebih kurang 2.5 bilion kali sepanjang hayat, tanpa rehat, walaupun untuk seketika.

Tidak mungkin ada alat atau mesin yang diperbuat oleh manusia boleh menandingi kehebatan jantung kita. Alangkah bertuahnya kita mempunyai ‘alat’ kurniaan Tuhan yang sungguh menakjubkan ini."

Subhanallah!! Tersentak saya tersedar bahawa jantunglah sebenarnya teman sehidup semati yang sebenar (bukannya kekasih yang sering dianggap sedemikian jua). Ia wujud dan berdegup sejak kita lahir dan akan terhenti apabila ajal sampai.

Jantunglah teman sepanjang hayat...oleh yang demikian marilah sama-sama kita hindari rokok dan segala macam makanan yang boleh 'membunuh' teman sejati ini.

Wallahu alam

No comments: