Monday, January 12, 2009

Kelantan: Cebisan Terakhir

Sabtu dan Ahad lepas mencipta sejarah tersendiri dalam perjalanan hidup penulis sebagai perantau di bumi Semenanjung ini.

Apa yang sudah lama dihajatkan akhirnya tertunai di awal tahun baru Masihi ini. Alhamdulillah...Sudah begitu lama penulis menanti peluang memijakkan kaki di bumi Kelantan yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah suatu ketika dahulu. Inilah satu-satunya negeri dalam semenanjung Tanah Melayu yang belum pernah penulis jelajahi lagi.

Perjalanan menaiki bas sewa khas yang bertolak dari Batu Caves pada jam 11:34 pagi akhirnya selamat sampai di Kota Bahru pada jam 8:45 mlm. Fuuhh...berbirat juga punggung duduk berjam-jam lamanya. Sepanjang perjalanan memasuki Kota Bahru, mata penulis disapa oleh pemandangan papan iklan gergasi yang 'sungguh sopan'. Model wanita kelihatan bertudung menutup aurat sambil diiringan tulisan jawi sebagai paparan umum.

Destinasi penginapan dipilih ialan Sutera Inn yang betul-betul berada di tengah Kota Bahru. Di hadapan hotel ini tersergam gagah bangunan Persekutuan dan sebuah hospital besar. Tidak jauh dari sini juga gah berdiri Stadium Sultan Muhammad ke IV.

Disebabkan letih, penulis tidak sempat melayan siaran ASTRO di bilik penginapan. Oh ya...satu yang menarik sewaktu check in di kaunter sabtu tu. Receptionist awal-awal lagi memberitahu setiap pelanggan yang membawa pasangan bahawa bilik lelaki dan wanita mesti diasingkan. Itu peraturan di Kelantan katanya. Ternyata itu kaedah pencegahan khalwat dan maksiat terbaik! Syabas kepimpinan kerajaan negeri ;)

Keesokan paginya seawal jam 7 pagi penulis sudah berada di cafeteria untuk menjamu sarapan pagi. Bihun goreng dihiasi telur mata kerbau menjadi menu, diikuti bijirin Koko Crunch dan Corn Flakes bermandikan susu. Selanjutnya diakhiri dengan potongan-potongan kecil tembikai dan betik. Minumannya pula segelas jus oren :)

Selesai bersarapan, penulis menaiki teksi menuju Pasar Siti Khadijah yang sama gahnya dengan Pasar Payang di Kuala Terengganu. Tambang dari hotel ini ke sana ialah RM 10. Namun apabila sampai di pasar itu, barulah penulis sedar yang lokasinya tidaklah jauh mana...cuma pemandu teksi itu buat corner lebih-lebih sampai kelihatan seolah-olah jauh. Hmm...biasalah orang cari makan kan :). Halalkan sahaja.

Sesampai di sana, ternyata Pasar Siti Khadijah ini bertingkat-tingkat. Tingkat bawah meniaga barang-barang basah seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan tak lupa keropok lekor. Tingkat satu pula menjual produk herba manakala tingkat kedua menawarkan kain dan kraftangan.

Penulis banyak menghabiskan masa berlegar-legar di tingkat dua itu. Jelasnya majoriti peniaga kecil di sini adalah wanita dari pelbagai peringkat umur. Mata penulis terpana melihat prasarana yang disediakan kerajaan negeri untuk membantu golongan bumiputera mencari rezeki yang halal.

Dari tingkat ini, penulis jelas dapat melihat deretan kedai di sekeliling pasar ini. Kagum melihat papan-papan tanda pada setiap kedai itu terpampang nama-nama perniagaan Melayu sambil diselit dua tiga nama perniagaan milik kaum Tiong Hwa. Ada yang bertulisan Rumi ada juga bertulisan Jawi dan ada juga bertulisan kedua-duanya. Dapat dirasai penulis benar-benar berada di dunia Melayu Islam.

Daripada pemerhatian di sekitar ruang niaga tingkat dua ini, didapati baju batik untuk lelaki dijual sekitar harga RM 165 hingga RM 220. Ok la juga...memang berkualiti dan halus buatannya. Berbaloi jika dibeli pun. Namun disebabkan budget yang ketat, lupakan sahaja :). Lagipun penulis masih ada baju batik yang dibeli di Mydin dahulu. Elok lagi baju tu, walaupun tak semahal dan secantik yang ada di sini.

Akhirnya penulis membeli toto bercorak harimau kumbang dengan harga RM 25 selepas tawar-menawar. Penulis tak tahu sama ada itu harga 'sembelih' atau tidak. Yang pasti penulis memang perlukan toto sebagai pengganti toto lama yang telah dibuang.

Setelah puas meredah segenap penjuru pasar, penulis kembali ke hotel menaiki teksi untuk berehat. Jam di tangan menunjukkan 11:27 pagi. Sesampai di pintu bilik penginapan, terdapat suratkhabar Berita Harian tersangkut di tombol. Hmm...lewat juga kakitangan hotel ni membekalkan akhbar.

Penulis berehat sambil membaca berita-berita terbaru di dada akhbar tersebut sehingga terlelap. Penulis terjaga ketika jam menunjukkan waktu Zohor. Harus diingat, Kelantan lebih ke Timur berbanding KL, justeru waktu solatnya juga lebih awal. Penulis bangkit menunaikan solat Zohor dan Asar secara jamak dan qasar kerana jam 3 petang nanti ada lawatan ke Stadium kemudiannya pada jam 6 petang pula kena bertolak pulang ke KL.

Penulis berjalan kaki ke Stadium yang hanya memakan masa 13 minit daripada hotel Sutera Inn. Khabarnya hotel penginapan penulis itu juga adalah milik orang Melayu. Hebat Melayu di sini. Alhamdulillah....

Sepanjang perjalanan ke stadium, jelas kelihatan wanita-wanita Islam di kota ini menutup aurat dengan bertudung sempurna. Sukar untuk menemukan wanita Melayu yang tidak menutup aurat walaupun sebenarnya ada. Apapun senario seperti ini adalah jauh lebih baik berbanding di KL di mana wanita Melayu tak sedar diri sendiri bangsa apa dan agama apa. Sehinggakan kadang-kadang gadis-gadis Melayu ini lebih 'jahilnya' berbanding orang kafir yang jelas jahil tentang norma pemakaian orang Islam.

Sesampai di stadium, mata tertarik kepada papan tanda besar yang mewakili scoreboard stadium. Tertera 2 - 1 di situ, tanda Kelantan menang perlawanan bola sepak menentang pasukan KM Naza semalam. Walaupun binaan stadium ini agak usang, namun kefanatikan peminat sentiasa memenuhkan dan memeriahkan stadium ini setiap kali ada perlawanan.

Setelah puas bersiar di sekita stadium, jam pun menunjukkan 5:30 ptg. Penulis lantas bergegas ke hotel untuk mengambil beg dan check out kerana bas sudah pun siap sedia untuk bertolak ke KL. Namun disebabkan sedikit masalah pada tayar bas, pemandu bas memerlukan 30 minit untuk membaiki kerosakan pada tayar belakang.

Tepat jam 6:30 ptg, bas yang dinaiki penulis mula berarak meninggalkan Kota Bahru. Dalam bas, penulis cuba mendapatkan tidur yang cukup kerana esoknya kena pergi kerja seperti biasa. Sekitar jam 10 malam, bas berhenti rehat di Gua Musang. Penulis bangkit menuju gerai yang ada. Selera tidak berapa ada kerana suhu yang sejuk dalam bas. Justeru sup daging yang menjadi pilihan untuk memanaskan badan.

Selesai makan dan solat, perjalanan disambung semula. Kali ini penulis tidur lena dan terbangun apabila dikejutkan pemandu bas. Ketika itu jam menunjukkan 3:00 pagi. Penulis terlupa meminta pemandu bas untuk menurunkan penulis di mana-mana stesen LRT yang terdekat. Sedar-sedar dah sampai di perkarangan masjid di Batu Caves.

Syukurlah ada seorang hamba Allah sudi menawarkan diri menghantar penulis terus ke rumah. Alhamdulillah....setelah 30 minit perjalanan, akhirnya penulis tiba di rumah. Terima kasih saudara Amri atas pertolongan anda :). Semoga Allah membalas dengan lebih baik lagi, insya Allah.


No comments: